Mat motor dari 80 kelab kumpul lebih $22,200 demi bantu Palu
Lebih $22,200 berjaya dikumpulkan hari ini (21 Okt) untuk disalurkan kepada usaha-usaha kemanusiaan bagi mangsa gempa dan tsunami di Palu, Sulawesi Tengah.
SINGAPURA: Lebih $22,200 berjaya dikumpulkan hari ini (21 Okt) untuk disalurkan kepada usaha-usaha kemanusiaan bagi mangsa gempa dan tsunami di Palu, Sulawesi Tengah.
Jumlah itu diraih menerusi semangat perpaduan yang ditonjolkan oleh mat-mat motor dari 80 kelab motor.
Sekitar 1,000 mat motor mengadakan konvoi dari Fort Road ke Pusat Islam Jamiyah, di Lorong 12 Geylang, acara amal yang menyatukan jumlah paling ramai mat motor tidak mengira kaum dan agama.

Acara yang dipanggil 'Bikers Humanitarian Ride' itu turut dihadiri tetamu terhormat, Setiausaha Parlimen Kanan Ehwal Dalam Negeri, Encik Amrin Amin.
"Saya sangat gembira dengan kesungguhan mereka, semangat murah hati mereka, dan saya di sini untuk mengucapkan terima kasih kitalah kerana mereka telah memecahkan rekod. Jadi saya sangat gembiralah ini usaha mereka sendiri, titik peluh mereka," kata Encik Amrin.
Wang tersebut akan digunakan untuk membeli barang-barang dapur dan keperluan makanan, untuk dihantar ke World Central Kitchen, iaitu dapur umum kendalian sebuah badan bukan pemerintah.
Pihak penganjur acara, Vision21, turut merancang untuk membeli khemah untuk dibangunkan menjadi sebuah sekolah sementara buat kanak-kanak di Palu.
Khemah itu boleh memuatkan antara 40 dengan 100 pelajar.
"Apa yang kita harap dicapai daripada acara ini sendiri adalah sebenarnya untuk kumpul derma sebanyak mungkin dan juga beri kesedaran kepada masyarakat agar mereka tahu pentingnya kita bantu saudara Islam kita yang berada di Indonesia," menurut Naib Presiden Vision21, Shaykh Imran Angullia Al-Hafidz.
Semua ini akan dijalankan menerusi kerjasama sebuah persatuan terbesar motor di Indonesia, iaitu Ikatan Motor Besar Indonesia.
"Kami sangat senang datang ke sini dapat bekerjasama dengan mat-mat motor dari Singapura untuk menerima amanah ini dan Insya-Allah akan kami sampaikan kepada orang-orang yang berhak di Palu," kata Encik Mohammad Ikbal, wakil Ikatan Motor Besar Indonesia yang turut menghadiri acara itu.
Syarikat Vision 21 menganjurkan acara tersebut bersama tiga kelab motor tempatan - Biker Union, Bikers Inc Club dan Mat Motor.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.