Masyarakat Melayu/Islam menyerlah di pentas NDP 2025: Dr Faishal
Perbarisan Hari Kebangsaan (NDP) 2025 menyaksikan banyak detik kebanggaan bagi masyarakat Melayu/Islam Singapura yang bersinar di persada negara.
Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Dr Muhammad Faishal Ibrahim. (Gambar: Dr Muhammad Faishal Ibrahim/Facebook)
Dalam satu catatan di Facebook pada Isnin (11 Ogos), Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Dr Muhammad Faishal Ibrahim berkata detik-detik itu merupakan satu peringatan kuat bahawa dengan kerja keras, semangat kecemerlangan dan rasa bangga terhadap identiti, masyarakat Melayu/Islam mampu menyumbang secara bermakna kepada pembangunan Singapura.
"Daripada Leftenan Kolonel Firdaus Ghazali yang memimpin perbarisan dengan penuh ketepatan dan keyakinan, kepada Leftenan-Kolonel Muhammad Iskandar yang mengetuai formasi udara hebat F-15SG, kepada seniman Ramli Sarip yang menyampaikan Lagu Kebangsaan dengan penuh penghayatan dan bakat muda seperti ABANGSAPAU yang menghidupkan kisah kita melalui muzik," kata Dr Faishal.
AMBIL IKTIBAR DARIPADA KEJAYAAN; TERUS SUMBANG KEPADA KEJAYAAN SG
Sama ada dalam pasukan seragam, bidang seni, perniagaan, pendidikan atau apa jua lapangan, Dr Faishal menambah bahawa segenap lapisan masyarakat ada peranan dalam membentuk masa depan Singapura.
Beliau juga menyeru masyarakat untuk terus berusaha untuk menyumbang bagi masa depan masyarakat dan negara yang lebih baik.
Dr Faishal berkata: "Marilah kita mengambil iktibar daripada kejayaan mereka dan menjadikan mereka sumber inspirasi, untuk terus melangkah ke hadapan, mencipta peluang baharu dan menyumbang kepada kemajuan negara."
"Saya sangat bangga dengan pencapaian masyarakat kita dan saya yakin banyak lagi kita boleh capai di masa hadapan. Marilah kita terus meneroka peluang baharu, melangkaui batas, dan membentuk masa depan yang lebih gemilang, bersama-sama. Majulah Singapura!" tambahnya.
Perbarisan Hari Kebangsaan tahun ini diadakan lebih gah sempena sambutan SG60 dengan pelbagai elemen baharu dan detik-detik menghargai sejarah dan warisan negara.
LAPORAN BERKAITAN:
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.