Skip to main content

Singapura

Masyarakat lampau usia: SG masuk fasa baharu penting dalam peralihan demografi

Singapura sedang memasuki fasa baharu yang penting dalam peralihan demografinya, menurut laporan 'Singapore: Navigating Longevity in a Super-Ageing City'.

Anggaran Waktu Membaca:
Masyarakat lampau usia: SG masuk fasa baharu penting dalam peralihan demografi

Gambar hiasan. (Gambar: iStock)

Diterbitkan : 14 Apr 2026 10:41PM Dikemas Kini : 14 Apr 2026 10:46PM
SINGAPURA: Singapura sedang memasuki fasa baharu yang penting dalam peralihan demografinya, menurut laporan 'Singapore: Navigating Longevity in a Super-Ageing City'.

Meskipun jumlah penduduk dijangka hanya meningkat sedikit daripada 5.97 juta pada 2025 kepada 6.03 juta menjelang 2030, namun struktur usia berubah dengan pantas.

Pada 2026, Singapura dijangka menjadi masyarakat lampau usia atau 'super-aged' dengan lebih 21 peratus rakyat berusia 65 tahun ke atas.

Menjelang awal 2030-an pula, sekitar 25 peratus rakyat Singapura akan berada dalam lingkungan usia tersebut.

Perkembangan itu menjadikan penuaan penduduk sebagai antara faktor jangka panjang paling penting yang akan membentuk ekonomi, pasaran tenaga kerja, sistem penjagaan kesihatan dan infrastruktur sosial negara.

STRUKTUR USIA BERUBAH DENGAN PANTAS

Walaupun jumlah penduduk keseluruhan kekal stabil secara relatif, laporan itu menekankan bahawa perubahan sebenar berlaku dalam komposisi usia.

Kumpulan warga emas berkembang dengan ketara, termasuk golongan warga lanjut usia yang memerlukan tahap sokongan lebih tinggi.

Pada masa yang sama, nisbah sokongan usia tua iaitu bilangan penduduk yang bekerja berbanding warga emas terus merosot.

Daripada enam orang yang bekerja bagi setiap seorang warga emas pada 2014, angka itu jatuh kepada 3.5 pada 2024 dan dijangka turun lagi kepada 2.7 menjelang 2030.

Ini bermakna Singapura, antara lain, akan semakin berdepan dengan kekangan tenaga kerja, peningkatan kos jagaan kesihatan dan penjagaan jangka panjang, permintaan yang lebih tinggi bagi tenaga kerja asing, serta tekanan yang semakin meningkat ke atas keluarga untuk menyokong ahli keluarga yang semakin tua dan uzur.

CABARAN KESIHATAN DAN JAGAAN JANGKA PANJANG

Singapura mencatat jangka hayat melebihi 84 tahun - antara tertinggi di dunia - namun jurang antara jangka hayat dan jangka hayat sihat kekal ketara, sekitar 9.14 tahun.

Ini bermakna ramai warga emas berpotensi hidup hampir sedekad dalam keadaan uzur atau menghidap penyakit kronik.

Keadaan itu meningkatkan permintaan bagi penjagaan jangka panjang, termasuk penjagaan di rumah, penjagaan masyarakat dan sokongan teknologi kesihatan.

TEKANAN TERHADAP KELUARGA DAN PENJAGA

Beban penjagaan juga semakin dirasai, khususnya dalam kalangan “generasi pertengahan” (sandwich generation) yang secara serentak menjaga ibu bapa dan anak mereka.

Lebih 210,000 penjaga dianggarkan terjerat dalam situasi tersebut, manakala majoriti rakyat muda menjangka mereka akan menghadapinya pada masa depan.

Malah, kira-kira 40 peratus penjaga warga emas mengalami beban penjagaan pada tahap ringan hingga sederhana, manakala 64 peratus rakyat Singapura yang menyara ibu bapa mereka dari segi kewangan melaporkan bahawa ia menjejas matlamat kewangan mereka sendiri.

Keadaan ini, antara lain, mewujudkan peluang yang besar untuk perkhidmatan sokongan penjaga, penjagaan sementara (respite care), penjagaan di rumah, pembiayaan penjagaan jangka panjang serta teknologi yang dapat meringankan beban ke atas keluarga.

Kajian turut menunjukkan tanggungjawab penjagaan memberi kesan kepada kedudukan kewangan dan penyertaan tenaga kerja, dengan sekitar 12,300 penduduk dianggarkan kekal di luar pasaran kerja pada 2025 disebabkan oleh tanggungjawab menjaga ibu bapa.

PELUANG DALAM EKONOMI WARGA SENJA

Sungguhpun demikian, di sebalik cabaran itu, penuaan penduduk membuka peluang kepada ekonomi baharu.

Ekonomi warga emas Singapura dianggarkan bernilai AS$83.5 bilion (S$106 bilion) ketika ini dan dijangka mencecah AS$122 billion (S$155 bilion) menjelang 2030.

Singapura bahkan mengekalkan kedudukan unggul dalam Indeks Ekonomi Warga Emas Asia bagi edisi ketiga berturut-turut, mendahului kesemua 14 pasaran Asia Pasifik yang dinilai dalam Laporan Peluang Perniagaan Ekonomi Warga Emas Pasifik ke-5 dari 2026 hingga 2030, yang diterbitkan oleh Ageing Asia dengan kerjasama Universiti Pengurusan Singapura (SMU).

Lima sektor utama yang berpotensi untuk terus berkembang termasuk perkhidmatan kesihatan pencegahan dan lanjut usia (longevity), penjagaan di rumah dan masyarakat, perumahan warga emas dan kehidupan dibantu, kewangan lanjut usia (longevity), serta teknologi berkaitan penuaan dan daya penghasilan tenaga kerja.
Sumber : BERITA Mediacorp/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita