Skip to main content

Singapura

Matlamat SCIS hasilkan graduan berprinsip, berwawasan dan berkesan: Dr Faishal

Anggaran Waktu Membaca:
Matlamat SCIS hasilkan graduan berprinsip,  berwawasan dan berkesan: Dr Faishal
Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Dr Muhammad Faishal Ibrahim secara rasmi mengumumkan pembentukan Lembaga Pengelola dan Jawatankuasa Pemandu Kolej Pengajian Islam Singapura (SCIS) di acara Simposium SCIS. (Gambar: Facbeook/Paul Hedges)
SINGAPURA: Matlamat yang ingin dicapai menerusi penubuhan Kolej Pengajian Islam Singapura (SCIS) adalah untuk menghasilkan graduan yang yakin dengan pegangan agama mereka, dihormati atas keupayaan mereka, serta mampu berkhidmat kepada masyarakat dan negara dengan berkesan.

Demikian menurut Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam Dr Faishal Ibrahim dalam catatannya di laman Facebook pada Ahad (1 Feb).

Beliau berkata demikian semasa merujuk kepada rencana yang ditulis Mufti Negara Dr Nazirudin Mohd Nasir dalam ruangan Berita Minggu yang diterbitkan pada Ahad (1 Feb).
Dr Faishal turut menarik perhatian kepada beberapa perkara penting yang disentuh mengenai SCIS dalam rencana tersebut.

Menurut beliau, antara perkara yang perlu diambil perhatian termasuk tujuan SCIS, iaitu untuk mempersiapkan generasi asatizah dan pemimpin agama yang bakal berkhidmat kepada masyarakat hari ini dan bagi generasi akan datang.

Usaha tersebut merangkumi pemantapan ilmu dan tradisi Islam, sambil melengkapi diri mereka dengan kemahiran dan laluan yang membolehkan mereka untuk menyumbang kepada pelbagai bidang, menurut Dr Faishal.

Beliau juga menambah, Mufti menekankan bahawa membina sebuah institusi yang kukuh dan diyakini, memerlukan perancangan rapi dari segi tadbir urus dan perancangan laluan kerjaya, supaya graduan "dapat mengorak langkah dengan penuh yakin dan diiktiraf atas kemahiran mereka".

Dr Faishal menulis: "Satu pesanan dari Mufti yang tersemat dalam ingatan saya ialah sebagai masyarakat yang yakin pada jati dirinya, kita perlu membuka hati dan bersedia menimba ilmu daripada yang terbaik.

"Inilah matlamat yang kami ingin capai - graduan yang yakin dengan pegangan agama mereka, dihormati atas keupayaan dan kompetensi, serta mampu berkhidmat kepada masyarakat dan negara dengan berkesan.

"Saya menghargai setiap pandangan yang dikongsi. Sepanjang membangunkan SCIS, kita akan terus bekerjasama dengan pihak-pihak berkepentingan, selaras dengan nilai dan aspirasi masyarakat Islam," kata beliau.

Awal dari itu, barisan anggota Lembaga Pengelola dan Jawatankuasa Pemandu SCIS diumumkan pada 27 Januari lalu, yang terdiri daripada pakar pelbagai bidang.

Dr Faishal juga menulis dalam catatan di laman Facebook beliau pada 28 Januari bahawa kepelbagaian latar belakang dan kepakaran dalam Lembaga Pengelola dan Jawatankuasa Pemandu SCIS penting bagi memastikan generasi asatizah masa hadapan bukan sahaja kukuh dalam ilmu agama, tetapi juga bersedia membimbing masyarakat dalam konteks Singapura yang berbilang kaum dan budaya.
Sumber : BERITA Mediacorp/IM/ay
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita