Masyarakat Melayu gembira dengan pelantikan baru Heng Swee Keat: Faishal Ibrahim
Pelantikan Encik Heng Swee Keat sebagai orang nombor dua Parti Tindakan Rakyat diyakini bukan saja atas kecekapan tetapi juga perwatakannya.
BERITAmediacorp: Pelantikan Encik Heng Swee Keat sebagai orang nombor dua Parti Tindakan Rakyat diyakini bukan saja kerana kecekapan tetapi juga perwatakannya.
Ditemui di luar satu acara masyarakat hari ini (24 Nov), Setiausaha Parlimen Kanan Kementerian Pendidikan merangkap Pembangunan Sosial dan Keluarga Dr Muhammd Faishal Ibrahim menarik perhatian kepada sifat Encik Heng yang mesra termasuk dengan masyarakat Melayu.
Ini selepas pelantikan beliau sebagai Penolong Setiausaha Agung Pertama Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) PAP semalam.
"MASYARAKAT MELAYU GEMBIRA DENGAN PELANTIKAN ENCIK HENG"
Menurut Dr Faishal masyarakat Melayu gembira dengan pelantikan Encik Heng itu: "Kita lihat ramai daripada kalangan penduduk-penduduk saya termasuk masyarakat Melayu berasa gembira apabila mereka mendengar bahawa Encik Heng telah dilantik sebagai Penolong Setiausaha Agung Pertama PAP".
Beliau yakin dengan pengalaman luas Encik Heng dalam bidang politik dan penglibatan beliau dalam pertubuhan Melayu/Islam, Encik Heng yang juga Menteri Kewangan dapat bekerjasama dan berganding bahu dengan anggota masyarakat Melayu/Islam dengan lebih rapat lagi pada masa hadapan.
Dr Faishal menyingkap satu pertemuan Encik Heng dengan para guru Bahasa Melayu dua minggu lalu:
"Encik Heng beramah mesra dan juga menghadiri program-program bahasa Melayu. Encik Heng menghadiri acara AGAB, di mana beliau beramah mesra, berucap dan mendekati guru-guru bahasa Melayu kita bersama-sama golongan literati kita.
"Mereka dapat rasakan kemesraannya dan berasa Encik Heng ialah seorang yang baik, peramah dan bukan sahaja itu, mereka juga rasakan beliau cekap," kata Dr Faishal.
KEPIMPINAN YANG BAIK MENJAMIN MASYARAKAT, NEGARA YANG STABIL
Lebih dari hanya pengalaman Encik Heng, Dr Faishal berkata ciri dan sifat kepimpinan Encik Heng itu menjadikan beliau sebagai pemimpin yang layak mengetuai pasukan generasi keempat (4G) Singapura.
Mutu kepimpinan itu menurut Dr Faishal penting dalam menerajui pembangunan masyarakat dan negara.
"Kepimpinan adalah penting bagi negara kita dan sokongan daripada masyarakat juga penting kerana apabila kita mempunyai kepimpinan yang baik dan cekap dan selalu memikirkan tentang kemaslahatan penduduk-penduduk Singapura, ia menjamin kehidupan warga kita, ia menjamin masa hadapan negara kita dan sekaligus menjamin kehidupan yang lebih baik pada masa hadapan negara dan warga Singapura," tambahnya lagi.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.