Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Maulidur Rasul: Contohi kesantunan, layanan dan sifat-sifat Nabi Muhammad

Umat Islam Singapura diseru supaya mencontohi santunan, layanan serta sifat-sifat mulia Nabi Muhammad, di samping menjadi pembawa rahmah, harapan dan kebahagian kepada orang-orang di sekeliling mereka.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Umat Islam Singapura diseru supaya mencontohi santunan, layanan serta sifat-sifat mulia Nabi Muhammad, di samping menjadi pembawa rahmah, harapan dan kebahagian kepada orang-orang di sekeliling mereka.

Demikian ditekankan dalam tazkirah yang disampaikan sempena sambutan Maulidur Rasul anjuran Kelompok Masjid-Masjid Barat dengan sokongan Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS).

Bertajuk, "Semarak Langkah, Berjiwa Rahmah", tazkirah ini berkisarkan tentang bagaimana Rasulullah menjadi punca kebaikan masyarakat awam, selain menyatupadukan mereka. 

Ia disampaikan oleh Ustaz Muhammad Fakhrur Radzi, Pegawai Eksekutif Unit Strategi Pendidikan Belia dan Masyarakat (MUIS), kepada sekitar 1,000 jemaah di Masjid Assyakirin hari ini (19 Nov).

Antara jemaah yang hadir termasuklah beberapa Anggota Parlimen Melayu/Islam dan Penasihat di Pejabat Mufti, Sheikh Syed Isa Semait.

Tazkirah 20 minit ini turut menyentuh tentang usaha Nabi Muhammad dalam membangunkan institusi yang kini dikenali sebagai Masjid. Bukan sekadar sebuah tempat untuk beribadah, masjid-masjid juga memainkan peranan penting dalam membangun dan menyatupadukan masyarakat. 

Dalam mengeratkan lagi hubungan persaudaraan dan masyarakat, umat Islam juga diingatkan supaya sentiasa menyebarkan rahmah, selain menghulurkan bantuan kepada golongan yang berada dalam kesusahan. 

"Nabi Muhammad kalau kita lihat hadisnya banyak menggalak mereka untuk saling senyum antara satu sama lain, saling membuat kebaikan, beri makan antara satu dengan lain, sebarkan salam. Ini semua banyak membantu masyarakat pada waktu itu untuk bersatu padu dan menyebarkan kebaikan kepada seluruh masyarakat ketika waktu itu," ulas Ustaz Fakhrur Radzi.

Sempena sambutan Maulidur Rasul tahun ini, Masjid Assyakirin juga akan memulakan kempen, "Inspired by Muhammad s.a.w." atau "Diilhamkan daripada Nabi Muhammad s.a.w".

10 papan tanda akan didirikan dengan setiap satu menampilkan nilai-nilai positif yang dimiliki Nabi Muhammad untuk dijadikan inspirasi kepada masyarakat secara umumnya. 

Bagi menyebar luaskan lagi mesej-mesej tersebut khususnya kepada golongan muda, masjid itu juga akan memulakan kempen "Inspired By Rasullah Challenge" atau "Cabaran Diilhamkan daripada Rasulullah". 

Menerusi cabaran itu, para jemaah digalak untuk mengambil swafoto bersama papan-papan tanda sedemikian dan berkongsikannya di media sosial dengan menyertakan hashtag #syukurIBRC dan #syukurAssyakirin.

"Semoga usaha ini serta usaha yang berbagai di masjid- masjid yang lain di seluruh Singapura pada bulan Rabiulawal ini dapat terus menyemarakkan penyebaran nilai-nilai yang positif yang ada dalam ajaran Islam dan juga menjadikan keperibadian Rasulullah s.a.w sebagai bimbingan sepanjang hayat," kata Pengerusi Eksekutif Masjid Assyakirin, Ustaz Muhd Hafiz Abdul Rashid. 

Sumber : BERITA Mediacorp/sm
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan