Skip to main content

Singapura

MCAS agih Geran Pendidikan terbesar bernilai S$391,000 kepada 222 pelajar

Anggaran Waktu Membaca:

Diterbitkan : 27 Sep 2026 05:04PM Dikemas Kini : 05 Nov 2026 09:52PM
MCAS distributes its largest Education Grant, worth S$391,000, to 222 students
  • Darul Arqam Singapore (MCAS) distributed S$391,000 in Education Grants to 222 students on Sunday, the highest number of recipients and the largest amount in four years.
  • Funded by zakat and donations, the grant helps needy Muslim students, especially converts and their children, and was 93 per cent higher than in 2024.
  • MCAS also expanded the aid to madrasah students from Primary 1, following Project Seed 2024 and feedback from parents about financial pressure.
  • About 90 per cent of applications were approved based on criteria such as family income, while MCAS is considering larger aid if zakat funds increase.
Dijana oleh AI

SINGAPURA: Darul Arqam Singapura (MCAS) pada Ahad (27 Sep) mengagihkan Geran Pendidikan bernilai S$391,000 kepada 222 pelajar tahun ini, sekali gus mencatat jumlah penerima dan nilai agihan tertinggi dalam tempoh empat tahun.

Nilai geran bahkan 93 peratus lebih tinggi berbanding agihan terakhir pada 2024, dengan MCAS membiayainya menerusi sumbangan zakat dan derma.

Geran tersebut bertujuan meringankan beban kewangan pelajar Muslim yang memerlukan, dengan tumpuan khusus kepada golongan mualaf dan anak-anak mereka.

"Alhamdulillah, MCAS Darul Arqam diberi amanah untuk mengurus dan mengagihkan zakat. Kami memikul tanggungjawab ini dengan penuh rendah hati," ulas Presiden MCAS, Muhammad Imran Kuna.

GERAN DIPERLUAS KEPADA PELAJAR MADRASAH

Tahun ini, MCAS memperluas Geran Pendidikan itu kepada pelajar madrasah bermula dari Darjah 1.

Related article image
Antara penerima Geran Pendidikan. (Gambar: MCAS)

Encik Imran Kuna menjelaskan bahawa langkah itu meneruskan usaha 'Project Seed' yang dilancarkan pada 2024, iaitu ketika MCAS menyalurkan dana permulaan S$10,000 kepada setiap 10 madrasah dan institusi agama.

Tinjauan dan perbincangan MCAS dengan ibu bapa sebelum ini mendapati masalah kewangan antara cabaran utama yang menyebabkan sesetengah pelajar sukar meneruskan atau mengikuti pendidikan madrasah.

"Bukan hanya makanan, tetapi pengangkutan dan perkara-perkara lain," kongsi Encik Imran sambil menambah bahawa bantuan itu diharap dapat merapatkan jurang kewangan yang dihadapi keluarga.

SEKITAR 90% PERMOHONAN DILULUSKAN

Penerima Geran Pendidikan MCAS kali ini merangkumi pelajar dalam pelbagai bidang, termasuk pengajian Islam, sains dan teknologi serta seni dan sains sosial, sama ada di institusi tempatan mahupun luar negara.

Antara penerimanya ialah Muhammad Harris Tan Muhammad Rafiq, seorang mahasiswa jurusan seni bina di Universiti Nasional Singapura (NUS).

"Saya amat bersyukur kerana saya sebenarnya berbangsa Cina. Jadi saya tidak dapat pertolongan. Sekarang, bantuan ini dapat mengurangkan beban kewangan saya," luah Rafiq.

Menurut Encik Imran, sekitar 90 peratus permohonan Geran Pendidikan MCAS diluluskan, dengan penerima dipilih berdasarkan beberapa kriteria termasuk pendapatan per kapita keluarga.

Related article image
Presiden MCAS, Muhammad Imran Kuna. (Gambar: Mediacorp)

Beliau menambah MCAS mahu membina "legasi pendidikan" dengan memastikan sokongan yang diberikan hari ini dapat memberi manfaat kepada masyarakat pada masa hadapan.

"Usaha ini mesti diteruskan. Jadi saya berharap MCAS akan terus melakukannya pada tahun-tahun mendatang dan turut memberi inspirasi kepada individu serta pertubuhan lain untuk menerapkan budaya sebegini, iaitu membina legasi pendidikan dan meneruskannya," ujar Encik Imran.

MCAS juga sedang meneroka kemungkinan untuk meningkatkan bantuan sekiranya dana zakat yang tersedia bertambah.

Sumber : BERITA Mediacorp/NA/ay
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita