Skip to main content

Singapura

Maybank S'pore, MASIS lancar Dana Sokongan VTL; bantu imbangi kos bagi pekerja M'sia bergaji rendah

Maybank Singapore dan Persatuan Malaysia di Singapura (MASIS) melancarkan Dana Sokongan Laluan Perjalanan Penumpang Divaksin (VTL) berjumlah sehingga S$40,000. 

Anggaran Waktu Membaca:
Maybank S'pore, MASIS lancar Dana Sokongan VTL; bantu imbangi kos bagi pekerja M'sia bergaji rendah

Maybank Islamic menganjurkan sebuah acara untuk mengagihkan pek barangan dapur berisi produk-produk baru di pasaran kepada pekerja Malaysia yang bekerja di Singapura. (Gambar: Maybank)

SINGAPURA: Maybank Singapore dan Persatuan Malaysia di Singapura (MASIS) melancarkan Dana Sokongan Laluan Perjalanan Penumpang Divaksin (VTL) berjumlah sehingga S$40,000.

Dana itu ditubuhkan bagi membantu para pekerja warga Malaysia yang bergaji rendah untuk pulang ke tanah air menerusi VTL darat antara Singapura dengan Malaysia, menurut Maybank dalam kenyataannya hari ini (3 Dis).

Di bawah Dana Sokongan VTL Maybank-MASIS, rakyat Malaysia yang mempunyai permit kerja sah di Singapura boleh memohon menerusi MASIS untuk mendapatkan pembayaran balik sehingga S$300 bagi mengimbangi perbelanjaan berkaitan ujian COVID-19 ART atau PCR.

Selain pekerja warga Malaysia berpendapatan rendah, perusahaan kecil dan sederhana (SME) Malaysia juga menerima suntikan bantuan dalam perniagaan.

Sebanyak 50 produk makanan halal baru buatan Malaysia kini dijual di sebuah pasar raya Singapura melalui Program Laluan Halal ke Pasaran (HalMap).

Related article image
Acara pelancaran Dana Sokongan Laluan Perjalanan Penumpang Divaksin (VTL) dan Program Laluan Halal ke Pasaran (HalMap) pada 2 Dis 2021. (Gambar: Maybank)

(Dari kiri: Encik Gregory Seow (Ketua Perbankan Global di Maybank Singapore), Encik Mohd Razib Ibrahim (ketua kumpulan sukarelawan), Dr John Lee (CEO Negara dan CEO Maybank Singapore), Encik Mohammad Azri bin Mohtar (Menteri Suruhanjaya Tinggi Malaysia) dan Encik Lee Ji En (Anggota Jawatankuasa Pengurusan MASIS). Gambar: Maybank)

Program itu adalah inisiatif oleh Maybank Islamic untuk membantu memperluaskan rangkaian perniagaan halal SME Malaysia ke luar negara.

Di bawah program itu, Maybank akan menyediakan perusahaan-perusahaan terlibat dengan wadah pengedaran, nasihat perkhidmatan serta latihan untuk memasarkan produk.

Sebagai permulaan, 10 SME Malaysia dipilih untuk menembusi pasaran makanan halal Singapura, dengan 50 produk baru disediakan di pasar raya Eccellente by HAO Mart yang terletak di pusat beli-belah Kinex.

Sempena pelancaran tersebut hari ini, Maybank Singapore menghulurkan sumbangan derma zakat sebanyak S$30,000 bagi pembelian barangan baru itu untuk diagih-agihkan kepada 300 pekerja warga Malaysia bergaji rendah di Singapura.

Related article image
Maybank Singapore menghulurkan sumbangan derma zakat sebanyak S$30,000 untuk membeli produk-produk Malaysia yang baru di pasaran bagi diagihkan kepada para pekerja warga Malaysia bergaji rendah di Singapura. (Gambar: Maybank)

Menteri Suruhanjaya Tinggi Malaysia, Encik Mohammad Azri bin Mohtar, menyampaikan beg habuan berisi barang-barang tersebut kepada 10 penerima di cawangan bank Maybank@MarineParade pada Khamis (2 Dis).  

Sumber : BERITA Mediacorp/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita