Skip to main content

Singapura

Masyarakat Melayu/Islam mainkan peranan penting, M³ raikan ulang tahun kelima

Anggaran Waktu Membaca:
SINGAPURA: Masyarakat Melayu/Islam setempat memainkan peranan signifikan di Singapura dalam menyediakan huraian kepada cabaran-cabaran masyarakat atau negara dengan pendekatan yang pragmatik berdasarkan prinsip-prinsip Islam.

Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Masagos Zulkifli berkongsi pandangannya itu dengan lebih 300 hadirin di Majlis Perjumpaan Hari Raya Menteri di Conrad Centennial Singapore pada Jumaat (19 Apr).

Antara yang menyerikan lagi majlis itu termasuk tetamu terhormat bakal Perdana Menteri Lawrence Wong dan Menteri Kanan Teo Chee Hean.
 
Gambar: Nurfazirah Azman
"Saya gembira kita ada DPM Wong bersama kita hari ini, yang tidak lama lagi akan dilantik menjadi Perdana Menteri keempat kami. Tahniah! DPM Wong akan mengambil alih tanggungjawab daripada Perdana Menteri Lee Hsien Loong yang merupakan penyokong kuat kepada hubungan antara masyarakat di Singapura dan kerjasama antara masyarakat Melayu/Islam kita dengan pemerintah. Bagi pihak masyarakat, saya ingin mengucapkan sedalam-dalam penghargaan buat PM Lee bagi khidmatnya selama berdekad kepada negara. Terima kasih PM!" kata Encik Masagos.

Beliau yakin legasi tersebut akan tetap utuh di bawah kepimpinan DPM Wong dan masyarakat akan terus berusaha ke arah masa depan yang lebih cerah bagi Singapura.

KEBERANIAN KUNCI KEJAYAAN MASYARAKAT MELAYU/ISLAM

Antara usaha tersebut ialah mengukuhkan lagi aspek kewarganegaraan yang merupakan teras penting bagi masyarakat minoriti Muslim.

"Sebuah kaum minoriti boleh menyumbang dengan berkesan apabila ia adalah masyarakat perkasa. Ini sama dengan negara kecil seperti Singapura, yang perlu berada dalam kedudukan yang mantap untuk kekal berdaulat," kata Encik Masagos.

Beliau juga menukil tinjauan Barometer Keyakinan Edelman yang menunjukkan keyakinan terhadap Pemerintah dan institusi-institusi lain meningkat sejak 2020.

"Tinjauan ini juga menunjukkan bahawa setiap kaum, termasuk masyarakat Melayu/Islam kita, memainkan peranan masing-masing sebagai rakyat yang aktif, dan dalam membina sebuah masyarakat Singapura yang bersatu padu," kata Encik Masagos.

Beliau turut mengetengahkan dua faktor iaitu 'keberanian' dan 'kebersamaan' yang membolehkan masyarakat Melayu/Islam berada pada landasan yang kukuh.

"Kita berani menghadapi cabaran-cabaran besar yang membelenggu masyarakat dan berikhtiar mencari huraian untuk mencapai kemajuan. Itulah ciri-ciri yang dipamerkan masyarakat kita sepanjang empat puluh tahun yang lalu. Pada awalnya, masyarakat Melayu berhadapan dengan masalah keciciran pendidikan yang sangat meruncing. Para pemimpin masyarakat berani menerima hakikat ini.

"Mereka akur akan perlunya sistem meritokrasi di Singapura dan hakikat bahawa kita tidak boleh mengharapkan kuota khas. Kita perlu bekerja keras sama seperti masyarakat yang lain untuk mendapatkan kelayakan mahupun pengiktirafan yang sewajarnya. Justeru, MENDAKI ditubuhkan untuk tujuan ini. Sepanjang beberapa dekad, para pemimpin masyarakat kita berganding bahu dan beriltizam untuk meningkatkan pencapaian pendidikan masyarakat kita," jelas Encik Masagos.

Hasil kerja keras mereka, lebih ramai pelajar Melayu layak ke institusi-institusi pengajian tinggi dengan bilangan siswazah meningkat seganda dalam masa sedekad antara 2010 dengan 2020.

Dengan kelayakan lebih tinggi, Encik Masagos berkata lebih ramai orang Melayu memegang jawatan karyawan, pengurus, eksekutif dan teknisyen (PMET) dan mereka bekerja dalam sektor-sektor yang pesat berkembang dan sekali gus menaikkan pendapatan keluarga.

"Keberanian juga telah membolehkan kita menghadapi gejala-gejala sosial lain seperti kadar jenayah yang tinggi. Ia juga akan membantu kita menangani isu-isu baharu yang bertambah rumit. Keberanian telah menjadi kunci kemajuan masyarakat kita. Kita perlu terus berani dan bukan berasa malu dengan masalah-masalah yang membelenggu masyarakat kita – kerana kita akur akan pentingnya mempertingkat diri sendiri dan juga masyarakat kita," ujar Encik Masagos yang juga Menteri Pembangunan Sosial dan Keluarga.

M³ SAMBUT ULANG TAHUN KELIMA

Faktor kedua iaitu 'kebersamaan' menurut Encik Masagos telah membolehkan masyarakat Melayu/Islam mencatat kemajuan demi kemajuan.

"Semangat gotong-royong sudah menjadi sebahagian daripada budaya orang Melayu yang sebati dengan jiwa dan naluri masyarakat kita. Ia mendorong sikap saling membantu yang telah membolehkan kita untuk mencatat kemajuan yang deras sejak Singapura merdeka. Masyarakat kita akan menjadi terus kukuh jika kita tetap berani untuk menghadapi masalah-masalah yang timbul, dan bersatu padu demi mengharunginya bersama," katanya.

 
Gambar: Nurhelmy Hakim
Dalam kesempatan itu, Encik Masagos juga melahirkan penghargaannya kepada pihak-pihak yang menjayakan usaha-usaha M³ yang akan menyambut ulang tahunnya yang kelima pada hujung tahun ini.

"Atas semangat inilah kami membentuk M³ lima tahun yang lalu untuk memperkasa masyarakat Melayu/Islam, agar kita dapat berganding bahu dalam menghuraikan masalah-masalah berbeza serta merangsang kejayaan.

"Saya gembira ramai karyawan turun padang melalui rangkaian M³, seperti penglibatan mereka dalam memperkuatkan lagi program-program pementoran belia kita. Saya mengucapkan terima kasih kepada semua sukarelawan dan kakitangan daripada MUIS, MENDAKI dan MESRA, badan-badan Melayu/Islam (MMO) serta rakan-rakan pertubuhan masyarakat yang lain atas segala usaha dan kerjasama yang penuh bermakna ini," tambah Encik Masagos.

 
Gambar: Nurfazirah Azman
Sempena sambutan ulang tahun kelima M³ pada hujung tahun ini, beliau juga berkata bahawa ia merupakan kesempatan yang baik untuk menilai semula dan meraikan kemajuan masyarakat Melayu/Islam.

HARGAI KEPIMPINAN AGAMA YANG BAIK

Selain kemajuan dalam bidang pendidikan, Encik Masagos juga berbesar hati melihat bagaimana kepimpinan agama di sini membimbing masyarakat dengan baik.

Beliau juga mengingatkan betapa pentingnya untuk membangunkan pendekatan-pendekatan yang pragmatik sedang kita berhadapan dengan isu-isu baharu dan unik.

"Para cendekiawan Islam kita perlu membangunkan prinsip-prinsip yang boleh diterapkan dalam kehidupan harian kita. Mereka harus membantu orang-orang Islam menghadapi isu-isu yang timbul secara objektif dan bukan mengikut perasaan semata-mata, dengan kesederhanaan dan bukan secara melampau, mengikut konteks dan bukan secara mutlak. Hingga ia memupuk naluri mendalam di jiwa masyarakat Islam di Singapura untuk mengemudi identiti mereka sebagai rakyat Singapura sambil mentaati tuntutan agama," katanya.

Menurut Encik Masagos, isu-isu yang dihadapi masyarakat minoriti di negara ini mungkin berbeza dengan masyarakat lain namun banyak yang boleh dipelajari daripada satu sama lain.

"Oleh itu saya bangga melihat ramai cendekiawan antarabangsa berkumpul di Singapura untuk Muktamar Fatwa pada Februari lalu untuk membincangkan peranan fatwa dalam masyarakat moden dan kontemporari. Kita perlu membangunkan gedung ilmu Islam dan naratif positif yang menyokong kehidupan harmoni masyarakat minoriti Muslim dengan penduduk lain. Keperluan ini disokong sepenuhnya oleh ramai cendekiawan agama yang menghadiri Muktamar Fatwa dan Persidangan Antarabangsa mengenai Masyarakat Gemilang (ICCOS) pada 2022," kongsi Encik Masagos.

Bagi membangunkan keperluan sosioagama masyarakat untuk jangka panjang, Wakaf Masyarakat Singapura akan dilancarkan pada Ogos ini.
 
Sumber : BERITA Mediacorp/iz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita