Skip to main content

Singapura

Masyarakat Melayu lebih aktif lakukan kegiatan fizikal; kian komited dan peka terhadap kesihatan

Jumlah makanan lebih sihat yang dijual di merata Singapura meningkat lebih enam kali ganda dalam tempoh empat tahun iaitu dari 7.5 juta pada 2014 kepada 50 juta sehingga Mac lalu.

Anggaran Waktu Membaca:

BERITAmediacorp: Jumlah makanan lebih sihat yang dijual di merata Singapura meningkat lebih enam kali ganda dalam tempoh empat tahun iaitu dari 7.5 juta pada 2014 kepada 50 juta sehingga Mac lalu.

Kegiatan-kegiatan fizikal yang dianjurkan Lembaga Penggalakan Kesihatan (HPB) pula mendapat sambutan memberangsangkan.

Menurut Setiausaha Parlimen Kanan Kesihatan, Amrin Amin, perkembangan itu satu petanda masyarakat kian komited dan peka tentang kesihatan mereka.

Ini lebih-lebih lagi sejak Perdana Menteri Lee Hsien Loong mengupas risiko kencing manis dalam ucapan Rapat Umum Hari Kebangsaan tahun lalu.

PM Lee mendedahkan, 17 peratus orang Melayu mempunyai kencing manis berbanding 10 peratus di peringkat nasional.

Lebih membimbangkan lagi, 50 peratus daripada mereka berusia 60 tahun ke atas.

PROGRAM-PROGRAM KEGIATAN KESIHATAN DAPAT SAMBUTAN POSITIF MASYARAKAT MELAYU

Lantaran itu, dalam usaha membantu masyarakat Melayu menangani masalah itu, HPB mengatur pelbagai inisiatif yang tertumpu kepada amalan diet lebih sihat dan gaya hidup aktif.

Program-program senaman baru seperti Gerak Gelak, Jaga Kesihatan Jaga Ummah (JKJU) dan 'Get Fit for Haj/Umrah' dibawa ke masjid serta ruang masyarakat serata negara.

Menurut HPB, lebih 6,700 peserta memanfaatkan kegiatan-kegiatan fizikal itu sepanjang tempoh setahun ini.

"Kita lihat lebih ramai menyertai program-program beriadah, bersenam dan sebagainya. Jadi saya rasa ia perkembangan yang baik dan saya gembira dengan usaha ini," kata Encik Amrin.

"Walaubagaimanapun, ini adalah satu usaha yang berterusan di mana kita harus sama-sama mempergiatkan lagi, merancakkan lagi inisiatif-inisiatif ini. Jadi saya rasa mungkin ada lebih banyak ruang untuk masyarakat kita lebih memeluk lagi gaya hidup sihat ini," ujar beliau seterusnya.

BANYAK PILIHAN TERSEDIA TETAPI ORANG RAMAI MASIH BELUM SERASI

Kerjasama HPB dengan katerer halal mendapat sambutan memberangsangkan dengan 88 syarikat mengambil bahagian dalam Program Pilihan Makanan Lebih Sihat untuk menawarkan menu kurang berminyak lagi berkhasiat.

Inisiatif 'Wholegrain Weekend' di pusat penjaja pula menyediakan juadah kegemaran ramai dalam versi sihat menggunakan beras perang dan mi bijirin penuh.

"Ramai yang tidak suka rasa beras perang, rasanya agak berlainan. Saya rasa itu tidak menjadi masalah. Kalau tidak suka beras perang, boleh buat pilihan lain," jelas Encik Amrin berdasarkan pemerhatiannya.

Percubaan ke atas tujuh gerai makanan dan minuman di pasar Geylang Serai menyaksikan hanya dua gerai yang kekal menawarkan pilihan makanan lebih sihat setelah sebulan inisiatif tersebut mula diperkenalkan.

"Tidak semestinya makanan sihat itu hanya tertumpu kepada beras perang. Makan sihat itu hanyalah ini menunya. Tidak. Saya rasa kita boleh mengubah sedikit, membuat keseimbangan, harus membuat pilihan yang bijak. Itu saya rasa yang penting di mana kita memberikan pendidikan, kita betul-betul tahu apa yang kita makan," tekan Encik Amrin.

Yang penting, tegas Encik Amrin, para penduduk harus komited dan bertindak segera dengan mempercepatkan usaha pencegahan, pemeriksaan risiko awal, dan pengurusan penyakit yang sesuai. 

Sumber : BERITA Mediacorp/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita