Masyarakat perlu lebih bersikap empati dan meraikan pendapat berbeza: AP Nadia Samdin
Perkara penting yang perlu dilakukan sebelum mengorak langkah bangkit lebih kukuh sebagai satu masyarakat, adalah untuk mengakui terdapat beberapa gelembung yang menyelubungi diri kita.
SINGAPURA: Perkara penting yang perlu dilakukan sebelum mengorak langkah bangkit lebih kukuh sebagai satu masyarakat, adalah untuk mengakui terdapat beberapa gelembung yang menyelubungi diri kita.
Gelembung tersebut mungkin akan menyebabkan masyarakat berpecah-belah dan kita perlu memikirkan cara untuk merapatkan jurang itu.
Lantaran itu juga, masyarakat perlu mengimbangi jurang dan kekurangan empati dalam masyarakat dan menjadi lebih terbuka kepada pendapat yang berbeza atau bertentangan.
Demikian harapan AP GRC Ang Mo Kio, Cik Nadia Samdin semasa membentangkan ucapannya di Konvensyen Parti Tindakan Rakyat (PAP) pagi tadi (28 Nov).
BERMULA DENGAN SIKAP EMPATI
Menurut Cik Nadia, kesan perbezaan antara generasi, sikap tiada toleransi antara kaum dan peralihan peranan jantina dapat dirasakan di tempat-tempat kerja mahupun di alam maya.
Mengulas lebih lanjut, Cik Nadia berkata bahawa masyarakat harus meningkatkan usaha untuk menghapuskan penghalang dan diskriminasi di tempat kerja, sekolah, rumah dan masyarakat.
Beliau menukil contoh bagaimana masyarakat sejagat mungkin akan berkongsi video-video atau catatan media sosial dan akan terdapat suara negatif atau perselisihan pendapat di ruang komen.
"Menambat hati dan fikiran juga mesti dilakukan dalam ruang digital, seperti TikTok, Zoom dan Telegram yang kini sering digunakan khalayak ramai. Namun, dek tekanan pandemik serta kekurangan perdebatan dan wacana penuh hormat dalam talian yang mantap, ia mencipta konflik tanpa henti di mana kita lebih kerap mengulas dan bukannya berkomunikasi,"
"Kita sering bertindak balas kepada suara-suara yang bertentangan dengan cara melakukan ancaman iaitu melawan (dengan membalas) atau melarikan diri," tambah Cik Nadia.
Menurutnya lagi, kedua-dua cara tindak balas itu tidak baik untuk pertumbuhan kita sebagai sebuah masyarakat.
Sebaliknya, beliau berkata bahawa masyarakat kita perlu mengimbangi jurang empati dalam masyarakat dan menjadi lebih selesa untuk memahami pendapat berbeza atau yang bertentangan.
"Kita perlu sedar akan kecenderungan yang wujud dan menyedari bahawa ruang bersama yang berharga yang kita kongsi bersama kawan-kawan dan jiran tetangga adalah sesuatu yang perlu dijaga," ujar Cik Nadia.
"Perbezaan itu bukanlah dalam bentuk ancaman. Ia adalah peluang untuk kita mempunyai perbualan tentang topik-topik bukan ringan. Saya berharap kita adakan perbualan sebegitu dan dalam mendengar, sekurang-kurangnya kita menjadi terbuka kepada kemungkinan untuk mengubah fikiran," tambahnya lagi.
Dalam ucapannya, Cik Nadia berkata kepada lebih 2,000 anggota PAP: "Empati harus mendorong kita untuk memperkuatkan lagi suara orang lain, untuk bergabung tenaga demi tujuan bersama, untuk masa hadapan kita. Kita dari dahulu menjadi parti tindakan dan sikap empati adalah cara kita akan kekal relevan dan terus mengambil tindakan yang bermakna untuk rakyat Singapura.
MEMANFAATKAN ASAS KUKUH
Cik Nadia turut menyentuh bagaimana golongan belia memainkan peranan amat penting untuk masa depan Singapura.
Menurutnya, generasi seterusnya boleh memanfaatkan asas kukuh yang dibina untuk memperhebatkan lagi negara kita sambil memanfaatkan kekuatan dalam perbezaan masyarakat Singapura.
"Belia kita membesar di dalam era di mana perubahan pesat adalah kebiasaan. Ia adalah penting untuk memastikan golongan belia kita berakar pada tradisi. Namun ia juga penting untuk menyediakan ruang untuk mereka mengorak langkah untuk Singapura," ujar Cik Nadia.
"Kita harus memberikan harapan kepada belia kita bahawa mereka boleh meraih kejayaan yang lebih baik dari zaman kini. Pemerintah harus menjadi pemangkin untuk memastikan bahawa keadilan dan akses kepada peluang akan sentiasa ada," tambahnya.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.