Masyarakat SG harus hati-hati tidak jadikan perbuatan buli satu kebiasaan: Chan Chun Sing
Selepas beberapa video kejadian buli melibatkan pelajar sekolah rendah dan menengah menjadi tular baru-baru ini, Menteri Pendidikan Chan Chun Sing berkata pada Isnin (14 Okt) bahawa masyarakat perlu berhati-hati, tanpa disengajaka menjadikan tindakan sedemikian sesuatu yang biasa diterima.
Dalam respons yang digabungkan bagi menjawab soalan-soalan Parlimen mengenai isu buli, Encik Chan berkata pelajar yang menyaksikan berlaku kejadian buli diingatkan supaya tidak merakam dan berkongsi kejadian itu di wadah online.
Ini bagi mengelakkan daripada menyakiti lagi mereka yang terlibat.
Setiap orang perlu berhati-hati dalam memberi respons kepada video-video yang menular itu, katanya.
"Menyebarkan bahan-bahan sedemikian, cuba mendedahkan identiti pelaku atau menggesa supaya mereka dipinggirkan mungkin akan menyebabkan mereka lebih terasing, dan mendorong mereka melakukan tindakan ekstrem selain menyukarkan mereka untuk memperbaiki diri mereka," kata Encik Chan.
Para pelaku sering kali perlukan bantuan untuk membuka lembaran baharu.
"Kami mahu elakkan sebarang tindakan yang boleh menghalang atau tidak memberi peluang kepada si pelaku daripada menjalani pemulihan, seperti tingkah laku di media sosial yang tidak memberi hasil positif."
Encik Chan juga menggesa semua orang supaya tidak memberi galakan kepada peniru dan percubaan untuk 'atasi' video insiden buli yang viral, satu sama lain.
Pada bulan lalu, polis menyatakan mereka sedang menyiasat kejadian buli selepas muncul satu video yang menunjukkan seorang pelajar Sekolah Menengah Bukit VIew diejek dan ditendang.
Anggota Parlimen memfailkan lapan soalan secara keseluruhan di Parlimen hari ini.
AP Wan Rizal (PAP-Jalan Besar) bertanya sama ada para guru 'dilengkapi dengan kemahiran dan pengetahuan mencukupi' untuk mengenal pasti dan menguruskan kes buli terutama sekali dalam keadaan di mana mangsa tidak melaporkan kejadian seumpamanya.
AP Louis Chua (WP-Sengkang) pula ingin tahu jumlah kes buli yang dilaporkan di sekolah sepanjang tempoh lima tahun lalu serta sumber dan dasar yang dilaksanakan di sekolah untuk mempertingkatkan pengesanan, laporan dan pembetulan kes sedemikian.
USAHA 'BANTU PEMBULI MULAKAN LEMBARAN BAHARU'
Dalam jawapannya hari ini, Encik Chan juga menarik perhatian kepada kurikulum Pendidikan Perwatakan dan Kewarganegaraan (CCE) di mana pelajar belajar untuk menyelesaikan sebarang salah faham secara berhemah dan mempertahankan diri daripada dibuli.
Tambahnya, guru dan kaunselor sekolah juga akan menyediakan sokongan emosi kepada pelajar yang terjejas oleh insiden buli - sama ada sebagai mangsa atau pembuli - dan sumber-sumber masyarakat bagi membantu mereka yang masih terkesan.
Matlamat usaha pendidikan dan pemulihan itu adalah untuk membantu pelajar belajar daripada kesilapan mereka, kata Encik Chan.
Kementerian Pendidikan (MOE) mengambil pendekatan berperingkat terhadap kes buli berdasarkan betapa serius kejadian itu, kata Encik Chan.
Sebagai contoh, dalam ke yang berlaku akibat seseorang yang terlepas cakap atau perselisihan faham, guru akan membimbing pelajar untuk memahami perbezaan masing-masing dan mencapai persefahaman.
Dalam kes yang melibatkan perbuatan buli secara berterusan dan disengajakan, tindakan disiplin tegas akan diambil selain daripada tindakan pemulihan.
Sekolah juga akan membimbing pelajar untuk melaporkan insiden buli siber kepada penyedia khidmat online yang relevan.
Encik Chan menegaskan profil dan keperluan pelajar yang terlibat perlu dipertimbangkan apabila tindakan disipin diambil, kata Encik Chan.
Pembuli boleh dihukum dengan ditahan dalam bilik darjah atau digantung sekolah.
Hukuman sebat merupakan pilihan terakhir bagi pelajar lelaki dan dilakukan dengan cara sesuai oleh orang dewasa yang diberi kelulusan, katanya.
Bagi kes buli atau pergaduhan serius, aduan polis akan dibuat dan mereka yang terlibat akan berdepan tindakan mengikut undang-undang.
Menurut Encik Chan, MOE akan terus bekerjasama dengan pihak sekolah untuk mengongsikan amalan baik dan menyemak strategi sedia ada untuk menangani kes buli.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.