Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Masyarakat Muslim sumbang $59.5 juta zakat tahun lalu; bantu lebih banyak keluarga

Jumlah tersebut hampir 15% lebih tinggi berbanding jumlah yang dikumpulkan pada 2020.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Masyarakat Muslim menyumbang zakat sebanyak $59.5 juta tahun lalu.

Jumlah tersebut hampir 15 peratus lebih tinggi berbanding jumlah yang dikumpulkan pada 2020.

Peningkatan dari segi sumbangan itu sekali gus membolehkan lebih banyak keluarga memerlukan meraih manfaat daripada dana zakat tersebut.

Demikian menurut Ketua Eksekutif Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS) Kadir Maideen dalam ucapannya di majlis berbuka puasa MUIS hari ini (14 Apr).

"Bantuan zakat bulanan kami kini memberi manfaat kepada 7,800 keluarga - peningkatan sebanyak 19 peratus berbanding tahun sebelumnya," kata Encik Kadir.

Beliau juga menarik perhatian bahawa 90 peratus masyarakat membuat pembayaran zakat mereka menggunakan kaedah-kaedah elektronik.

Encik Kadir menambah, lagi $13.1 juta juga dikeluarkan bagi menyokong pendidikan Islam melalui inisiatif-inisiatif seperti Skim Bantuan Dana Kemajuan Madrasah (PROMAS) dan Dana Pendidikan Islam yang menghulurkan bantuan kewangan kepada para pelajar madrasah dan aLIVE daripada keluarga-keluarga berpendapatan rendah.

Secara keseluruhan, sebanyak $28.7 juta diagihkan kepada golongan miskin dan memerlukan bagi pelbagai progran dan skim MUIS.

MUIS AGIH 2 JUTA DOLAR RAMADAN INI

Malah pada bulan Ramadan ini sahaja, sebanyak dua juta dolar diagihkan kepada 6,500 penerima bantuan.

Selain memberikan pengagihan itu secara langsung, kata Encik Kadir, MUIS juga bekerjasama dengan 45 Rumah Kebajikan dan 20 Pusat Khidmat Keluarga bagi mengagihkan dana zakat itu kepada para penerima Muslim.

Sempena bulan Ramadan ini juga, sebanyak 125 keluarga menerima set barang dapur di bawah Gerakan SalamSG.

Pejabat FITRAH juga mengagihkan habuan termasuk kurma dan susu tepung kepada keluarga-keluarga para pesalah.

Bantuan dari segi Hamper Ramadan, Pengagihan Raya serta 'makeover' rumah juga sedang dijalankan bagi para penerima zakat minggu ini.

buka puasa

Dalam pada itu, Encik Kadir juga merakamkan penghargaannya buat rakan-rakan masyarakat, para pemimpin dan sukarelawan masjid serta para relawan Yayasan Rahmatan Lil Alamin atas segala usaha dan inisiatif mereka dalam mendampingi masyarakat.

"Saya juga ingin mengucapkan terima kasih kepada para pemimpin masjid kita yang menyesuaikan diri secara aktif dengan keperluan masyarakat, tidak kira dari segi menyediakan program pembelajaran online Islam mahupun menyokong pelbagai projek masyarakat Gerakan SalamSG.

"Semoga segala usaha anda diberkati dengan melimpah dalam bulan yang mulia ini," kata Encik Kadir.

Majlis buka puasa MUIS yang diadakan secara hibrid itu turut dihadiri Presiden Halimah Yacob, para menteri dan pemimpin masyarakat.

Sumber : BERITA Mediacorp/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan