Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Masyarakat Melayu/Islam serlahkan semangat kewarganegaraan; berganding bahu perangi COVID-19

Masyarakat Melayu/Islam Singapura berbesar hati dengan bantuan-bantuan dan sokongan yang dihulurkan oleh Pemerintah kepada rakyat di tengah-tengah krisis COVID-19.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Masyarakat Melayu/Islam Singapura berbesar hati dengan bantuan-bantuan dan sokongan yang dihulurkan oleh Pemerintah kepada rakyat di tengah-tengah krisis COVID-19.

Lebih dari itu, masyarakat Melayu/Islam juga turut menyumbang seberapa boleh kepada kemaslahatan negara.

Malah, mereka juga bersatu menonjolkan semangat kewarganegaraan dan sama-sama menyumbang tenaga bagi memerangi virus yang boleh membawa maut itu.

Demikian menurut Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Masagos Zulkifli semasa berucap dalam perbahasan Jawatankuasa Peruntukan (COS) bagi Kementerian Kebudayaan, Masyarakat dan Belia (MCCY) di Parlimen hari ini (6 Mac).

"Saya gembira melihat masyarakat turut menyumbang seberapa boleh sedang kita memerangi virus (COVID-19), dan bukan setakat berpuas hati menerima bantuan," kata Encik Masagos.

Antara inisiatif masyarakat yang dijadikan contoh adalah kerjasama antara Masjid Assyakirin dengan Kuil Bo Tien, wakil masyarakat Baha'i, Gereja Calvary Bible-Presbyterian serta Gereja Kristian Jurong, di mana mereka berganding bahu menyediakan makanan serta nota-nota membakar semangat sebagai menghargai kakitangan jagaan kesihatan di Poliklinik Jurong.

Selain itu, restoran-restoran milik Melayu/Islam dan 'abang-abang motosikal' Dadah Itu Haram juga tampil menyokong usaha menghargai kakitangan barisan hadapan di Hospital Besar Singapura (SGH).

Jumaat lalu (28 Feb) MUIS berjaya mengumpulkan derma menerusi masjid-masjid tempatan bagi Dana Ketabahan atau 'Courage Fund' bagi membantu golongan memerlukan dan keluarga yang terjejas oleh penularan COVID-19 sekarang.

"Ramai anggota masyarakat Melayu/Islam yang berada di barisan hadapan dalam sektor jagaan kesihatan, Home Team dan juga sektor pengangkutan. Saya bangga mereka berganding bahu dengan rakyat Singapura yang lain dalam perang (virus) ini. Di tengah-tengah krisis ini kita dapat lihat semangat kewarganegaraan yang sebenar ditonjolkan," ujar Encik Masagos.

Semangat kewarganegaraan itu adalah salah satu daripada tiga ciri Masyarakat Gemilang yang dikaitkan dengan masyarakat Melayu/Islam Singapura. Lagi dua ciri adalah keperibadian dan kemahiran.

ASATIZAH S'PURA PIKUL TANGGUNGJAWAB BERAT PIMPIN MASYARAKAT

Dalam ucapannya itu juga, Encik Masagos menekankan betapa beruntung masyarakat Melayu/Islam Singapura kerana mempunyai kumpulan asatizah yang memberikan panduan-panduan yang bermanfaat dan bersesuaian dengan konteks kehidupan di sini.

Menurut beliau, asatizah Singapura memikul tanggungjawab yang berat untuk memimpin masyarakat dalam kehidupan berbilang agama dan budaya di sini serta mengharungi cabaran-cabaran kontemporari dan masa hadapan.

Tahun lalu, sebuah Jawatankuasa Asatizah Masa Depan (COFA) dibentuk untuk memahami jangkaan masyarakat terhadap asatizah dan bagaimana para asatizah boleh disokong.

"Setelah mendampingi masyarakat, COFA mendapati masyarakat mahu asatizah memberikan panduan tentang isu-isu dunia moden selain mahu melihat asatizah menjalin hubungan dengan masyarakat lain untuk mewujudkan sebuah masyarakat yang bersatu padu serta menyumbang kepada Singapura," tambah Encik Masagos.

Menurut Encik Masagos, MUIS akan bekerjasama dengan para asatizah untuk membangunkan panduan-panduan untuk masyarakat Islam yang hidup dalam kalangan masyarakat berbilang agama dan budaya.

FIKIRKAN SEMULA PERANAN ASATIZAH

MUIS juga akan menganjurkan Persidangan Antarabangsa Masyarakat Gemilang menjelang hujung tahun ini.

"Singapura tidak sendirian berdepan dengan cabaran ini. Ada masyarakat Muslim minoriti lain di merata dunia yang berkongsi pandangan sama bahawa Muslim boleh berjaya dalam kehidupan berbilang kaum," kata Encik Masagos.

Encik Masagos turut berkongsi bahawa sejak dua tahun lalu, menerusi inisiatif-inisiatif M3, para asatizah tempatan dilihat berupaya memberikan panduan-panduan kerohanian dan juga sokongan dalam pelbagai aspek kehidupan Muslim, di luar konteks masjid dan madrasah.

"Kita mesti memikirkan semula peranan asatizah.

"Mereka boleh memberikan panduan agama kepada para banduan, orang-orang yang sakit dan warga tua. Mereka juga boleh memberi nasihat agama kepada pasangan, sama ada yang bakal mendirikan rumah tangga mahupun yang sedang dibelenggu ujian untuk mempertahankan perkahwinan mereka," kata Encik Masagos.

Beliau turut menekankan peri pentingnya untuk bekerjasama dengan anggota masyarakat demi memperkukuhkan ikatan kekeluargaan sekali gus mencegah penceraian.

"Menerusi program-program M3 seperti Bersamamu dan FITRAH, para sukarelawan asatizah kita sudah membantu hampir 3,000 pasangan yang bakal bernikah dan juga 40 keluarga yang sekurang-kurangnya mempunyai ibu atau bapa yang di penjara," tambah Encik Masagos.

ASATIZAH S'PURA SAHUT CABARAN BERDEPAN ISU-ISU KONTEMPORARI

Encik Masagos juga memuji para asatizah Singapura, yang disifatkan sebagai "menyahut cabaran" untuk berdepan dengan isu-isu kontemporari, seperti air baharu atau NEWater.

"Pemikiran jelas, progresif adalah teramat penting lebih-lebih lagi pada masa-masa mencabar seperti sekarang," kata Encik Masagos, sambil merujuk kepada saranan para asatizah yang menggalak masyarakat agar membawa sejadah sendiri apabila bersolat di masjid dan menasihati agar mengelakkan daripada bersalaman.

"Tugas seorang asatizah bukan mudah. Untuk melaksanakan tugasnya dengan baik, seorang ustaz bukan hanya mesti berpengetahuan dalam agama Islam, tetapi juga memahami ilmu psikologi, sosiologi, kerja-kerja sosial, undang-undang perbandingan (comparative law), sains, teknologi dan banyak lagi," ujar Encik Masagos.

CCF BUKA PELUANG ASATIZAH TEROKA PERANAN & LALUAN BERBEZA 

Oleh itu, para asatizah mesti disokong, tambah beliau.

"Kami akan melabur bukan sahaja untuk melatih asatizah tetapi juga untuk merubah sektor agama. Untuk mempermudahkan perubahan ini, MUIS sudah membangunkan Pelan Pembangunan Tenaga Kerja Asatizah (AWDP)," dedah Encik Masagos.

Pelan itu adalah untuk mempertingkatkan daya tarikan sektor agama. Ini selain menajamkan kemahiran serta keupayaan para asatizah setempat.

Di bawah AWDP, para asatizah boleh menjangkakan beberapa inisiatif.

Salah satu yang akan dimulakan tahun ini adalah Rangka Kerjaya dan Kecekapan (CCF).

Ia membuka peluang kepada para asatizah untuk meneroka peranan dan laluan-laluan berbeza dalam sektor agama serta kemahiran yang diperlukan mereka.

MUIS juga akan menganjurkan kursus-kursus pendigitalan dan penggunaan media sosial untuk para asatizah yang mahu mempertingkatkan diri dalam isu-isu baru.

PERLU PERSIAP ANAK MUDA MELAYU/ISLAM BERDEPAN CABARAN MASA DEPAN

Selain asatizah membantu membentuk keperibadian masyarakat Melayu/Islam Singapura, masyarakat juga perlu menanam aspirasi untuk mengecap kecemerlangan dan terus menyumbang.

Encik Masagos mendedahkan, hanya 16 peratus pelajar Melayu/Islam lulus lima subjek dalam peperiksaan peringkat O pada tahun 1980.

Namun, hari ini menerusi kerjasama masyarakat, MENDAKI dan Kementerian Pendidikan (MOE) untuk menyokong pelajar-pelajar Melayu/Islam, jumlah pelajar yang lulus lima subjek dalam peperiksaan peringkat O melonjak seganda.

Tahun lalu, para pelajar Melayu juga berjaya mencatat prestasi lebih baik daripada rakan-rakan OECD mereka dalam mata pelajaran matematik serta bertambah baik dalam bacaan.

Hari ini, sembilan daripada 10 murid Melayu/Islam kohort Darjah 1 berjaya menjejakkan kaki ke universiti, politeknik, ITE atau mana-mana institusi posmenengah.

"Kita mesti memastikan semua pelajar kita sekurang-kurangnya sampai ke peringkat Nitec. Kita juga mesti meningkatkan jumlah belia yang meraih ijazah di universiti.

Hakikatnya, usaha menangani kadar keciciran dan kegagalan adalah "isu lama". Encik Masagos menekankan bahawa masyarakat mesti mempersiapkan anak-anak muda untuk berdepan hari esok yang akan lebih mencabar dan serba tidak menentu.

Beliau menambah, usaha-usaha yang dijalankan MENDAKI hanya mencukupi untuk terus seiring dengan perubahan-perubahan landskap pendidikan, sosial serta ekonomi.

"Oleh itu, kami sudah memulakan semakan menyeluruh ke atas dasar-dasar dan program MENDAKI bagi memastikan ia boleh menjadi rakan kerjasama yang berkesan kepada MOE serta institusi-institusi pendidikan kita," ujar beliau. 

Sumber : BERITA Mediacorp/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan