Masyarakat perlu kekal teguh bersama dalam harungi isu keharmonian kaum, masyarakat inklusif
Para anggota parlimen (AP) yang dihubungi BERITAmediacorp pada Ahad (29 Ogos) merasakan bahawa isu keharmonian kaum yang disentuh Perdana Menteri Lee Hsien Loong dalam ucapan Rapat Umum Hari Kebangsaan merupakan satu isu yang penting.

Penonton semasa NDP 2021 (Gambar: MCI)
SINGAPURA: Para anggota parlimen (AP) yang dihubungi BERITAmediacorp pada Ahad (29 Ogos) merasakan bahawa isu keharmonian kaum yang disentuh Perdana Menteri Lee Hsien Loong dalam ucapan Rapat Umum Hari Kebangsaan merupakan satu isu yang penting.
Mereka berkongsi pandangan sejurus selepas PM Lee menyampaikan ucapan bahasa Melayunya.
AP GRC Chua Chu Kang, Zhulkarnain Abdul Rahim berpendapat bahawa keharmonian kaum merupakan satu isu yang senantiasa memerlukan usaha yang berterusan daripada semua pihak.
“Semua masyarakat berbilang kaum di negara kita telah sekian lama berusaha untuk menampung, saling melibatkan diri dan meningkatkan persefahaman dalam memupuk sifat kepercayaan dan semangat bersatu antara satu sama lain,” tambanya.
Encik Zhulkarnain juga berharap masyarakat Singapura akan memegang teguh pada kepercayaan bahawa potensi seseorang itu bukan bergantung pada keterampilan atau warna kulit mereka tetapi sejauh mana kemampuan, kelayakan dan kemahiran individu itu.
Melihat perkembangan dan kemajuan masyarakat dewasa ini, AP GRC Ang Mo Kio, Nadia Ahmad Samdin akur bahawa percanggahan pendapat itu kian menjadi satu kelaziman.
“Semakin masyarakat kita maju dan identiti kita berkembang, semakin lumrah untuk mendengar perbezaan pendapat. Pandangan kita mungkin berbeza, namun masyarakat kita tidak harus berpecah belah,” jelas Cik Nadia.
Bagi AP GRC Sembawang, Mariam Jaafar pula, masyarakat perlu kekal teguh bersama dalam menangani isu-isu rumit itu.
Kata beliau, “Sedang kita belajar untuk mengharungi isu-isu kompleks bersama, ayuh kita teguh bersama, bantu satu sama lain dan terus tegaskan komitmen kita untuk melindungi keharmonian kaum dan masyarakat inklusif kita”
PENDIDIKAN KUNCI MASYARAKAT INKLUSIF
Selain isu keharmonian kaum, PM Lee turut menyentuh tentang membina sebuah masyarakat inklusif dan menurut beliau, pendidikan adalah kuncinya.
Cik Mariam menarik perhatian bahawa hal tersebut merupakan isu yang penting bagi masyarakat Melayu.
“Ini signifikan bagi masyarakat Melayu kita, lebih-lebih lagi bagi para pelajar yang ketinggalan di sekolah, para pekerja bergaji rendah dan pekerja lebih berusia yang mempunyai kurang kemahiran dan pendidikan,” kata Cik Mariam.
Untuk merapatkan lagi jurang dalam kadar pemilikan rumah dan pendidikan, PM Lee menyebut tentang dua usaha iaitu DIAN@M³ dan UPLIFT.
Akur bahawa isu seperti ini tidak mudah untuk diselesaikan, Cik Nadia berkata, "Ada kes yang amat rumit untuk dihuraikan dan memerlukan pendekatan dan bantuan yang lebih menyeluruh. Saya harap usaha seperti Pasukan Sokongan Pemilikan Rumah (HST) dan program UPLIFT dan membantu lebih ramai penduduk Singapura."
LAPORAN BERKAITAN:
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.