Mayat mangsa letupan Tuas dihantar pulang ke negara asal pada Khamis
Mayat tiga pekerja yang meninggal dunia akibat kecederaan yang dialami menyusuli satu letupan di sebuah bangunan perindustrian di Tuas akan dihantar pulang ke negara asal mereka pada Khamis (4 Mac), menurut Pusat Pekerja Asing (MWC).
(Gambar: Laman dana GIVE.asia/ItsRainingRaincoats)
SINGAPURA: Mayat tiga pekerja yang meninggal dunia akibat kecederaan yang dialami menyusuli satu letupan di sebuah bangunan perindustrian di Tuas akan dihantar pulang ke negara asal mereka pada Khamis (4 Mac), menurut Pusat Pekerja Asing (MWC).
Empat daripada lima pekerja yang diletakkan di unit rawatan rapi sudah dipindahkan ke wad rawatan separa rapi, menurut MWC. Lagi dua pekerja sudah dibenarkan keluar hospital sebelum ini.
"Pasukan kami telah menghubungi keluarga mereka, sambil memberi jaminan bahawa pihak majikan dan MWC akan membantu mereka semasa tempoh sukar ini," menurut pertubuhan itu pada Rabu (3 Mac).
"Bagi memberi jaminan kepada keluarga mereka, kami akan bekerjasama dengan pihak hospital untuk mengaturkan panggilan video antara pekerja yang cedera dengan keluarga mereka secepat mungkin."
Upacara penghormatan terakhir bagi mendiang Encik Marimuthu, Allahyarham Encik Anisuzzaman dan Allahyarham Encik Md Shohel diuruskan oleh syarikat mereka pada pagi Rabu, menurut MWC.
Menurut MWC, pasukannya memberi penghormatan terakhir kepada ketiga-tiga pekerja itu, bersama dengan teman-teman dan keluarga mereka serta Kesatuan Pekerja Binaan Bangunan dan Perusahaan Balak (BATU).
Adik lelaki Encik Marimuthu yang juga bekerja di Singapura, akan membawa pulang mayat abangnya, menurut MWC.
Orang ramai yang ingin menghulurkan bantuan kepada para pekerja yang terjejas akibat letupan di Tuas dan kemalangan lain yang melibatkan "pekerja asing yang menghadapi kesulitan" boleh menyumbang derma kepada Dana Bantuan Pekerja Asing, menurut pusat tersebut.
Secara berasingan, satu kutipan dana online oleh kumpulan yang memperjuangkan nasib dan hak pekerja asing ItsRainingRaincoats (IRR) berjaya mengumpul lebih S$600,000 bagi para pekerja itu menerusi GIVE.asia, menjangkaui sasarannya sebanyak S$300,000.
"Kami tidak fikir kempen ini akan mencecah angka sedemikian tetapi apa yang kami tahu ialah pasukan kami sangat bersyukur atas sokongan padu yang diberikan oleh anda semua," menurut kumpulan itu setelah kempen kutipan derma itu ditutup pada pukul 12.00 tengah hari tadi.
Kutipan derma kilat itu akan "diagihkan sama rata" antara lapan mangsa letupan itu, menurut ItsRainingRaincoats.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.