Skip to main content

Singapura

MBS diberi hingga Apr 2024 untuk mulakan kerja peluasan bernilai S$4.5 bilion

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Pengendali peranginan bersepadu Marina Bay Sands diberi lagi setahun - sehingga April 2024 - untuk memulakan kerja-kerja peluasan yang bernilai S$4.5 bilion. 

Dalam pemfailan yang dibuat oleh syarikat induknya kepada Suruhanjaya Sekuriti dan Bursa Amerika Syarikat (SEC), Las Vegas Sands menyatakan, Marina Bay Sands dan Lembaga Pelancongan Singapura (STB) memeterai perjanjian tambahan untuk melanjutkan tarikh akhir bagi permulaan kerja-kerja binaan. 

Ia merupakan kali kedua tarikh akhir kerja-kerja binaan bagi peluasan MBS dilanjutkan. 

Tarikh akhir untuk menyiapkan projek itu turut dilanjutkan kepada 8 April 2028. Di bawah persetujuan tersebut, beberapa perubahan pada rancangan binaan dan operasi boleh dilakukan. 

Satu pemfailan pada 30 Mac 2022 menggariskan bahawa MBS harus memulakan kerja-kerja binaan bagi rancangan yang ditetapkan di bawah perjanjian Pembangunan Kedua dengan STB pada April 2019, sebelum 8 April 2023. 

Peluasan dua peranginan bersepadu Singapura - Marina Bay Sands dan Resorts World Sentosa - diumumkan pada 2019. 

Walaupun pada awalnya ia dijangka siap pada 2025, rancangan bagi peluasan MBS tergendala buat kali pertama disebabkan oleh pandemik COVID-19. STB melanjutkan permulaan rancangan itu selama setahun, pada tahun lalu. 

Antara ciri-ciri yang dirancangkan termasuk menara keempat MBS, yang akan menawarkan 1,000 bilik hotel, arena hiburan dengan 15,000 tempat duduk, kawasan atas bumbung atau 'sky roof' berserta sebuah kolam renang dan restoran. Terdapat juga dewan acara, dewan pameran dan para peruncit mewah yang baru. 

MBS dan Resorts World Sentosa mengikrarkan komitmen untuk sama-sama melaburkan S$9 bilion bagi daya tarikan bukan permainan di Singapura sebagai sebahagian daripada perjanjiannya dengan pemerintah. Justeru, tempoh eksklusif bagi dua lesen kasino akan dilanjutkan sehingga hujung 2030.

Sumber : CNA/NY/ny
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita