Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Masyarakat Melayu/Islam harungi cabaran 2022 dengan bersatu, lebih bersedia hadapi rintangan akan datang

Anggaran Waktu Membaca:
Masyarakat Melayu/Islam harungi cabaran 2022 dengan bersatu, lebih bersedia hadapi rintangan akan datang

Para pemimpin Melayu/Islam pemerintah mengadakan sidang media baru-baru ini untuk mengulas pencapaian dan cabaran masyarakat sepanjang tahun 2022. (Gambar: MCI)

SINGAPURA: Masyarakat Melayu/Islam melangkah ke tahun baru dengan lebih yakin setelah mengatasi cabaran sepanjang 2022 dengan satu hati.

Dengan kesatuan hati itu juga, masyarakat dijangka bersedia hadapi cabaran-cabaran pada masa akan datang.

Demikian pengamatan Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Masagos Zulkifli yang dikongsi beliau dalam satu sidang media bersama para pemimpin politik Melayu pemerintah yang lain bagi merumuskan pencapaian dan cabaran masyarakat Melayu/Islam sepanjang tahun 2022.

Encik Masagos memberi tiga contoh bagaimana masyarakat Melayu/Islam menangani cabaran COVID-19 dengan cara tersendiri bahkan mendahului negara-negara lain.

“Dengan kepimpinan Mufti dan pejabat Mufti serta pemimpin agama yang lain di Singapura yang bersatu hati, membimbing masyarakat dengan cara yang cekap dan tepat pada masanya. Selalunya mendahului banyak negara lain. Pada masa yang sama menyatukan masyarakat untuk mencari huraian dan lakukan perkara yang tepat,”

“Kita adalah yang pertama di dunia untuk tutup masjid-masjid kita. Kita juga yang pertama untuk meniadakan solat Jumaat dan yang pertama untuk umumkan keberangkatan jemaah kita bagi ibadah haji pada 2020 dibatalkan. Mungkin ini pertama kali dalam sejarah kerana selalunya Makkah yang umumkan musim Haji ditutup tapi belum pernah negara asal jemaah yang umumkan tahun ini kita tidak benarkan perjalanan bagi ibadah haji,” kongsi Encik Masagos.

Beliau juga menegaskan bahawa keyakinan dan kepimpinan yang pemimpin agama pamerkan di samping sokongan dan kesatuan kepimpinan lain seperti di peringkat masyarakat dan politik merupakan antara punca keutuhan dan perpaduan masyarakat.
 
<p>Kelegaan masyarakat dirasakan dengan kemeriahan suasana di bazar-bazar Hari Raya menurut Encik Masagos. (Gambar: Dr Maliki Osman/Facebook)</p>
2022 - TAHUN PELBAGAI PERISTIWA PENTING

Mengimbas kembali tahun 2022, Encik Masagos yang juga Menteri Pembangunan Sosial dan Keluarga merangkap Menteri Kedua Kesihatan menyifatkan tahun itu sebagai tahun dengan pelbagai peristiwa penting.

“Kita saksikan pembukaan semula Singapura dan majlis keramaian juga dibenarkan bagi banyak perkara, daripada yang kecil sehinggalah yang besar iaitu yang penting bagi kita seperti perkahwinan dan pengebumian. Yang paling signifikan adalah Ramadan dan penyalaan lampu Hari Raya yang dialu-alukan ramai orang,” kata Encik Masagos.

Beliau juga berharap bazar Ramadan tahun ini akan kembali dengan lebih besar lagi dan sesuatu yang boleh menceriakan dan dinanti-nantikan ramai.

Masjid-masjid juga meriah dengan kedatangan jemaah bagi bertarawih bersama.

Ibarat satu kemenangan, Syawal tahun lalu juga disambut meriah dengan perjumpaan dan kunjungan dalam kumpulan besar dibenarkan buat pertama kalinya sejak pandemik melanda.

Ini kata Encik Masagos sesuatu yang penting bagi mengukuhkan lagi ikatan silaturahim antara anggota keluarga dan sahabat handai.

“Satu lagi perubahan besar yang dialu-alukan ialah ibadah Haji. Saya hargai Kementerian Haji Arab Saudi kerana memberikan kami dua kali ganda kuota asal yang diberikan. Asalnya 450 dan dalam seminggu sebelum musim Haji bermula, mereka berikan kita tambahan 450 lagi,” ujar Encik Masagos.
 
Perdana Menteri Lee Hsien menyampaikan ucapan sempena meraikan sambutan ulang tahun ke-40 Yayasan Mendaki di Pusat Budaya Universiti (UCC) Universiti Nasional Singapura (NUS) pada 1 Oktober 2022.
DUA ACARA PENTING MASYARAKAT MELAYU/ISLAM DALAM 2022

Disebabkan oleh kelonggaran yang diberikan juga, masyarakat Melayu/Islam Singapura dapat menganjurkan dua acara penting iaitu Persidangan Antarabangsa mengenai Masyarakat Gemilang (ICCOS) dan sambutan ulang tahun MENDAKI yang ke-40.

Encik Masagos berkata persidangan ICCOS adalah satu cara menunjukkan betapa pentingnya tiga ciri utama iaitu kewarganegaraan, keperibadian dan kemahiran agar masyarakat minoriti boleh menyumbang dengan ada dampaknya.

“Saya sangat gembira di akhir persidangan itu, bukan sahaja para pemimpin agama yang hadir, yang menerima baik pendekatan serta ucaptama yang disampaikan oleh Perdana Menteri dan Mufti, bahkan juga peserta antarabangsa yang hadir termasuk para cendekiawan, pemimpin masyarakat, dengan betapa bezanya kita mendekati isu kewarganegaraan dan hidup sebagai warga yang menyumbang dan berkesan,” terang Encik Masagos.

Beliau juga menarik perhatian bahawa terdapat 400 juta Muslim yang hidup sebagai golongan minoriti di dunia dan oleh itu golongan itu memerlukan pendekatan yang berbeza tanpa mengabaikan asas-asas agama Islam dan yakin untuk hidup seperti masyarakat Melayu/Islam Singapura.

Menyusuli persidangan sulung itu, delegasi luar negara dari masyarakat minoriti Islam itu juga akan dijemput semula ke negara ini untuk mempelajari bagaimana perihal keagamaan diuruskan di negara ini serta bertukar-tukar pengetahuan, agar dapat memberi inspirasi kepada mereka untuk hidup dengan harmoni sebagai masyarakat minoriti.

Mengenai sambutan ulang tahun MENDAKI yang ke-40, Encik Masagos yang juga Pengerusi MENDAKI berkata ia lebih istimewa kerana adalah acara masyarakat pertama yang dihadiri Perdana Menteri Lee Hsien Loong bagi meraikan dan mengesahkan kemajuan masyarakat Melayu/Islam dalam bidang pendidikan.

“Saya ingat antara perkara utama yang digariskan beliau adalah bagi semua orang yang dilahirkan era ini, melihat ini (peluang pendidikan) sebagai sesuatu yang diberi, di mana kita sekarang dan apa yang telah kita capai setakat ini adalah sesuatu yang kita patut dapat kerana kita sudah kerja keras."

"Namun beliau mengingatkan para hadirin bahawa 40 tahun dahulu, keadaannya tidak seperti itu. Hakikatnya, ia amat parah, kehadiran masyarakat kita di peringkat pendidikan tinggi tidak signifikan, tidak dapat habis pun 10 tahun sekolah hingga ke waktu sekarang ini, lebih 99 peratus daripada masyarakat kita tamatkan pengajian 10 tahun,” kata Encik Masagos.

Bagi yang mempunyai sijil ITE, politeknik atau ijazah pula, perangkaannya sudah mencecah lebih 90 peratus, kongsi beliau.

Meskipun jumlah itu tidak setanding dengan masyarakat lain, Encik Masagos mengingatkan bahawa aras permulaan masyarakat Melayu jauh lebih rendah berbanding masyarakat lain di dunia.

Memandang ke hadapan, beliau berkata MENDAKI juga perlu akur akan pentingnya untuk mengenal pasti cabaran-cabaran baru dan bersedia untuk tanganinya, lebih-lebih lagi dalam pembelajaran sepanjang hayat.
 
Encik Masagos memberi cabaran kepada mereka yang sudah mencapai kejayaan untuk sama-sama bantu golongan memerlukan. (Gambar: MCI)
NARATIF SELANJUTNYA BAGI MASYARAKAT MELAYU

Bagi mempersiapkan masyarakat harungi tahun yang mencabar ini, Encik Masagos juga berharap mereka yang sudah mengecapi kejayaan boleh bergandingan bahu dengan badan-badan Melayu/Islam (MMO) dalam membantu mereka yang kurang bernasib baik.

Ini bukan sahaja dalam bentuk kewangan tapi juga menerusi usaha-usaha lain di bawah M³ seperti menjadi mentor dan sukarelawan.

Beliau berkata budaya membantu mereka yang memerlukan itu adalah salah satu ciri masyarakat contoh.

"Yang kurang pendapatan mereka dan kita tidak boleh membiarkan mereka begitu saja dan ini bukan hanya untuk memberdayakan mereka dari segi pendidikan, kebolehan, kepakaran dan juga pemilikan rumah tapi juga memberikan peluang bagi mereka yang sudah pun berjaya untuk menyumbang kembali supaya inilah yang menjadikan masyarakat yang masyarakat yang baik, masyarakat yang contoh," kata Encik Masagos.

"Saya memberikan cabaran kepada semua yang sudah berjaya supaya memikirkan bukan hanya untuk mempertingkatkan lagi kemajuan aset-aset kita sebagai dalam keluarga kita, keberanian kita tapi bagaimana kita boleh menggunakan kemahiran, keupayaan kita untuk mempertingkatkan lagi masyarakat kita," tambah beliau.

Encik Masagos mengharapkan sikap prihatin ini akan dapat mendorong masyarakat ke arah untuk menggapai pencapaian yang lebih cemerlang pada masa depan.



 
Sumber : BERITA Mediacorp/iz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan