Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Masyarakat Mesra Demensia dilancarkan di Toa Payoh East

Masyarakat Mesra Demensia (DFC) dilancarkan di Toa Payoh East hari ini (12 Feb) dengan pelbagai program holistik diperkenalkan di estet itu.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Masyarakat Mesra Demensia (DFC) dilancarkan di Toa Payoh East hari ini (12 Feb) dengan pelbagai program holistik diperkenalkan di estet itu.

Anggota Parlimen GRC Bishan-Toa Payoh Saktiandi Supaat yang melancarkan daya usaha itu menyatakan ini dilakukan kerana lebih ramai orang dijangka menghidap demensia pada tahun-tahun mendatang, lebih-lebih lagi dengan golongan warga emas yang semakin terasing dek COVID-19.

Satu kajian yang dijalankan Institut Kesihatan Mental (IMH) pada 2015 mendapati satu daripada setiap 10 rakyat Singapura berusia 60 tahun dan ke atas menghidap demensia.

Bilangannya dijangka meningkat kepada 152,000 menjelang tahun 2030 kata Encik Saktiandi.

TINGKAT KESEDARAN, LEBIH BANYAK SOKONGAN, INFRSTRUKUR MESRA DEMENSIA

Lantaran itu kata Encik Saktiandi, pihaknya akan mengambil tiga pendekatan dalam inisiatif program DFC Toa Payoh East.

Pertama, katanya, lebih banyak usaha akan diadakan untuk meningkatkan kesedaran mengenai demensia.

Badan-badan akar umbi di Toa Payoh East akan bekerjasama dengan agensi-agensi perkhidmatan sosial, seperti Care Corner dan Agensi Penjagaan Bersepadu, demi menggalakkan warga emas pergi menjalani pemeriksaan percuma untuk mengesan demensia lebih awal.

Encik Saktiandi berkata bahawa dengan menganjurkan pemeriksaan kesihatan bagi mengesan demensia dengan lebih kerap, intervensi awal dapat dilakukan. Dengan itu, mereka boleh mendapatkan sokongan yang diperlukan.

Pemeriksaan kesihatan itu akan dijalankan sekali setiap dua bulan.

Kedua, Encik Saktiandi juga berkata bahawa program MANGO Toa Payoh East juga akan dilanjutkan. Mango bermaksud Makanan (Meals), Bantuan (Assistance), Keperluan (Needs), Barangan Dapur (Groceries) dan Peluang (Opportunities).

Program itu memberi sokongan kepada para penduduk berpendapatan rendah dari segi keperluan masing-masing.

"Selain subsidi Pemerintah, keluarga-keluarga dengan ahli keluarga yang menghidapi demensia boleh mendapat bantuan menerusi barangan seperti lampin, bantuan kewangan dan kerusi roda," kata Encik Saktiandi.

Lebih banyak perincian mengenai program itu boleh didapati menerusi laman go.gov.sg/tpemangoportal.

Encik Saktiandi berkata bahawa akar umbinya juga bekerjasama dengan Care Corner dan Pusat Penjagaan Thye Hua Kwan untuk dijadikan pusat-pusat rujukan di Blok 5, 15, 31, 235, dan 261A.

Di sana, para penduduk boleh mencari sumber atau sebagai pusat untuk membuat laporan sekiranya seseorang terjumpa orang yang menghidapi demensia yang hilang.

Akhir sekali, dalam usaha membantu penghidap demensia lebih mudah mencari jalan pulang di sekitar Toa Payoh East, infrastrukturnya juga akan dipertingkatkan.

Misalnya, kolong-kolong blok akan dicat dengan warna-warna tertentu seperti bentuk orkid biru yang dilukis di blok 259 di Kim Keat Avenue.

"Kami akan terus menyertakan elemen-elemen DFC dalam program-program yang direka semula pada masa depan," kata Encik Saktiandi dalam catatan Facebooknya.

Dengan ini, Toa Payoh East menyertai estet-estet lain seperti Yishun, Hong Kah North, Macpherson, Queenstown, Bedok, Fengshan, Bukit Batok East dan Woodlands yang sudahpun menubuhkan DFC masing-masing.

Sumber : BERITA Mediacorp/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan