Masyarakat muslim Singapura sambut tahun baru 1440 Hijrah
Masyarakat tempatan menyambut kemunculan awal Muharram atau tahun baru Islam, iaitu 1440 Hijrah.
SINGAPURA: Masyarakat tempatan menyambut kemunculan awal Muharram atau tahun baru Islam, iaitu 1440 Hijrah.
Pelbagai majlis kesyukuran diadakan di masjid-masjid serata negara.
Di Masjid Al Khair yang terletak di Teck Whye misalnya, lebih daripada 1,200 jemaah hadir untuk membacakan doa akhir dan awal tahun.
Majlis dipimpin oleh Mufti Negara Dr Fatris Bakaram.
Turut hadir ialah Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Masagos Zulkifli serta dua orang Menteri Negara Kanan, iaitu Dr Mohamad Maliki Osman dan Zaqy Mohamed dan Setiausaha Parlimen Kanan, Kementerian Pembangunan Sosial dan Keluarga dan Kementerian Pendidikan, Profesor Madya Muhammad Faishal Ibrahim.
MUFTI: JANGAN SENANG PUAS HATI DENGAN PENCAPAIAN
Dalam syarahan beliau sempena awal Muharram, Dr Fatris memuji peranan berterusan masyarakat Islam dan MUIS dalam menjalankan tanggungjawab menyemai nilai kebersamaan dan perpaduan dalam konteks masyarakat yang berbeza agama dan bangsa.

Dr Fatris Bakaram menyambaikan syarahan di hadapan 1,200 jemaah. (Gambar: MUIS)
Beliau juga mengajak masyarakat agar jangan mudah berpuas hati.
"Sesuai dengan tema ‘Hijrah’ di mana hijrah itu membawa maksud perubahan, membawa maksud peningkatan, membawa maksud kesungguhan kita untuk tidak berpuas hati dengan pencapaian kita.
"Ayuh kita teruskan langkah yang penuh yakin ini, langkah ke hadapan untuk mencapai apa yang kita impikan untuk kebaikan diri kita, untuk kita wariskan juga kebaikan ini untuk generasi yang akan datang," tekan Mufti Negara itu.
Acara Zikral Hijrah itu dianjurkan oleh MUIS, dengan kerjasama Kelompok Masjid Barat dan Masjid Al-Khair.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.