Skip to main content

Singapura

Matthew Wee bakal dilantik sebagai Pesuruhjaya baharu Perkhidmatan Penjara Singapura mulai April

Anggaran Waktu Membaca:
Matthew Wee bakal dilantik sebagai Pesuruhjaya baharu Perkhidmatan Penjara Singapura mulai April
Matthew Wee Yik Keong akan dilantik ke jawatan tersebut pada 1 April,  menggantikan Cik Shie Yong Lee. (Gambar: MHA)
Diterbitkan : 02 Feb 2026 08:20PM
SINGAPURA: Perkhidmatan Penjara Singapura (SPS) akan mempunyai Pesuruhjaya Penjara yang baharu mulai April ini, selepas pesuruhjaya sekarang, Cik Shie Yong Lee, melepaskan jawatannya.

Encik Matthew Wee Yik Keong akan dilantik ke jawatan tersebut pada 1 April, menurut kenyataan Kementerian Ehwal Dalam Negeri (MHA) pada Isnin (2 Feb).

Beliau kini memegang jawatan sebagai Timbalan Pesuruhjaya Penjara (Operasi dan Pemulihan).

Cik Shie akan melepaskan jawatannya pada hari yang sama dan bakal menyandang jawatan kepimpinan di MHA.

Wanita berusia 53 tahun itu sudah berkhidmat dengan Home Team dengan penuh cemerlang selama 30 tahun, dan memegang beberapa jawatan penting dalam perkhidmatan penjara, jelas kementerian tersebut.

Antara jawatan yang pernah disandang beliau termasuklah Timbalan Pesuruhjaya Penjara dan Ketua Kakitangan.

Beliau juga pernah berkhidmat sebagai pengarah pertahanan awam dan pemulihan di bahagian pembangunan dasar di ibu pejabat MHA.

Beliau merupakan pesuruhjaya wanita pertama bagi SPS.

“Di bawah kepimpinan Cik Shie, SPS secara konsisten kekal sebagai salah satu penjara paling selamat di dunia, yang dicirikan oleh pengurusan banduan yang berkesan dan kadar jenayah berulang yang rendah,” menurut MHA.

“SPS juga diiktiraf dalam kalangan masyarakat pemulihan antarabangsa sebagai peneraju global dalam bidang pemulihan.”

KEPIMPINAN SEMASA PANDEMIK COVID-19

Kementerian tersebut turut menekankan sumbangan Cik Shie semasa pandemik COVID-19, di mana beliau mengetuai SPS dalam menyelaraskan rancangan dan tindakan untuk mengurangkan cabaran serta melaksanakan strategi pembendungan bagi memastikan situasi pandemik terkawal.

Tugas itu dilakukan sambil memastikan program untuk banduan dapat diteruskan, sekali gus menyokong integrasi semula mereka ke dalam masyarakat.

Sebagai pesuruhjaya, Cik Shie menerajui usaha perkhidmatan penjara dalam memanfaatkan teknologi, kata MHA. Ini termasuk memperkenalkan 'tablet' untuk banduan bagi membolehkan mereka berutus surat elektronik dengan keluarga dan mengautomasikan tugasan rutin bagi meningkatkan kecekapan serta keberkesanan operasi.

MHA juga memuji Cik Shie kerana mengemudi SPS dalam memperluas dan meningkatkan kerjasama dengan masyarakat untuk bersama-sama mencipta inisiatif bagi pemulihan dan integrasi semula banduan.

“Usaha sedemikian membantu menggerakkan lebih banyak rakan kongsi masyarakat dan sukarelawan untuk menyokong keluarga banduan serta meningkatkan modal ekonomi, sosial, dan masyarat banduan bagi mengurangkan risiko pengulangan jenayah dengan lebih baik.”

PESURUHJAYA BAHARU

Encik Wee, 51 tahun, sudah memegang beberapa jawatan kepimpinan penting sepanjang 27 tahun berkhidmat dengan Home Team, termasuk sebagai CEO Reben Kuning Singapura dan Yellow Ribbon Industries.

Reben Kuning Singapura adalah agensi pemerintah yang bertujuan membantu bekas pesalah berintegrasi semula ke dalam masyarakat.

Semasa memegang jawatan CEO pertubuhan tersebut, beliau melancarkan pelan induk untuk mengalihkan model latihan dan penempatan ke arah pembelajaran sepanjang hayat dan pertumbuhan kerjaya jangka panjang bagi banduan, lapor MHA.

“Inisiatif-inisiatif ini menyumbang ke arah mencapai matlamat untuk meningkatkan mutu hidup bekas pesalah, mengurangkan kadar jenayah berulang, dan mempromosikan peluang kedua demi masyarakat yang lebih inklusif dan bersatu padu,” katanya.

Dalam jawatan semasanya di SPS, Encik Wee mengetuai semakan Rangkaian Tindakan Masyarakat bagi Pemulihan Bekas Pesalah (CARE Network), dengan fokus baharu untuk membina keupayaan sektor penjagaan susulan (aftercare), jelas kementerian itu.

“Ini termasuk pengenalan program mentor merentas sektor, pengukuhan latihan sukarelawan, dan memupuk perkongsian baharu untuk memperluas sokongan kepada penerima manfaat,” katanya.

Majlis makan malam gala rangkaian itu tahun lalu berjaya mengumpul lebih S$1.7 juta untuk agensi-agensi di bawah CARE Network, yang menyokong lebih daripada 2,000 penerima manfaat.
Sumber : CNA/AY/ay
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita