Skip to main content

Singapura

Mayat warga SG hilang di laut ditemui di pinggir pantai Batam

Anggaran Waktu Membaca:
SINGAPURA: Mayat seorang lelaki warga Singapura yang dilaporkan hilang setelah dia terjatuh ke laut ketika sedang bertugas di sebuah kapal, ditemui di pinggir laut Batam, Indonesia.

Beberapa hari kemudian, adik lelakinya membaca akhbar berita Indonesia mengenai mayat tidak dikenali yang dijumpai oleh pihak berkuasa. Beliau kemudian pergi ke sebuah hospital Batam, di mana beliau mengenal pasti mayat abangnya menerusi pakaian.

Siasatan ke atas kematian Abd Karim Ali berusia 58 tahun dibuka pada Rabu (3 Mei), yang mana perbicaraan tersebut dihadiri adiknya serta anak saudaranya.

Tiga penyiasat dari Pengawal Pantai Polis (PCG), Penguasa Maritim dan Pelabuhan Singapura (MPA) serta Kementerian Tenaga Manusia (MOM) memberi keterangan semasa perbicaraan tersebut, dengan keterangan mereka sebahagian besarnya serupa.

APA YANG BERLAKU?

Encik Karim bertugas sebagai seorang juruteknik perkhidmatan untuk sebuah syarikat Singapura. Pada 17 Mei 2022, dia merupakan sebahagian daripada sekumpulan anak kapal yang terdiri daripada tiga anggota, yang ditugaskan untuk melakukan kerja penyenggaraan di sebuah kapal di luar Eastern Petroleum A Anchorage, sebuah sektor pelabuhan Singapura.

Setelah selesai tugas, mereka ingin berangkat dari kapal tersebut ke sebuah bot syarikat itu, yang akan membawa mereka ke Marina South Pier.

Namun, setelah Encik Karim turun melalui laluan di sisi kapal dan menyeberang ke dalam bot, dia hilang imbangan lalu jatuh ke belakang ke dalam laut.

Anak kapalnya melihat Encik Karim terjatuh dan segera menjerit meminta bantuan. Anak kapal yang lain pula mencampakkan pelampung kepada Encik Karim, yang mencapainya.

Sekalipun demikian, ketika anak kapal itu cuba menariknya lebih dekat, Encik Karim kehilangan cengkamannya lalu dihanyutkan oleh arus.

Anak kapal tersebut cuba untuk mengemudi bot ke arah Encik Karim bagi mendapatkannya, tetapi dia sudah tidak lagi kelihatan setelah dia tenggelam. Encik Karim merupakan satu-satunya antara ketiga-tiga anak kapal tersebut yang memakai jaket keselamatan.

PCG dan MPA menjalankan operasi mencari dan menyelamat tetapi tidak dapat menemui Encik Karim.

Lima hari kemudian, adik lelaki Encik Karim memberitahu PCG bahawa sebuah akhbar berita Indonesia melaporkan mayat tidak dikenali dalam keadaan mereput dijumpai pihak berkuasa Indonesia di pinggir laut di Batam.

Akbar berita tersebut menerbitkan permintaan untuk mendapatkan maklumat yang dapat membantu menentukan identiti mayat yang tidak dikenali itu. Adik lelaki Encik Karim percaya bahawa mayat tersebut adalah abangnya.

Keesokan harinya, adik lelaki Encik Karim pergi ke hospital tersebut di Batam dan mengenal pasti pakaian abangnya itu.

Menerusi analisis cap jari yang dilakukan di Singapura, identiti mayat tersebut disahkan sebagai Encik Karim.

Punca kematian tidak dapat dipastikan.

JAKET KESELAMATAN TIDAK MENGEMBUNG

Jaket keselamatan Encik Karim dibawa untuk diuji dan didapati masih boleh berfungsi. Ia dapat mengekalkan udara selama sekurang-kurangnya 24 jam jika dikembungkan - tetapi ia bukan jaket yang dikembungkan secara automatik.

Tuil manual untuk mengaktifkan pengembungan jaket tidak digunakan. Penyiasat berkata Encik Karim mungkin gagal mengesan peranti itu, atau gagal mengaktifkannya.

Seorang pegawai penyiasat MOM menarik perhatian bahawa tiada rekod yang menunjukkan Encik Karim diberi taklimat bagaimana untuk menggunakan jaket keselamatan tersebut.

Koroner itu mengarahkan agar penyiasat tersebut menyiasat sekiranya Encik Karim diberi latihan khusus mengenai jaket keselamatan, dan menetapkan perbicaraan seterusnya pada tarikh lanjut.

Berhubung dua rakan setugas Encik Karim yang tidak memakai jaket keselamatan sebagaimana mereka sepatutnya, pegawai MOM tersebut menyatakan bahawa kementerian tersebut sedang mempertimbangkan untuk mengambil tindakan terhadap pihak-pihak yang terlibat.
 
Sumber : CNA/SS/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita