"Mat Motor" Fuzzbikes SG bekerjasama dengan WGS agih bubur Ramadan
Pengagihan bubur Ramadan di Wisma Geylang Serai hari ini (10 Apr) menerima sambutan menggalakkan dengan 500 bungkus bubur diagihkan dalam masa dua jam setengah.

Wisma Geylang Serai dan Fuzzbikes SG bekerjasama mengagihkan bubur Ramadan pada 10 Apr 2022. (Gambar: WGS)
SINGAPURA: Pengagihan bubur Ramadan di Wisma Geylang Serai hari ini (10 Apr) menerima sambutan menggalakkan dengan 500 bungkus bubur diagihkan dalam masa dua jam setengah.
Hari ini merupakan Ahad kedua bubur Ramadan diagihkan di luar pejabat KURNIA@WGS di tingkat tiga.
Pada Ahad lalu, sebanyak 400 bungkus bubur diberikan secara percuma kepada orang ramai.
Lagi 800 bungkus bubur akan diagihkan pada 17 dan 24 April ini.
Pengagihan bubur Ramadan itu hasil kerjasama WGS dengan kumpulan motor Fuzzbikes SG.

Pengasas Fuzzbikes SG, Encik Aidil Tamzil berkata: "Ini adalah pertama kali kami bekerjasama dengan pihak WGS dan kami sangat bersyukur mendapat sokongan daripada mereka untuk menjayakan acara ini."
"Niat kami adalah untuk bersedekah dan untuk membantu masyarakat Singapura, lebih-lebih lagi dalam bulan yang mulia ini. Kami berharap dapat bekerjasama lagi untuk tahun-tahun akan datang insya-Allah."
Seramai 15 anggota kumpulan itu turun padang untuk membantu dalam pengagihan bubur petang tadi.
Mereka disertai juga Pengerusi Wisma Geylang Serai, Menteri Negara Ehwal Dalam Negeri merangkap Pembangunan Negara, Dr Muhammad Faishal Ibrahim.
Dr Faishal berkata beliau berasa amat berbesar hati dan sangat senang dengan usaha Fuzzbikes SG untuk berkolaborasi dengan WGS untuk menjayakan projek amal tersebut.

"Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan ribuan terima kasih kepada pihak Fuzzbikes SG dan semua bantuan yang telah diberikan oleh pihak penaja serta para 'bikers' yang hadir untuk membantu dalam projek ini pada setiap Ahad," kata Dr Faishal.
Pengagihan bubur Ramadan ini merupakan sebahagian daripada projek amal yang dilakukan WGS.
Pengurus Besar WGS Encik Nur Effendi Md Esa berkata: "Setiap tahun, WGS akan mengadakan acara-acara projek amal sempena Ramadan."
Fuzzbikes SG turut mendermakan 200 bungkus bubur di Masjid Al-Mawaddah di Sengkang pada setiap Ahad Ramadan ini.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.