Mayat ditemui semasa operasi cari NSF SCDF hilang di Pulau Ubin
SINGAPURA: Mayat ditemui pada Ahad (16 Apr) sewaktu operasi mencari anggota Perkhidmatan Negara sepenuh masa (NSF) yang hilang di Pulau Ubin ketika dia tidak bertugas.
Mayat itu ditemui di dalam air Kuari Kekek yang terletak di bahagian utara Pulau Ubin.
Mediacorp difahamkan bahawa mayat itu adalah anggota NSF tersebut.
Pasukan Pertahanan Awam Singapura (SCDF) menyatakan, mayat itu dilihat terapung di kawasan berkenaan pada sekitar pukul 1.00 tengah hari pada Ahad. Pasukan penyelamat yang menjalankan operasi pencarian di kuari itu mengeluarkan mayat berkenaan dari kawasan tersebut.
NSF itu yang merupakan seorang ahli bomba SCDF di Balai Bomba Tampines, diisytiharkan meninggal dunia oleh pasukan paramedik.
"Berdasarkan siasatan awal, polis tidak mengesyaki sebarang perbuatan khianat," menurut Pasukan Polis Singapura (SPF).
Siasatan masih dijalankan, tambah SPF.
SCDF pada Sabtu malam (15 Apr) menyatakan, pihaknya tidak mengesan kelibat NSF itu apabila menerima panggilan bagi meminta bantuan di Kuari Kekek pada sekitar pukul 2.10 pagi Sabtu.
Ia mengerahkan pasukan bomba untuk menjalankan operasi pencarian dari bahagian pantai.
Para anggota penyelamat daripada Pasukan Menyelamat dan Bantuan Bencana (DART) turut mengerahkan Kenderaan Pengawasan Jarak Jauh, yang menggunakan peralatan pengimejan sonar yang memeta kawasan bawah air. Ia berupaya mengurangkan risiko terhadap para penyelam disebabkan oleh jarak penglihatan yang kurang baik.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.