Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Masyarakat Melayu harus berbangga dengan tahap pendidikan dikecapi; perlu terus bekerja keras, tingkatkan pencapaian

Menteri bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Masagos Zulkifli bagi pihak para pemegang jawatan politik Melayu/Islam yang lain melahirkan rasa bangga terhadap pencapaian masyarakat Melayu dari segi pendidikan.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Menteri bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Masagos Zulkifli bagi pihak para pemegang jawatan politik Melayu/Islam yang lain melahirkan rasa bangga terhadap pencapaian masyarakat Melayu dari segi pendidikan semasa memberikan ulasannya mengenai dapatan banci penduduk yang dibentangkan baru-baru ini.

Antara dapatan itu termasuk peningkatan hampir seganda pada jumlah lulusan universiti dalam masyarakat Melayu sepanjang tempoh sedekad.

Namun, Encik Masagos berkata masyarakat perlu terus bekerja keras kerana pencapaian pendidikan masyarakat Melayu berpotensi berkembang lebih luas lagi.

Beliau menukil perangkaan terkini daripada Program Penilaian Pelajar Antarabangsa (Pisa) yang mendapati pelajar-pelajar Melayu Singapura mencatat prestasi lebih baik dalam subjek Matematik berbanding para pelajar lain di dunia dari negara-negara Pertubuhan Kerjasama dan Pembangunan Ekonomi (OECD).

"Kita boleh meningkatkan lagi pencapaian masyarakat kita kerana kalau kita lihat apa yang dicapai oleh masyarakat lain, ia menunjukkan ini bukan 'ceiling' atau tahap maksimum yang boleh dicapai oleh masyarakat kita," kata Encik Masagos yang juga Menteri Pembangunan Sosial dan Keluarga merangkap Menteri Kedua Kesihatan.

"Oleh itu, kita perlu terus memberikan perangsang, meningkatkan lagi kesedaran masyarakat kita tentang peluang-peluang yang ada, melalui pendidikan dan juga mempersiapkan masyarakat kita supaya dapat mencapai kejayaan hidup melalui pendidikan."

Dalam ulasannya mengenai dapatan banci penduduk itu, Encik Masagos juga menarik perhatian kepada tahap pencapaian pendidikan lebih baik yang turut menyaksikan pekerjaan dan pendapatan yang lebih baik dalam kalangan masyarakat Melayu.

PANDUAN & SOKONGAN PENDIDIKAN PADA PERINGKAT AWAL

Dalam sesi taklimat media berkenaan banci penduduk oleh para pemegang jawatan politik Melayu itu, Encik Masagos turut berkongsi dengan wartawan bahawa tumpuan kini adalah untuk menyediakan sokongan dan panduan pada peringkat awal pendidikan seseorang bagi mempertingkatkan lagi usaha untuk memperbaiki prestasi pendidikan masyarakat.

Antara usaha itu yang sudah dimulakan di bawah M3 termasuk KelasMateMatika@CC (KMM@CC) dan Kelas Siap Sekolah (KSS).

Bukan sahaja ini dapat mempersiapkan murid-murid prasekolah untuk melangkah ke Darjah 1, ibu bapa mereka juga diberi panduan dan sokongan tentang bagaimana untuk membantu anak-anak mereka dalam pendidikan.

Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam Masagos Zulkifli. (Gambar; BERITAmediacorp)

"Sekarang ini yang menjadi tumpuan kami adalah bagaimana kita dapat pergi "upstream" supaya ibu bapa yang masih belum tahu bagaimana mendidik, membangun anak-anak mereka dari awal lagi supaya mereka mesra dengan Matematik, bahasa dan sebagainya kerana masih ada yang mengandalkan sekolah atau tunggu apabila anak-anak mereka ke sekolah untuk mendapatkan pembangunan yang mereka harapkan. Padahal otak anak-anak itu sangat mudah dilentur semasa mereka berumur 0 hingga 6 tahun."

Tambahan pula, usaha itu saling melengkapi inisiatif-inisiatif di peringkat nasional seperti program kidSTART dan program Peningkatan Pelajar dalam Kehidupan dan Memberi Inspirasi kepada Keluarga (UPLIFT) yang bertujuan untuk memperkukuh sokongan kepada para pelajar dari keluarga susah atau kurang bernasib baik, agar mampu mencapai potensi sebenar mereka .

MASYARAKAT ADA PERANAN UNTUK DIMAINKAN

Di samping usaha-usaha di peringkat nasional, Encik Masagos berkata masyarakat juga ada peranan lebih-lebih lagi dalam bidang yang ada nuansa budaya dan agama untuk mencapai potensi itu.

Ini katanya dapat dilakukan menerusi sinergi antara MENDAKI, MUIS dan MESRA di bawah rangka kerja M3 di mana usaha mendampingi masyarakat boleh dijalankan dengan lebih baik lagi, berkongsi dengan mereka inisiatif sedia ada agar mereka boleh dibantu sewajarnya dan tidak keciciran.

Ini sekali gus dapat merapatkan lagi jurang masyarakat Melayu dengan kaum-kaum lain.
Menteri Negara Kanan Tenaga Manusia Zaqy Mohamad berkata: "Bila kita bercakap tentang jurang, pastinya ada peranan yang boleh kita mainkan sebagai sebuah masyarakat. Seperti MENDAKI misalnya, bila kita bantu para pelajar yang lemah dalam mata pelajaran mereka di sekolah. Sekitar 60 peratus pelajar GCE 'O' yang menyertai skim tuisyen (MTS) mencapai peningkatan sekurang-kurangnya satu gred dalam peperiksaan mereka."

Ini juga dapat disaksikan menerusi pelibatan masyarakat dalam program bimbingan MENDAKI.

Setakat ini, hampir 900 sukarelawan sudah tampil sebagai pembimbing para penuntut sekolah menengah dan Institut Pendidikan Teknikal (ITE) untuk memberikan inspirasi dan panduan untuk mereka melanjutkan pelajaran dan pengajian ke peringkat lebih tinggi dan mengecapi peluang kerjaya yang baik.

"Masyarakat kita akan bekerjasama dengan pemerintah melalui rangkaian M3 dan juga badan-badan MMO kita supaya masa-masa akan datang, kita akan terus bangga dengan pencapaian masyarakat kita dan boleh berbangga sebagai sebuah masyarakat gemilang," ujar Encik Masagos semasa menggulung sesi perkongsian itu.   

Sumber : BERITA Mediacorp/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan