Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Maybank SG kerjasama dengan Darul Arqam; sumbang S$65,000 kepada program keusahawanan

Anggaran Waktu Membaca:
SINGAPURA: Maybank Singapore telah menjalin kerjasama dengan Persatuan Darul Arqam (MCAS) bagi satu program dan inisiatif keusahawanan.

Tujuannya adalah untuk memperkasa dan meningkatkan kehidupan golongan berpendapatan rendah serta keluarga mereka.

Ia sudah menyumbang sebanyak S$65,000 untuk memastikan kejayaan program tersebut.
Gambar: BERITA Mediacorp/Nazirah Jamzuri

Program Keusahawanan Perniagaan MCAS itu yang baharu dilancarkan itu direka khusus untuk memperkasakan golongan kurang berkemampuan yang mempunyai cita-cita tinggi, serta membantu merealisasikan impian mereka.

Peserta akan menerima latihan penting, bimbingan, dan pembiayaan permulaan.

Ia akan membolehkan mereka mengatasi cabaran, mengubah idea perniagaan menjadi kenyataan, serta mencipta peluang untuk kejayaan dan ketahanan diri.

"Kami berniat untuk menggunakan dana ini bagi permohonan keusahawanan perniagaan. Dana ini akan digunakan untuk perniagaan mereka serta latihan, perunding, dan juga untuk aspek lain dalam perkembangan mereka, termasuk dalam bidang perniagaan, pendidikan, dan literasi kewangan," kongsi Presiden MCAS, Encik Imran Kuna kepada wartawan Nazirah Jamzuri.

"Semua orang ada niat ingin memulakan perniagaan tetapi mereka memerlukan kemahiran, bukan? Jadi, ia adalah pakej menyeluruh yang ingin kami berikan. Ini bukan sahaja program keusahawanan yang biasa, tetapi kita ingin memanfaatkan literasi kewangan dari Maybank serta program pengurusan kekayaan mereka," tambah beliau.

MAYBANK SINGAPORE LANCAR PRODUK TAKAFUL, 'INVEST FUTURE'

Gambar: BERITA Mediacorp/Nazirah Jamzuri

Maybank Singapore turut mengumumkan pelancaran produk Takaful terbaharunya, 'Invest Future', bagi memenuhi permintaan terhadap penyelesaian kewangan Islam di Singapura.

Dalam ucapannya, Anggota Parlimen GRC Chua Chu Kang, Zhulkarnain Abdul Rahim, menyatakan bahawa golongan berpendapatan tinggi di rantau ini semakin bijak dalam mengurus kekayaan mereka.

Selain perlindungan kewangan, mereka juga mencari penyelesaian yang selari dengan nilai-nilai dan tanggungjawab sosial mereka.

"Penyelesaian kekayaan Islam, termasuk pelaburan beretika, dermawan, dan perancangan pewarisan kini semakin mendapat permintaan yang tinggi. Individu-individu ini komited untuk melabur dengan cara yang selaras dengan kepercayaan dan nilai peribadi mereka, daripada melindungi aset mereka hingga menyumbang kepada kebajikan masyarakat."

Gambar: BERITA Mediacorp/Nazirah Jamzuri

Beliau turut menambah bahawa masa depan pengurusan kekayaan di Asia Tenggara sedang berkembang dengan pesat, dan penyelesaian kekayaan Islam dijangka memainkan peranan penting.

"Integrasi pelaburan berasaskan nilai, permintaan yang semakin meningkat untuk penyelesaian beretika dan mampan. Dan kepimpinan yang ditampilkan institusi seperti Maybank membuka laluan bagi era baharu dalam khidmat kewangan, yang memberi tumpuan kepada keuntungan, tujuan, dan kesan positif," tambah beliau.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Negeri, Maybank Singapore, Encik Alvin Lee turut membawa perhatian tentang permintaan yang semakin meningkat dalam Pengurusan Kekayaan Islam di rantau ini, termasuk Singapura.

"Kami percaya terdapat permintaan yang besar untuk perkhidmatan ini kerana ASEAN mempunyai populasi 250 juta umat Islam, dan sebahagian besar daripadanya adalah umat Islam yang mewah. Jadi, saya rasa ini adalah pelancaran yang sangat tepat pada masanya," menurut Encik Lee.

MAYBANK SG INGIN KEMBANG KE NEGARA GCC

Gambar: BERITA Mediacorp/Nazirah Jamzuri

Tambahnya, selain menarik pelaburan serantau, ia juga merancang untuk berkembang ke negara-negara anggota Majlis Kerjasama Teluk (GCC).

"Lazimnya, kita ingin menjadi kukuh secara domestik untuk beri khidmat kepada masyarakat di Singapura. Namun, Singapura juga merupakan hab di luar pesisir bagi pelanggan kami di Indonesia dan Malaysia. Jadi itu yang kita ingin memberi tumpuan dan apabila kita sudah mencapainya, kita berniat untuk mendapatkan pelanggan GCC di Timur Tengah untuk mereka mempertimbangkan meletakkan kekayaan mereka di Singapura," jelas Encik Lee.

Sumber : BERITA Mediacorp/nj
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan