Maybank hulur S$1,250 kepada kakitangan berpangkat rendah tangani kenaikan kos sara hidup
(Gambar: AFP)
SINGAPURA: Maybank Singapore pada Jumaat (28 Feb) mengumumkan bahawa semua kakitangan berpangkat rendah akan menerima bayaran sekali sahaja bernilai S$1,250.
Ini khususnya bagi mereka yang menyandang jawatan pegawai dan berpangkat rendah, meliputi kesemua entiti Maybank - Maybank Singapore, Etiqa Insurance Singapore, Maybank Asset Management Singapore dan Maybank Securities Singapore.
Tanda penghargaan dan sokongan ini bertujuan untuk membantu para pekerja berpangkat rendah menangani kenaikan kos sara hidup, sambil menegaskan komitmen Maybank terhadap nilai holistik pekerja yang turut merangkumi ganjaran pasaran yang berdaya saing.
Ketua Pegawai Eksekutif Maybank Singapore Alvin Lee berkata: “Kami mahu mengiktiraf kerja keras rakan-rakan sekerja kami dan menunjukkan penghargaan kami melalui bayaran ini, yang akan membantu menampung kenaikan kos sara hidup dan meringankan beban kewangan mereka."
"Mewujudkan tempat kerja di mana para
pekerja berasa mereka disokong dan dihargai menjadi kunci kepada strategi modal insan kami."
Maybank, bank keempat terbesar di Asia Tenggara dari segi aset, turut memastikan kakitangannya menerima pampasan yang adil dan telus sejajar dengan industri, selain manfaat lain seperti peningkatan kemahiran menerusi program latihan serta faedah perubatan yang kompetitif.
Encik Luke Hee, Pengerusi Kelompok Perkhidmatan Kewangan dan Profesional NTUC berkata: “Selepas mendampingi empat kesatuan dalam kelompok perbankan, kami berbesar hati Maybank Singapore mengiktiraf kerja keras pekerja muda melalui bayaran ini.
"Sikap bertimbang rasa ini akan membantu para pekerja menguruskan kos sara hidup mereka dan memupuk persekitaran kerja yang menyokong. Kami mengalu-alukan kerjasama dan perkongsian berterusan dengan Maybank untuk meningkatkan kesejahteraan para pekerja.”
Maybank turut mengambil langkah yang sama pada Mac 2024, di mana bank itu mengumumkan bahawa ia memberikan bayaran sehingga S$1,250 kepada 141 kakitangan berpangkat rendah bagi menangani kenaikan kos sara hidup.
Langkah sama turut dilaksanakan oleh institusi-institusi kewangan lain di Singapura.
Pada 23 Disember, UOB mengumumkan bahawa sekitar 6,000 kakitangan berpangkat rendah yang layak di seluruh kumpulan itu menerima bayaran bonus tambahan sebanyak satu bulan gaji yang akan dibayar sebelum April 2025.
OCBC, pada hari yang sama, menyatakan bahawa kira-kira 4,000 kakitangan berpangkat rendah dalam OCBC Group di Singapura akan menerima bayaran sebanyak S$1,000 setiap seorang bagi membantu mereka menangani kenaikan kos sara hidup memandangkan kadar inflasi masih tinggi.
Sementara itu, pada Februari 2024, DBS telah memberikan bonus sebanyak S$1,000 kepada lebih 5,500 kakitangan berpangkat rendah di Singapura.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.