Masyarakat mampu tingkatkan kemahiran agar dapat kejar peluang di dunia: Sharael Taha
Sesi pertama Dialog Pasca Belanjawan M³ anjuran Majlis Penyelaras Jawatankuasa Eksekutif Kegiatan Melayu (MESRA) diadakan di Kelab Masyarakat Mountbatten pada Selasa malam (7 Apr). (Gambar: BERITA Mediacorp/Batrisyia Kamal Baharim)
Itulah yang menjadi antara topik hangat yang dibincangkan dalam Dialog Pasca Belanjawan M³ anjuran Majlis Penyelaras Jawatankuasa Eksekutif Kegiatan Melayu (MESRA) pada Selasa malam (7 Apr).
Sesi pertama daripada tiga sesi itu diadakan di Kelab Masyarakat Mountbatten dan dihadiri sekitar 150 pemimpin masyarakat, belia dan rakan masyarakat.
Turut hadir ialah Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Dr Muhammad Faishal Ibrahim, AP GRC Bishan-Toa Payoh, Saktiandi Supaat, AP GRC Pasir Ris-Changi, Sharael Taha dan AP GRC East Coast, Hazlina Halim.
Mengulas lanjut selepas sesi itu, Encik Sharael berkata bahawa masyarakat perlu memahami dengan lebih mendalam punca dan kesan isu-isu yang dihadapi.
Mengambil isu kos sara hidup sebagai contoh, ia tidak boleh dilihat secara terasing, sebaliknya perlu difahami dalam konteks cabaran global yang lebih luas.
"Salah satu isu yang kita harus lebih mendalami ialah bagaimana kos sara hidup dirasai di Singapura kerana impak yang berlaku di seluruh dunia. Jadi harga-harga ini akan menunjukkan situasi global yang terjejas dengan apa-apa isu-isu yang dialami di peringkat global seperti peperangan."
"Jadi isu-isu kos sara hidup bukanlah isu tempatan, hanya dirasai oleh rakyat Singapura, tetapi ini adalah isu dirasai oleh seluruh dunia. Sebagai sebuah ekonomi kecil yang banyak bergantung kepada import, kita tidak terlepas daripada kesan perubahan global," ujar beliau.
PARA PESERTA INGIN CARI HURAIAN UNTUK SATUKAN MASYARAKAT, DAPATKAN BANTUAN PEKERJAAN
Dalam pada itu, kebimbangan yang dibangkitkan para peserta termasuk tentang sokongan untuk masyarakat.
"Bagaimana kita boleh bekerjasama untuk membangunkan satu komuniti yang baik dan dapat membangunkan satu generasi yang berukhuwah?"
Demikian soalan yang diajukan peserta Aqasha Juhari, 24 tahun, yang ingin mencari pendekatan dalam menyatukan golongan belia dan warga emas.
"Mereka memberitahu saya bahawa ada geran seperti menerusi Pejabat Perkongsian Pemerintah Singapura (SGPO) yang dapat menyumbangkan dalam aktiviti-aktiviti sukarela yang boleh kami lakukan. Ada geran-geran yang terhad untuk kami sebagai warga belia dan warga emas," ujar Aqasha.
Dalam pada itu, kebimbangan terhadap masa depan pekerjaan pula terus menjadi antara isu yang paling ketara dalam kalangan peserta.
Bagi Naib Pengerusi Kelab Masyarakat Buangkok Jawatankuasa Eksekutif Kegiatan Melayu (MAEC), Gazali Dick, tumpuan beliau adalah terhadap nasib pekerja yang mungkin terjejas dalam ekonomi yang kian berubah.
"Saya rasa kita sebagai masyarakat serta sebagai pembantu peringkat akar umbi, memainkan peranan mencari ikhtiar bagaimana nak memberi sokongan kepada pekerja-pekerja ini, pekerja yang dalam kesusahan atau yang tiada kerja.
"Macam saya sekarang, bertugas di cabang Jalan Kayu, mengendalikan sesi bertemu penduduk, menjalankan tugas juga bagaimana nak menghuraikan masalah-masalah dari bahagian-bahagian kumpulan masyarakat Melayu," tambah Encik Gazali.
Sesi kedua dan ketiga dialog pasca belanjawan PA MESRA diadakan pada Rabu (8 Apr) dan Khamis (9 Apr).
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.