Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Masyarakat Muslim boleh berbangga dapat harungi pandemik dengan baik, kata Presiden Halimah

Masyarakat Melayu/Islam setempat boleh berbangga kerana sudah mengharungi pandemik COVID-19 dengan baik dan dalam proses itu, mengambil iktibar berharga daripadanya.

Anggaran Waktu Membaca:
Masyarakat Muslim boleh berbangga dapat harungi pandemik dengan baik, kata Presiden Halimah

Presiden Halimah Yacob menyampaikan ucapan sempena Hari Raya Aidilfitri pada 2 Mei 2022. (Petikan video: Halimah Yacob/Facebook)

SINGAPURA: Masyarakat Melayu/Islam setempat boleh berbangga kerana sudah mengharungi pandemik COVID-19 dengan baik dan dalam proses itu, mengambil iktibar berharga daripadanya.

Demikian menurut Presiden Halimah Yacob dalam satu ucapan sempena Hari Raya Aidilfitri di Facebook pada Isnin (2 Mei).

"Pandemik ini telah memberi pelbagai pedoman untuk kita menghadapi sebarang cabaran pada masa depan. Sebagai satu masyarakat, kita telah mengukuhkan perpaduan dan mengekalkan kepercayaan antara satu sama lain," kata Puan Halimah.

Beliau menambah COVID-19 menguatkan perpaduan dan tekad masyarakat untuk menghulurkan sokongan kepada golongan memerlukan. Sifat bermurah hati seperti itu katanya, mendekatkan lagi masyarakat kepada erti sebenar iman.

Meskipun COVID-19 menjejas teruk kedua-dua kesihatan dan ekonomi negara - satu tamparan hebat yang belum pernah dialami dalam sejarah Singapura - masyarakat kekal bersatu padu dan utuh sebagai satu rakyat.

"Buat pertama kalinya, kami mengenakan sekatan terhadap mengerjakan solat di masjid-masjid dan menyambut dua Hari Raya secara serba sederhana namun, kita menerima hakikat itu dan mendepaninya. Kita juga terus memupuk persefahaman serta kepercayaan kukuh dengan masyarakat agama lain," ujar Puan Halimah.

Pelonggaran langkah-langkah pengurusan selamat COVID-19 yang diumumkan pada minggu lalu, kata Puan Halimah, membuka ruang kepada masyarakat Melayu/Islam untuk meraikan Lebaran dengan lebih meriah setelah dua tahun.

Beliau juga memuji sikap individu yang memanfaatkan masa terluang untuk meningkatkan mahupun mempelajari kemahiran baru ekoran kehilangan pekerjaan atau menghadapi pemotongan gaji dek terkesan oleh pandemik dari segi ekonomi.

"COVID-19 mengajar kita supaya bersiap sedia untuk menghadapi ketidaktentuan dan gangguan yang buruk serta bangkit semula daripada masalah. Kami sudah melakukannya dengan baik," kata Presiden.

Puan Halimah turut menzahirkan penghargaannya kepada masyarakat Muslim kerana memainkan peranan masing-masing dalam memerangi COVID-18 dan mengekalkan perpaduan.

"Saya juga mengucapkan terima kasih kepada MUIS, pemimpin masjid, asatizah dan pemimpin masyarakat kerana memainkan peranan penting dalam mengatasi COVID-19."

"Selamat Hari Raya Aidilfitri, mohon maaf zahir dan batin."

Sumber : BERITA Mediacorp/FZ/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan