Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Mata pencarian penghantar makanan seperti Cik Suriati Hashim & Encik Jalani Mahmud merosot setelah lebih banyak sekatan COVID-19 dilonggarkan

Anggaran Waktu Membaca:
Mata pencarian penghantar makanan seperti Cik Suriati Hashim & Encik Jalani Mahmud merosot setelah lebih banyak sekatan COVID-19 dilonggarkan

(Gambar: Raj Nadarajan/TODAY)

Diterbitkan : 08 Apr 2022 09:45AM Dikemas Kini : 08 Apr 2022 10:24AM

SINGAPURA: Permintaan bagi khidmat penghantaran makanan yang menjulang sewaktu pandemik COVID-19 sudah semakin berkurangan sejak beberapa minggu kebelakangan ini. 

Demikian menurut sebilangan pekerja khidmat penghantaran yang berkongsi tentang pengalaman mereka. 

Dengan langkah-langkah kawalan jangkitan kini dilonggarkan dan kedai-kedai makan dan restoran menyaksikan lebih ramai pelanggan duduk menjamu selera di premis masing-masing, para pekerja khidmat penghantaran makanan berkata bahawa ia menjejas mata pencarian mereka. Mereka juga mengaitkan kemerosotan itu dengan waktu makan yang berkurangan pada siang hari sewaktu bulan Ramadan. 

Bagi syarikat penghantaran makanan seperti Foodpanda dan Deliveroo misalnya, mereka menghadapi tempoh penyesuaian ini dengan tenang, menekankan bahawa mereka optimis masih terdapat permintaan sekalipun sekatan-sekatan COVID-19 mungkin akan dilonggarkan lagi. Ini kerana tempahan makanan secara online sudah menjadi "bahagian yang amat diperlukan dalam kehidupan seharian" para pelanggan. 

Cik Suriati Hashim, 60 tahun, seorang penghantar makanan sepenuh masa dengan Deliveroo dan Foodpanda memberitahu Mediacorp bahawa pendapatannya merosot hampir 40 peratus.

"Biasanya saya mendapat sekurang-kurangnya 20 tempahan setiap hari, tetapi sekarang, saya cuma dapat kira-kira 10 hingga 12 pesanan saja. Sangat sukar untuk saya mencapai sasaran saya dan saya biasanya perlu mengambil dua pesanan serentak. Ini bermakna saya akan melakukan penghantaran untuk kedua-dua Deliveroo dan Foodpanda, terutama sekali jika alamat penghantaran terletak berdekatan di kawasan yang sama."

Mediacorp turut bertemu dengan 10 penghantar makanan yang bekerja dengan tiga firma penghantaran makanan utama, iaitu GrabFood, Deliveroo dan Foodpanda. Daripada 10 pekerja itu, dua bekerja secara sambilan, manakala lapan yang lain bekerja sepenuh masa. 

Langkah-langkah COVID-19 berhubung kegiatan-kegiatan sosial seperti duduk makan di kedai makan dan restoran serta had saiz perhimpunan yang dibenarkan sudah dilonggarkan sejak 29 Mac. 

Kesemua perniagaan makanan dan minuman (F&B), termasuk pusat penjaja dan kedai kopi, kini dibenarkan untuk menempatkan kumpulan sehingga lima orang duduk semeja yang sudah lengkap divaksin  tanpa perlu memeriksa status vaksinasi di pintu masuk masing-masing. 

Sebahagian besar penghantar makanan yang diwawancara oleh Mediacorp menyaksikan kemerosotan besar pada pendapatan mereka, terutama sekali bagi mereka yang bekerja sepenuh masa. 

Salah seorang daripada mereka ialah Encik Jalani Mahmud 54 tahun, yang mengatakan bahawa jumlah pesanan yang diterimanya dalam sehari jatuh 50 peratus pada minggu lalu. 

"Sebelum diumumkan perubahan pada langkah-langkah COVID-19, saya berupaya memperolehi sekurang-kurangnya 20 pesanan dalam sehari, tetapi sekarang, nak dapat 10 pun dah susah," katanya. 

Pekerja lain seperti Encik Muqtasid Junjie 27 tahun, seorang penghantar makanan sepenuh masa dengan Grabfood, berkata bahawa beliau kini terpaksa menghabiskan lebih banyak masa untuk menunggu pesanan. 

"Dahulu, apabila saya mula bekerja pada waktu tengah hari, dalam masa lima minit saja, saya akan dapat pesanan pertama saya. Sekarang, saya harus menunggu sehingga 20 minit untuk pesanan masuk." 

Jika dibandingkan dengan tempoh awal pandemik, ketika Singapura menguatkuasakan tempoh pemutus rantaian jangkitan COVID-19 pada April 2020, jumlah pesanan yang berhasil beliau selesaikan dalam sehari sudah merosot sebanyak 30 peratus. 

Para penghantar makanan memberitahu Mediacorp bahawa mereka kini harus memikirkan cara-cara lain untuk menangani kesan kemerosotan pada mata pencarian mereka, yang mungkin bermakna mereka terpaksa ikat perut atau mengambil pesanan lain selain makanan. 

Encik Muqtasid berkata beliau kini sudah mula menghantar bungkusan. 

"Sekurang-kurangnya bagi Grab, terdapat pilihan lain seperti GrabExpress. Jadi, saya akan menghantar bungkusan jika saya tidak menerima sebarang pesanan GrabFood."

Sesetengah penghantar makanan memberitahu Mediacorp bahawa mereka mungkin akan menimbangkan untuk menukar pekerjaan jika kekurangan permintaan berlanjutan. 

Encik Jalani misalnya berkata bahawa beliau mungkin menukar penghantaran makanan kepada kerja sambilan dan mencari pekerjaan lain pada siang hari sebagai sumber utama mata pencariannya. 

Mediacorp turut menghubungi syarikat-syarikat khidmat penghantaran makanan seperti GrabFood, Deliveroo, Foodpanda dan WhyQ untuk mengetahui berapa banyak pesanan telah dibuat dari April hingga Jun 2020 ketika Singapura menguatkuasakan tempoh pemutus rantaian jangkitan COVID-19, tempoh yang sama pada tahun lalu dan sepanjang bulan Mac pada tahun ini. 

Menurut Foodpanda, jumlah pesanan yang dibuat melalui aplikasinya "kekal konsisten sejak sekatan-sekatan dilonggarkan" sekalipun pada 2020, tetapi tidak dapat memberikan perangkaan khusus bagi jumlah pesanan yang diterima. 

Deliveroo juga tidak dapat memberikan perangkaan yang tepat. 

Sungguhpun demikian, kedua-dua syarikat tetap optimis bahawa permintaan bagi khidmat penghantaran makanan online akan berterusan sekalipun jika sekatan-sekatan COVID-19 akan dilonggarkan lagi. 

Menurut Deliveroo: "Dengan penghantaran makanan menjadi bahagian yang sangat diperlukan dalam kehidupan seharian, kami menyaksikan lebih ramai pelanggan dan restoran di platform kami, sayangnya, kami tidak dapat mengongsi perangkaannya.

"Sedang rakyat Singapura menyesuaikan diri dengan gaya hidup baru bekerja dan belajar di rumah, terutama sekali semasa bulan-bulan awal pandemik, ramai yang memilih untuk menggunakan platform-platform penghantaran makanan untuk menikmati makanan kegemaran mereka."

Sumber : Today/NY/ny
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan