Skip to main content

Singapura

Masyarakat Melayu masih kurang sedar tentang Surat Kuasa Berkekalan

Tidak seperti perlaksanaan Hibah dan Nuzriah, jarang sekali kita dengar perbincangan tentang konsep Surat Kuasa Berkekalan atau Lasting Power of Attorney, dalam kalangan masyarakat Melayu di sini.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Tidak seperti perlaksanaan Hibah dan Nuzriah, jarang sekali kita dengar perbincangan tentang konsep Surat Kuasa Berkekalan atau Lasting Power of Attorney, dalam kalangan masyarakat Melayu di sini.

Melihat kepada kurangnya kesedaran terhadap isu ini, sebuah kumpulan relawan yang terdiri daripada siswa daripada fakulti undang-undang NUS bekerjasama dengan Jamiyah untuk meningkatkan kesedaran mengenainya.

Ini akan dilakukan menerusi sebuah acara simposium di Rumah Rawatan Jamiyah, Darul Syifaa, esok (7 Jul).

SIAPKAN PAYUNG SEBELUM HUJAN

Encik Yusoff Sunny, 54 tahun, dimasukkan ke Rumah Jagaan Jamiyah sebulan lalu.

Selain menghidapi hyper lipidemia atau kolesterol yang tinggi dalam darah, Encik Yusoff juga mempunyai penyakit angin ahmar. Beliau 'ditimpa' dengan beberapa penyakit ini setelah terjatuh di tempat kerja.

Khuatir penyakitnya itu akan memberi kesan yang lebih teruk pada masa depan, beliau bercadang untuk menandatangani Surat Kuasa Berkekalan dan melantik anak perempuannya sebagai 'penguasa' bagi pihak beliau dalam keadaan tertentu.

JAMINAN SEKIRANYA HILANG KEUPAYAAN MENTAL

Surat Kuasa Berkekalan adalah sebuah dokumen di mana seseorang yang berumur 21 tahun ke atas, melantik secara sukarela seorang atau lebih untuk membuat keputusan dan mengambil tindakan bagi pihaknya, berhubung ehwal dan kebajikan diri, serta soal harta benda atau kedua-duanya, apabila si pemberi kuasa hilang keupayaan mental untuk membuat keputusan.

Sebagai contoh, apabila seseorang itu berada di dalam keadaan koma atau demensia, di mana mereka tidak mampu membuat keputusan tertentu pada waktu tertentu.

Tidak seperti perlaksanaan Faraid atau Hibah, perlaksanaan bagi Surat Kuasa Berkekalan akan terhenti apabila pemberi kuasa meninggal dunia.

MASYARAKAT MELAYU MASIH BELUM KE DEPAN

Walaupun kini lebih daripada 43,000 rakyat Singapura sudah membuat permohonan Surat Kuasa Berkekalan di Pejabat Penjaga Awam, sebilangan peguam di sini berpendapat masih ramai lagi dalam kalangan masyarakat Melayu yang tidak ke depan untuk membuat permohonan tersebut, walaupun yuran bagi permohonannya sudah dikecualikan.

Ini disebabkan oleh beberapa faktor, antaranya tanggapan tentang jangka hayat dan kurangnya kesedaran terhadap konsep tersebut.

"Mereka (masyarakat Melayu) selalu rasa mereka akan sihat selama-lamanya dan akan tinggalkanlah dunia ini dengan aman dan tidak ada masalah, ini faktor yang pertama.

"Yang kedua, kebanyakan diskusi yang berada di laman internet ataupun dengan peguam di luar, adalah tentang perancangan harta, atau perancangan harta mengandungi isu-isu tentang wasiat ataupun hibah ruqbah," kongsi seorang Zamiq Azmeer, seorang siswazah undang-undang NUS.

SIMPOSIUM BINCANG PERLAKSANAAN SURAT KUASA BERKEKALAN

Melihat kepada jumlah kes demensia yang semakin meningkat di sini, kumpulan siswa daripada fakulti undang-undang NUS bekerjasama dengan Rumah Rawatan Jamiyah bagi meningkatkan kesedaran terhadap kepentingan dan perlaksanannya.

Mereka akan membentangkan dengan lebih mendalam lagi tentang perlaksanaannya esok dalam satu simposium di Darul Syifaa pada jam 11 pagi.  

Sumber : BERITA Mediacorp/ur
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita