Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Masyarakat Melayu/Islam perlu amalkan 3 'K' ini bagi capai model Masyarakat Gemilang...

Masyarakat Melayu di Singapura "sangat beruntung" kerana keperluan agama kita sering dipenuhi dan terdapat sistem yang membolehkan kita mengecapi kejayaan.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Masyarakat Melayu di Singapura "sangat beruntung" kerana keperluan agama kita sering dipenuhi dan terdapat sistem yang membolehkan kita mengecapi kejayaan.

Namun, sistem sebegitu, tegas Menteri Ehwal Masyarakat Islam, Masagos Zulkifli, hanya lengkap jika masyarakat Melayu mempamerkan keperibadian baik dan nilai-nilai kewarganegaraan, serta mempunyai keinginan untuk terus-menerus menimba kemahiran.

Beliau berkata demikian semasa satu sidang media yang menghimpunkan para pemimpin politik Melayu pemerintah baru-baru ini, bagi merumuskankan pencapaian masyarakat Melayu/Islam bagi tahun 2021.

3 'K' PENTING - KEPERIBADIAN, KEMAHIRAN, KEWARGANEGARAAN

Merumuskan kemajuan projek-projek kendalian M³ sepanjang tahun 2021, Encik Masagos berkata bahawa rangkaian MUIS, MENDAKI dan MESRA itu menyediakan sokongan menyeluruh demi memantapkan institusi keluarga-keluarga Melayu/Islam di Singapura.

Misalnya, hampir 13,000 pasangan baru berkahwin didampingi menerusi program Bersamamu dan lagi 650 keluarga dan individu tahanan disokong melalui FITRAH.

(Gambar hiasan: The Flair Pictures)

Sokongan seperti itu, kata Encik Masagos, menunjukkan kesungguhan masyarakat Melayu ingin menjadi satu model kejayaan di mana golongan minoriti mampu menyerlah dalam sebuah negara yang sekular, terbuka dan progresif.

Namun, dalam mengorak langkah ke hadapan, Encik Masagos menyeru masyarakat agar terus saling melengkapi pelbagai usaha M³ dengan mengamalkan tiga ciri dalam kehidupan sebagai satu masyarakat.

"Satu, keperibadian masyarakat kita yang dibina dengan asatizah yang baik, yang berilmu, yang berhikmah, yang faham bagaimana untuk membimbing masyarakat," kata Encik Masagos.

Ciri kedua menurutnya adalah kemahiran yang mampu menjadikan masyarakat Melayu/Islam sesebuah masyarakat yang bukan sahaja menerima, malah satu masyarakat yang menyumbang juga.

(Gambar: M³/Facebook)

Encik Masagos menambah: "Masyarakat yang dengan kemahiran yang dibina dengan ilmu didapati di sekolah–sekolah yang begitu baik dari universiti, politeknik mahupun di Institut Pendidikan Teknikal (ITE), menjadi masyarakat yang boleh menjaga diri sendiri, menanggung hidup sendiri dalam keluarganya. Sekali gus dengan kelebihan yang ada daripada kemahiran itu juga menyumbang kembali kepada masyarakat."

Akhir sekali, Encik Masagos menekankan bahawa masyarakat Melayu/Islam juga perlu memberi sumbangan yang besar untuk membina kewarganegeraan.

Sekumpulan peguam yang tampil sebagai sukarelawan. (Gambar: M³/Facebook)

Beliau menukil contoh bagaimana setiap anggota masyarakat boleh memainkan peranan tersebut tidak kira dalam kehidupan dan perbualan bersama jiran tetangga, mahupun melahirkan rasa bangga dalam meraikan Hari Kebangsaan Singapura.

Menurut Encik Masagos, masyarakat Melayu/Islam perlu peka tentang perkara-perkara dalam dan luaran yang mampu mencabar masyarakat daripada mencapai ketiga-tiga ciri tersebut, kerana ia bukanlah sesuatu "status yang sudah tercapai".

Sekiranya, ketiga-tiga ciri itu dikecapi masyarakat Melayu/Islam di Singapura, barulah tercapai model masyarakat gemilang yang boleh "disantuni, dipantau dan juga dipelajari oleh masyarakat minoriti Islam yang lain di seluruh dunia". 

Sumber : BERITA Mediacorp/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan