Skip to main content

Singapura

Masyarakat mualaf Islam semakin rencam, MCAS perluas usaha pupuk semangat kebersamaan

Anggaran Waktu Membaca:

Diterbitkan : 19 Jul 2026 05:34PM Dikemas Kini : 11 Aug 2026 01:26PM
SINGAPURA: Lebih banyak budaya lain dapat dipelajari golongan mualaf Islam sempena Hari Keharmonian Kaum tahun ini dalam acara anjuran Darul Arqam Singapura.

Acara Mosaic of Faith edisi tahun ini menambah lagi tiga reruai untuk memaparkan budaya Vietnam, India dan Eropah.

Ini tambahan kepada lagi lima budaya seperti Jepun, Indonesia dan Filipina yang ditampilkan dalam edisi lalu.

Menurut Presiden Darul Arqam Singapura (MCAS), Muhammad Imran Kuna Abdullah, tambahan reruai Vietnam, India dan Eropah menyusuli peningkatan jumlah mualaf Islam daripada masyarakat berkenaan, sekali gus memberi ruang kepada lebih banyak budaya untuk ditampilkan.

USAHA BERTERUSAN DALAM MENYANTUNI MASYARAKAT MUALAF YANG SEMAKIN MENINGKAT

Bercakap kepada BERITA Mediacorp semasa acara, Encik Imran berkata: "Saudara baharu hari ini datang daripada pelbagai latar belakang dan kumpulan etnik, daripada masyarakat Cina dan Vietnam hingga Jerman, India dan Filipina.

“Justeru, kami cuba menganjurkan kegiatan yang menampilkan kepelbagaian budaya dan tradisi. Apabila mereka berkumpul, mereka dapat saling mengenali dan meskipun berbeza dari segi bahasa, pakaian dan cara hidup, kami tetap sebuah keluarga yang bersatu."

Bahkan, Kelab Vietnam di bawah inisiatif Kumpulan Berbilang Negara (MNC) turut dilancarkan tahun lalu bagi memenuhi keperluan masyarakat Muslim Vietnam yang semakin berkembang itu.
Related article image
Presiden Darul Arqam Singapura (MCAS), Muhammad Imran Kuna Abdullah (kiri), bersama (dari kanan) Anggota Parlimen (AP) GRC Marine Parade-Braddell Heights, Encik Goh Pei Ming, Speaker Parlimen, Seah Kian Peng, dan AP GRC Marine Parade-Braddell Heights, Cik Diana Pang. (Gambar: Hernarrative)
Menurut Encik Imran, perubahan dalam landskap masyarakat Mualaf turut mendorong MCAS menyesuaikan pendekatan serta programnya agar setiap individu dapat membina rangkaian sokongan tanpa mengira bahasa atau latar belakang.

"Dengan pertambahan mualaf baharu, MCAS berada pada kedudukan yang unik untuk menyantuni mereka. Fokus kami adalah untuk mengalu-alukan mereka, membimbing mereka dan memastikan mereka menjadi sebahagian daripada masyarakat Muslim arus perdana supaya mereka tidak berasa tersisih," jelas beliau.

Setiap kegiatan yang dianjurkan MCAS, tambah Encik Imran bertujuan memupuk semangat kebersamaan dalam kalangan saudara baharu daripada pelbagai kaum dan bahasa.

Usaha demikian termasuk membuka ruang kepada penganjuran program yang lebih besar seperti acara 'Mosaic of Faith'.

Diadakan di MCAS Darul Arqam di Onan Road, acara itu dihadiri Speaker Parlimen, Seah Kian Peng, Anggota Parlimen GRC Marine Parade-Braddell Heights, Diana Pang dan Encik Goh Pei Ming.

Ia turut menghimpunkan lebih 300 peserta daripada pelbagai negara dan latar belakang.

CUBA PAKAI KIMONO, RASA HIDANGAN MYANMAR

Ada yang tidak melepaskan peluang menyarung kimono tradisional Jepun buat kali pertama.

Ada juga teruja mencuba hidangan autentik negara Myanmar yang disediakan.

Antara yang hadir ialah seorang warga Jerman, Lars Vetterlein, 50 tahun.

Baginya, acara sedemikian membuktikan bahawa memeluk Islam tidak bermakna seseorang itu perlu meninggalkan budaya asal.

"Apabila anda datang ke Singapura dan memeluk Islam, pada awalnya anda mungkin berasa agak kehilangan arah tetapi acara seperti ini menunjukkan bahawa anda bukan keseorangan. Ramai lagi yang melalui perjalanan yang sama," ujar Encik Lars.
Related article image
Lars Vetterlein, 50 tahun, yang merupakan warga Jerman, menyambut baik acara Mosaic of Faith anjuran Darul Arqam Singapura (MCAS). (Gambar: BERITA Mediacorp/Batrisyia Kamal Baharim)
Menurut beliau, acara yang menghimpunkan saudara baharu daripada pelbagai negara bukan sahaja memberi peluang untuk saling mengenali, malah mengingatkan mereka bahawa perjalanan sebagai seorang Muslim tidak perlu dilalui bersendirian seperti dirinya yang memeluk agama Islam pada 2005.

"Acara seperti ini menunjukkan walaupun kita disatukan oleh Islam, kita tetap perlu berpegang teguh pada akar budaya sendiri. Terimalah dan bawalah nilai-nilai itu dalam kehidupan seharian kerana akhirnya ia akan memperkukuh seluruh masyarakat," tambah beliau.

Pandangan itu turut dikongsi Siti Fatimah Misuzu Motoyama, 39 tahun, yang memeluk agama Islam pada 2020.

Sebagai seorang Islam berbangsa Jepun, beliau mengakui "masyarakat Muslim Jepun di Singapura masih kecil namun, lebih selesa menjadi seorang Muslim di Singapura".

"Dengan adanya masyarakat (Mualaf) ini, saya berpeluang mengenali ramai orang, bukan sahaja daripada masyarakat Jepun malah budaya lain juga," katanya.
Related article image
Cik Siti Fatimah Misuzu Motoyama (dua dari kanan) bersama komuniti mualaf Jepun di Singapura. (Gambar: BERITA Mediacorp/Batrisyia Kamal Baharim)
Cik Siti Fatimah berkata usaha mengekalkan identiti budaya tidak terhad kepada acara tersebut.

Sebagai jurulatih tarian dan gimnastik, beliau terus memperkenalkan budaya, adab dan tata susila masyarakat Jepun kepada kanak-kanak yang diajarnya di Singapura.

Bagi Cik Siti Fatimah, budaya dan agama boleh saling melengkapi, sekali gus memperkayakan masyarakat Islam yang semakin pelbagai di Singapura.
Sumber : BERITA Mediacorp/bk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita