Skip to main content

Singapura

Maybank Islamic derma S$92,000 kepada Yayasan Mendaki, berikan komputer riba baru kepada 60 pelajar

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Sayap kewangan Islam Maybank Group - Maybank Islamic - mendermakan dana berjumlah S$92,000 kepada Yayasan MENDAKI bagi menyediakan komputer riba baru untuk 60 pelajar Melayu/Islam di peringkat sekolah rendah.

Kumpulan pertama seramai 20 murid menerima komputer riba mereka di satu majlis "Maybank Islamic - MENDAKI Permulaan Digital buat Pelajar" yang diadakan pada Sabtu (11 Jun) di Auditorium Woods Square.

Salah seorang penerima bantuan, Danny Adryan Hamdi, 12 tahun cukup teruja menerima komputer riba yang baru.

"Dengan komputer riba ini, saya harap ia akan bantu saya fokus pada pelajaran dan agar saya
berjaya di sekolah," kata murid Sekolah Rendah Gan Eng Seng itu.

PARA PENERIMA BANTUAN DAPAT KOMPUTER RIBA BARU, HADIRI BENGKEL KESELAMATAN SIBER

Di majlis tersebut, para pelajar dan ibu bapa mereka turut menghadiri bengkel tentang keselamatan siber serta belajar cara-cara melindungi diri daripada ancaman online seperti pancingan data dan perisian hasad.

Ia juga salah satu usaha Maybank untuk menyediakan akses pendigitalan kepada keluarga-keluarga memerlukan dan golongan warga emas.

Ketua Pegawai Eksekutif MENDAKI, Zuraidah Abdullah berkata: "Saya berbesar hati atas kerjasama dengan Maybank Islamic untuk menyokong para pelajar Melayu/Islam dalam pendidikan dan keperluan pembelajaran mereka di sekolah."

"Sedang kita menuju ke arah masa depan di mana pendigitalan memainkan peranan penting dan komputer riba adalah bahagian penting dalam pembelajaran para pelajar, sokongan daripada Maybank membolehkan para pelajar terus gigih belajar dan mencapai impian mereka," tambah beliau.

Cik Zuraidah juga gembira melihat pelibatan para ibu bapa dalam bengkel yang dianjurkan Maybank Islamic.

Menurutnya, kehadiran mereka mencerminkan komitmen terhadap pembelajaran kanak-kanak mereka.

Cik Zuraidah berkata: "Ini sejajar dengan strategi MENDAKI untuk memperkasa para ibu bapa sebagai pendidik, pengasuh serta rakan dalam menyediakan anak-anak mereka menjadi berdaya bingkas dan siap untuk masa depan."

Gambar: MENDAKI

MAYBANK ISLAMIC SOKONG PROGRAM-PROGRAM MENDAKI

Maybank Islamic merupakan penyokong kuat bagi misi MENDAKI untuk memperkasa masyarakat Melayu/Islam ke arah kecemerlangan.

Sejak 2018, ia sudah menderma lebih daripada $70,000 bagi menyokong program-program MENDAKI seperti Projek Positif, pelancaran buku Kapal Haji serta Dana Amanah Pendidikan (ETF).

Ketua Pegawai Eksekutif Negara dan Ketua Pegawai Eksekutif Maybank Singapore, Dr John Lee berkata: "Kita sangat berbesar hati bekerjasama dengan MENDAKI bagi projek masyarakat ini. Inisiatif ini sejajar dengan misi kami untuk memperbaiki kehidupan sejuta isi rumah di serata rantau Asia menjelang 2025, serta menyumbang kepada kebaikan masyarakat Asia."

"Dengan pendigitalan menjadi lebih berleluasa dalam kehidupan kita, cara kita bekerja dan belajar, ia adalah penting untuk memastikan golongan memerlukan menjadi celik digital dan mempunyai akses kepada pendigitalan," tambah Dr Lee.

Dana yang didermakan bagi komputer-komputer riba baru adalah daripada "Dana Amal Kad Kredit Ikhwan" oleh Maybank Islamic.

Di bawah inisiatif tersebut, bank itu menyumbang sebahagian daripada perbelanjaan para pelanggan yang menggunakan kad-kad kredit terpilih yang dikeluarkan di Malaysia kepada badan-badan kebajikan.

Menerusi dana amal tersebut, Maybank Islamic sudah memperuntukkan lebih RM4 juta berdasarkan jumlah
transaksi pelanggan sejak pelancaran kad kredit Islam pada Jun 2014.

Sumber : BERITA Mediacorp/kf
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita