Skip to main content

Singapura

Mayat reput ditemui di sebuah flat Marine Parade

Mayat lelaki berusia 65 tahun ditemui di dalam flatnya yang terletak di Block 30, Marine Crescent kelmarin (9 Jan).

Anggaran Waktu Membaca:
Mayat reput ditemui di sebuah flat Marine Parade

Block 30, Marine Crescent. (Gambar: Aqil Haziq Mahmud)

Diterbitkan : 11 Jan 2018 08:47AM Dikemas Kini : 11 Jan 2018 08:49AM

SINGAPURA: Mayat lelaki berusia 65 tahun ditemui di dalam flatnya yang terletak di Block 30, Marine Crescent kelmarin (9 Jan).

Mediacorp difahamkan bahawa polis menemui mayat yang sudah reput itu dalam flat pada sekitar 9.00 malam.

Jiran lelaki berkenaan, Encik Ng, berkata bahawa beliau tidak melihatnya selama kira-kira seminggu, dan merasakan sesuatu yang tidak kena pada malam Isnin (8 Jan).

Menurut Encik Ng, jirannya itu memelihara seekor anjing. "Malam itu, saya sedang berjalan pulang. Anjing itu menggonggong seperti biasa, tetapi saya tidak memikirkan apa-apa," tambah beliau.

Pada keesokan paginya, pesara berusia 60 tahun itu bercadang untuk menyapa jirannya memandangkan beliau sudah tidak melihatnya sekitar seminggu.

"Itulah pertama kali panggilan saya memasuki mel suara," cerita Encik Ng. "Sebelum ini, dia tentu akan menelefon saya kembali."

Encik Ng cuba membuat panggilan sekali lagi pada sebelah petang, namun tidak dijawab. Ini membuatnya berfikir bahawa sesuatu yang tidak kena berlaku. Ketika beliau mengetuk pintu rumahnya, anjing itu menggonggong sekali lagi.

Menurutnya lagi, anjing itu selalunya menemani jirannya di bilik tidur dan jarang duduk di ruang tamu buat masa yang lama.

Encik Ng segera menelefon saudara perempuan jirannya. Anggota keluarga jirannya membuat aduan polis, untuk mendapat akses masuk ke dalam rumah dengan bantuan tukang kunci.

"Mereka tidak ingin menyebabkan sebarang kerosakan sekiranya dia dimasukkan ke hospital atau pergi ke sesuatu tempat tanpa memberitahu sesiapa," kata Encik Ng.

"Namun, mayatnya ditemui terbujur di lantai dekat dengan pintu."

Mediacorp sudah menghubungi polis untuk mendapatkan maklumat lanjut.
 

Sumber : CNA/AQ/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita