Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Masyarakat perlu terus waspada; jangan biarkan ancaman radikalisasi pecah-belahkan kita: Masagos

Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam Masagos Zulkifli menggesa masyarakat supaya terus berwaspada dan berdiri teguh bersama di tengah-tengah wujudnya ancaman pengganasan dan radikalisasi di Singapura.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam Masagos Zulkifli menggesa masyarakat supaya terus berwaspada dan berdiri teguh bersama di tengah-tengah wujudnya ancaman pengganasan dan radikalisasi di Singapura.

Encik Masagos berkata demikian dalam satu catatan Facebook pada Rabu (10 Mac) menyusuli laporan melibatkan seorang belia Muslim berusia 20 tahun yang merancang melakukan serangan terhadap masyarakat Yahudi di sini.

Menurut Encik Masagos, beliau bersyukur bahawa tindakan belia itu dapat dipintas dengan cepat dan tangkas oleh agensi keselamatan Singapura, sebelum kemusnahan berlaku.

"Lebih penting lagi, kita harus bertenang, dan komited untuk bekerjasama membanteras ancaman radikalisasi ini bersama-sama sebagai satu negara," tambahnya.

Kes terbaru itu juga membuktikan bahawa pengganasan dan risiko radikalisasi secara sendiri terus wujud di Singapura tidak kira bangsa atau agama, kata Encik Masagos.

Katanya lagi, banyak waktu terluang di Singapura untuk membina kepercayaan dalam kalangan pemimpin agama dan masyarakat.

"Mereka peka perlunya mengelak situasi ketegangan antara kaum dan mampu mengatasinya jika ia berlaku. Dalam masa-masa yang mencabar ini, saya gembira melihat para pemimpin berbilang agama kita berdiri teguh dan bersatu hati menyebarkan mesej keamanan dan kesatuan," kata Encik Masagos.

Mufti Negara dan Ketua Eksekutif MUIS mengunjungi rakan-rakan dari masyarakat Yahudi pagi tadi untuk bertanyakan khabar dan memperkukuh persahabatan serta iltizam bagi memupuk keamanan bersama.

Sehubungan itu, Encik Masagos menyeru kerjasama seluruh masyarakat dalam melindungi perpaduan sosial dalam kalangan masyarakat berbilang bangsa dan agama.

"Pihak agensi keselamatan terpaksa berjaya setiap kali untuk menangkap mereka yang mempunyai niat mengganas.

"Tetapi pengganas hanya perlu berjaya sekali sahaja untuk merosakkan keamanan dan kesentosaan di negara kita.

"Kita mesti terus berwaspada dan bersatu padu dalam kita berusaha untuk sama-sama melindungi orang-orang yang kita kasihi, masyarakat kita serta Singapura," kata Encik Masagos sebelum mengakhiri catatannya.

Sumber : BERITA Mediacorp/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan