Mayat ditemui di flat Potong Pasir semasa pemeriksaan denggi
Mayat yang sudah tinggal rangka ditemui di sebuah flat di Potong Pasir pada Khamis (2 Jul) setelah pihak berkuasa masuk secara paksa ke dalam sebuah flat untuk melakukan pemeriksaan denggi.

(Gambar: Google Street View)
SINGAPURA: Mayat yang sudah tinggal rangka ditemui di sebuah flat di Potong Pasir pada Khamis (2 Jul) setelah pihak berkuasa masuk secara paksa ke dalam sebuah flat untuk melakukan pemeriksaan denggi.
Polis menyatakan pihaknya dimaklumkan tentang satu kes kematian luar biasa di Blok 139 Potong Pasir Ave 3 pada sekitar 4.00 petang semalam.
"Rangka mayat ditemui dalam unit itu," kata polis sambil menambah mereka tidak mengesyaki perbuatan khianat. Siasatan sedang dijalankan.
Menjawab pertanyaan Mediacorp, para pegawai Agensi Sekitaran Kebangsaan (NEA) menyatakan beberapa pegawainya memasuki flat itu "untuk melakukan pemeriksaan segera" setelah beberapa kali gagal menghubungi pemilik atau penghuni flat itu.
Flat tersebut terletak di dalam sebuah kawasan kelompok penularan aktif denggi dengan 178 kes, tambah NEA.
Singapura sedang menghadapi penularan dengginya yang paling teruk. Sehingga Isnin, lebih 14,000 kes denggi sudah dilaporkan tahun ini. Jumlah keseluruhan kes tahun ini dijangka melebihi 22,170 kes yang dilaporkan pada 2013, penularan terbesar denggi dalam sejarah Singapura.
Bulan lalu, NEA mengumumkan akan mengenakan hukuman lebih tegas ke atas isi rumah yang berulang kali membiak nyamuk atau didapati mempunyai pelbagai tempat pembiakan nyamuk. Ia juga akan memperketat penguatkuasaan ke atas tapak binaan dan majlis bandaran.
Bagi kes-kes yang memerlukan kawalan vektor segera, NEA akan mengeluarkan notis undang-undang kepada penduduk untuk membuka premis mereka bagi pemeriksaan pada tarikh dan waktu yang khusus.
Pihak berkuasa boleh masuk secara paksa sekiranya premis tersebut tetap tidak dapat dimasuki atau kosong.
Tukang kunci, Tan Meng Kee, 51, memberitahu Mediacorp bahawa beliau dilantik NEA untuk membantu membuka pintu flat tersebut.
Mayat itu berada di dapur, kata Mr Tan yang menambah bahawa beliau tidak dapat mengenal pasti sama ada mayat itu lelaki atau wanita kerana ia sudah "tinggal rangka".
Tingkap unit terbuka dan "tidak ada bau sama sekali", tambahnya.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.