Masyarakat majoriti Cina mesti lebih 'sensitif, peka' kepada keperluan minoriti
Menteri Lawrence Wong gesa masyarakat majoriti Cina mainkan peranan lebih besar dengan mengambil langkah tambahan untuk pastikan anggota minoriti berasa selesa, melayani orang lain dengan cara yang sama sepertimana mereka ingin dilayani dan mengajar anak-anak untuk melakukan hal yang sama.
SINGAPURA: Perkauman masih wujud di Singapura dan "ada dalam kalangan kita", baik di jalanan, di kawasan kejiranan mahupun di tempat kerja.
Demikian menurut Menteri Kewangan Lawrence Wong pada Jumaat (25 Jun), sambil menekankan perlunya untuk menangani perkauman di mana pun ia berada dalam masyarakat.
Untuk terus maju dalam isu ini, orang ramai mesti terlebih dahulu mengakui bahawa ia lebih sukar untuk menjadi minoriti berbanding majoriti dalam sebuah masyarakat berbilang kaum seperti Singapura. Oleh sebab itu masyarakat majoriti harus memainkan peranan untuk sensitif dan peka kepada keperluan golongan minoriti, tekan Encik Wong.
Negara ini juga harus meneruskan pendekatan saling bertolak ansur, mempercayai dan berkompromi - bukan dengan terus membisu atau berdiam diri tentang prasangka. Sebaliknya bersikap terus-terang dan jujur tentang pengalaman perkauman yang dirasakan oleh pelbagai kumpulan.
Dari pihaknya, Pemerintah akan memperluas usaha pendampingan dan mengemas kini dasar-dasarnya berhubung kaum dan yang memperkukuh keharmonian kaum di sini, tambah Encik Wong.
Beliau berkata demikian semasa berucap di sebuah forum mengenai kaum dan perkauman, anjuran Institut Pengajian Dasar (IPS) dan Sekolah Pengajian Antarabangsa S Rajaratnam (RSIS).
Dalam ucaptamanya, Encik Wong menarik perhatian bahawa Pemerintah menyaksikan "lebih banyak kes" insiden perkauman tahun ini berbanding biasa, yang tersebar luas di media sosial.
Ini termasuk seorang lelaki Cina yang menyerang seorang wanita India pada bahagian dada dalam bulan Mei, seorang pensyarah politeknik yang bersemuka dengan pasangan kekasih berlainan bangsa dan seorang wanita Cina yang dirakam mengetuk gong untuk mengganggu upacara keagamaan jirannya yang berbangsa India.
Mengutuk tindakan-tindakan itu, Encik Wong berkata bahawa Pemerintah sebelum ini sedang menjejaki insiden-insiden perkauman dan tekanan pandemik COVID-19 mungkin menyumbang kepada jumlah kes yang lebih tinggi sepanjang setahun lalu. Kejadian seperti itu sudah merosot secara perlahan-lahan sejak beberapa dekad lalu, hinggalah baru-baru ini.
Encik Wong berkata: “Kita hanya memperdaya diri sendiri sekiranya kita percaya bahawa keharmonian antara kaum dan agama adalah aturan semula jadi. Ia tidak jatuh dari langit sedemikian rupa. Masyarakat berbilang kaum bukan ditakdirkan sedemikian rupa."
MASYARAKAT MINORITI HADAPI LEBIH CABARAN
Encik Wong berkata bahawa sangat penting untuk warga Singapura mengakui bahawa masyarakat minoriti berdepan cabaran dalam semua aspek kehidupan seharian berbanding anggota masyarakat majoriti, dari aspek menyewa rumah hingga mencari pekerjaan.
"Perkara-perkara ini memang berlaku, tidak selalu, dan mungkin tidak kerap, tetapi kadang-kadang. Dan apabila ia berlaku, ia akan menyebabkan kekecewaan mendalam, yang tidak mudah terhapus dengan hanya menyifatkannya sebagai ucapan seloroh atau jenaka," kata beliau.
Beliau menggesa masyarakat majoriti Cina untuk memainkan lebih banyak peranan dengan mengambil langkah tambahan untuk memastikan anggota minoriti berasa selesa, melayani orang lain dengan cara yang sama sepertimana mereka ingin dilayani dan mengajar anak-anak untuk melakukan hal yang sama.
Ini juga bermakna mengingatkan anggota keluarga atau rakan-rakan "yang mungkin tersilap kata dari semasa ke semasa."
Pun begitu, masyarakat Cina juga bukan monolitik atau bersikap seragam, katanya.
“Kadang-kadang, orang bercakap mengenai‘hak istimewa orang Cina’ di Singapura. Mungkin ada (prasangka) berat sebelah atau titik buta yang harus disedari dan diperbaiki oleh masyarakat Cina. Tetapi sila fahami bahawa kita masih mempunyai satu generasi warga Cina Singapura yang lebih selesa berbahasa Cina daripada berbahasa Inggeris dan menganggap diri mereka sendiri sebagai ketinggalan dalam dunia yang berbahasa Inggeris. "
Oleh itu, ramai yang menolak disifatkan sebagai mempunyai hak istimewa itu, katanya.
SALING TOLAK ANSUR, MEMPERCAYAI, BERKOMPROMI
Encik Wong kemudian menggesa orang ramai agar bersuara dan bersiap sedia untuk mengadakan "perbincangan yang tidak selesa" mengenai perkauman agar dapat saling mendengar dan memahami semua sudut pandangan.
Namun, para peserta harus berusaha untuk saling bertolak ansur, mempercayai dan berkompromi dan bukan berkeras mengenai "keistimewaan dan hak maksimum untuk kumpulan masing-masing, atau menganggap setiap kompromi sebagai satu ketidakadilan yang perlu dikutuk", katanya.
Mereka juga tidak boleh "memandang buruk setiap perkara yang dianggap menyinggung atau kurang sensitif".
Sekiranya ini berlaku, kumpulan-kumpulan lain lambat-laun akan bertindak agresif, seperti yang dilihat di negara-negara lain di mana politik identiti sudah berakar dan di mana pihak-pihak berani untuk "melantangkan suara dan membuat tuntutan yang lebih besar"
Ini adalah situasi yang saling merugikan bagi kumpulan minoriti dan majoriti, kata Encik Wong. "Kita akhirnya akan mendorong kecenderungan terburuk kita - sikap berpuak, bermusuhan dan berdendam."
BUKAN MASYARAKAT MONOLITIK
Dalam ucapannya, Encik Wong juga berkata bahawa kaum sudah sejak dahulu lagi menjadi isu asas bagi Singapura - jika tidak, Singapura tidak akan pernah berpisah daripada Malaysia dan menjadi sebuah negara yang merdeka dan berdaulat.
"Sepanjang 23 bulan kita dalam persekutuan (Malaysia) menunjukkan kecenderungan setiap kaum untuk menekankan identiti, hak dan keutamaan masing-masing, sering kali sehingga menjejas kaum lain."
Ia memerlukan generasi printis negara ini untuk membangunkan "Singapura untuk warga Singapura", dengan mengambil langkah-langkah yang sukar dan drastik seperti mengubah peraturan pilihan raya untuk memastikan perwakilan minoriti atau menahan pelampau Cina untuk mencapai model nasional yang penting ini, tambahnya.
Walaupun Singapura sudah mencatat kemajuan ketara, ia belum lagi kebal terhadap seruan identiti kaum dan budaya eksklusif.
"Kita juga belum mencapai keadaan "pasca-kaum". Tentunya peristiwa baru-baru ini sudah mengesahkan sikap berhati-hati kita,” katanya.
Beliau menekankan bahawa Singapura tidak dibangunkan untuk mewujudkan masyarakat monolitik yang memerlukan semua kaum bergabung menjadi satu identiti bahasa dan budaya. Sebaliknya negara ini ingin "memelihara, melindungi dan meraikan" kerencamannya.
Ini dicapai dengan menggalak setiap masyarakat untuk berasa bangga dengan budaya dan tradisi masing-masing, dan dengan memperluas ruang yang dikongsi serta memperkukuh "rasa kekitaan dan identiti bersama".
Encik Wong berkata: “Ini adalah falsafah menonjol kita dari sudut berbilang kaum. Kita tidak merendahkan nilai kerencaman, tetapi menerima dan meraikannya. Kepelbagaian kaum di Singapura tidak bermaksud melupakan identiti kaum, bahasa, agama dan budaya kita yang berasingan.
"Ia tidak memerlukan kita untuk menghapus warisan kita yang kaya untuk menjadi seragam dan hambar. Sebaliknya, ia menggalak kita untuk mendakapi warisan kita, menghormati warisan orang lain dan menjangkaui semua (perbezaan) untuk merangkumi identiti nasional dan tujuan yang dikongsi bersama,” tambah beliau.
MENJANGKAUI KAUM
Encik Wong kemudian akur bahawa warga Singapura yang lebih muda dibesarkan dalam konteks yang berbeza berbanding ibu bapa dan datuk nenek mereka, iaitu dalam sebuah masyarakat di mana satu daripada lima perkahwinan adalah antara pasangan berlainan kaum dan di mana masyarakat kurang menitik beratkan perbezaan antara kaum.
Oleh itu, ada pihak yang merasakan sudah tiba masanya untuk bergerak ke arah sebuah masyarakat "yang tidak mengira kaum" dengan menghapus semua peraturan dan amalan-amalan yang menonjolkan kaum dari pelbagai sudut. Ini seperti peraturan Kawasan Undi Perwakilan Berkumpulan (GRC), Dasar Integrasi Etnik (EIP) Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB), dan Sekolah Bantuan Khas (SAP).
Encik Wong berkata: “Memang saya turut berkongsi aspirasi ini. Mungkin saya cukup muda untuk merasakan naluri idealis golongan milenial dan cukup berusia untuk memahami sikap waspada yang terbit daripada pengalaman generasi ibu bapa saya.
"Namun kita semua boleh bersetuju bahawa kepelbagaian kaum kita tidak sempurna dan kita harus terus secara sedar berusaha memperbaikinya, demi mengurangkan kelemahan kita selangkah demi selangkah."
Untuk mencapai tujuan itu, Encik Wong berkata bahawa dasar Singapura tidak tetap, sambil menarik perhatian kepada bagaimana pihak berkuasa sedang menyemak semula sama ada para jururawat Muslimah boleh memakai tudung semasa berpakaian seragam.
Meskipun ada pihak yang menyeru pihak berkuasa supaya menjangkaui rangka kerja Cina, Melayu, India dan Lain-lain (CMIO), beliau menekankan bahawa masih ada kebimbangan jika nisbah penduduk berubah secara dramatik.
Sebagai contoh, ada warga baru yang akan memerlukan masa untuk memahami pendekatan berbilang kaum Singapura dan penduduk sementara yang bekerja di sini tetapi boleh menimbulkan pergeseran dalam masyarakat dari masa ke semasa.
“Kami memahami kebimbangan ini. Oleh itu, kami terus mengkaji dan mengemas kini dasar pas kerja kami, untuk memastikan bahawa ia memenuhi keperluan ekonomi kita, membantu Singapura untuk berkembang dan makmur, namun sesuai dengan konteks sosial kita."
Ini bermakna membuat penyesuaian berterusan dan semakan berulang untuk mendapatkan keseimbangan yang tepat dari segi dasar, katanya.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.