Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Masyarakat tidak dapat bertahan tanpa perekat sosial yang satukan penduduk: Presiden Halimah

Anggaran Waktu Membaca:
SINGAPURA: Masyarakat tidak dapat bertahan, apatah lagi berkembang maju, tanpa perekat sosial yang menyatukan penduduk, kata Presiden Halimah Yacob pada Selasa (6 Sep) di Persidangan Antarabangsa mengenai Masyarakat Bersepadu (ICCS).

Berucap di edisi kedua acara silang agama global tersebut, Presiden Halimah berkata pandemik COVID-19 menjadi satu peringatan tentang pentingnya perpaduan sosial bagi mewujudkan keselamatan bersama.

"Daya tahan dan kemantapan negara adalah hasil daripada rakyatnya yang bekerjasama ke arah satu tujuan yang sama, bersatu dalam menghadapi cabaran dan ancaman yang dihadapi sesebuah negara, " tambah beliau

"Masyarakat yang bersatu padu tidak wujud secara spontan. Ia adalah satu pilihan dan keyakinan azam untuk mewujudkannya. Pandemik telah menekankan lagi kenyataan ini."

ICCS adalah hasil ilham Presiden Halimah pada 2018 untuk berbincang tentang agama, identiti dan perpaduan masyarakat.

Edisi pertama ICCS dianjurkan oleh Sekolah Kajian Antarabangsa S. Rajaratnam (RSIS) pada Jun 2019 dengan sokongan Kementerian Kebudayaan, Masyarakat dan Belia (MCCY).

Persidangan tahun ini akan diadakan di Pusat Konvensyen Raffles City dari Selasa (6 Sep) hingga Khamis (8 Sep) dan dihadiri lebih 800 peserta dari hampir 40 negara, termasuk ketua agama, penggubal dasar dan pengamal masyarakat sivil.

Timbalan Perdana Menteri Lawrence Wong dijangka berucap pada hari penutup.

ICCS 2022 akan meneliti isu-isu yang sama sebelum ini namun dari kaca mata pengajaran yang ditimba daripada pandemik.

Pandemik COVID-19 merupakan krisis kesihatan awam yang mempunyai implikasi sosial yang serius, kata Puan Halimah pada Selesa.

"Dalam tempoh keresahan sosial dan ketegangan yang semakin meningkat, dan dengan kes-kes tertentu mencetuskan kebencian dan xenofobia. Keadaan sedemikian berubah menjadi keganasan di beberapa tempat, dengan laporan jenayah kebencian terhadap etnik Asia yang dipersalahkan atas penyebaran virus itu," katanya.

Sambil menekankan peri pentingnya untuk memahami faktor yang menyumbang kepada perpaduan sosial, Puan Halimah merujuk kepada tinjauan RSIS yang mendapati bahawa 69 peratus ditinjau di Asia Tenggara percaya bahawa negara mereka sebuah negara yang bersatu padu.

Kajian itu juga mendapati bahawa tahap kepercayaan dan penerimaan antara manusia dan rangkaian sosial yang terjalin merupakan faktor yang mengeratkan perpaduan sosial, kata Puan Halimah.

Ia juga mengalakkan penyertaan dari pemimpin masyarakat dan agama serta pihak berkepentingan lain yang berkaitan untuk membina masyarakat yang bersatu padu.

Dengan penemuan ini, inisiatif seperti Komitmen bagi Melindungi Keharmonian Beragama menjadi lebih penting, tambah Puan Halimah.

Inisiatif itu dilancarkan pada edisi pertama ICCS yang mana pemimpin keagamaan berikrar untuk bersatu demi kebaikan masyarakat bersama, menentang perselisihan dan berpecah belag serta membina jalinan kukuh dalam masyarakat melalui interaksi seperti menghadiri sambutan masing-masing.

Lebih 750 pertubuhan keagamaan di Singapura mengesahkan Komitmen ini, kata Puan Halimah.

"Kita berdepan cabaran global ekoran pandemik," kata Puan Halimah. "Kita harus terus membina wadah terbuka dan selamat untuk membincangkan isu-isu sensitif dan berganding bahu mengukuhkan perpaduan dan daya tahan dalam masyarakat."

Puan Halimah menambah:"Inilah masanya untuk bersatu sebagai sebuah keluarga, menghargai keindahan dalam kepelbagaian dan menggunakannya untuk menangani cabaran yang akan datang supaya kita boleh membina masyarakat yang lebih cerah dan bersatu padu untuk semua."
Sumber : CNA/HY/hy
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan