Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Masyarakat Islam S'pura diharap bersikap rasional berhubung kes UAS

Anggaran Waktu Membaca:
Masyarakat Islam S'pura diharap bersikap rasional berhubung kes UAS

(Gambar: Agensi berita)

BERITAmediacorp: Masyarakat Melayu/Islam Singapura diharap dapat bersikap rasional terhadap langkah pemerintah melarang pendakwah Abdul Somad daripada memasuki ke Singapura.

Zamil Kanan Institut ISEAS-Yusof Ishak Dr Norshahril Saat berkata demikian kepada BERITAmediacorp pada Isnin (23 Mei).

Beliau menambah perkara itu penting memandangkan landskap fahaman pelampau kini kian berubah-ubah dan tidak semestinya yang berunsur keganasan saja.

LANGKAH BERPRINSIP & WAJAR

Dr Norshahril menjelaskan bahawa langkah pemerintah untuk melarang pendakwah Abdul Somad daripada memasuki Singapura adalah sesuatu yang adil dan berprinsip.

Ini kerana pendekatan Singapura, tambah beliau, tidak menyasarkan mana-mana agama.

Malah, beberapa individu sebelum ini juga sudah dikenakan langkah serupa atas risiko mereka menjejas fabrik masyarakat Singapura yang rencam.

Mentelah lagi, ceramah-ceramah Abdul Somad bukan saja diikuti warga Indonesia tetapi juga para penduduk rantau ini.

Lantaran itulah, Dr Norshahril menekankan peri pentingnya masyarakat Melayu/Islam setempat bersikap rasional dalam perkara berkenaan, khususnya dalam menyokong atau mengikuti seseorang ulama.

"Ulama itu sebenarnya boleh menilai tradisi-tradisi Islam dan juga memahami kerencaman pemikiran dan banyak sekali idea-idea yang alternatif dan bagaimana melihat idea-idea itu sesuai kepada masyarakat masa kini. Saya fikir itulah ukuran ulama.

"Saya fikir bahawa kita sebagai sebuah masyarakat Singapura juga harus meningkatkan juga takrifan ulama itu. Kita tidak mahu seorang pendakwah yang hanya berkarisma itu kita anggap sebagai ulama. Ulama itu kita harus nilai dari sudut kesarjanaannya," ujar beliau.

Dr Norshahril juga merujuk kepada beberapa ulama tersohor di Indonesia sebelum ini yang tidak menyebarkan mesej keganasan ataupun kebencian terhadap golongan agama lain.

FAHAMAN PELAMPAU "TIDAK GANAS"

Dalam pada itu, Dr Norshahril mengatakan kes tersebut menunjukkan bagaimana orang ramai perlu memberi perhatian kepada bentuk fahaman pelampau yang kian berubah-ubah.

Jika beberapa dekad sebelum ini tumpuannya lebih kepada fahaman pelampau berbentuk pengganasan serta radikalisme, kes Abdul Somad ini lebih kepada fahaman pelampau yang tidak ganas.

Beliau menambah: "Saya fikir bahawa kepimpinan agama kita juga harus memberikan satu pendirian yang tegas untuk mengatakan bahawa fahaman-fahaman atau idea-idea yang wujud dari luar ini tidak sesuai dengan masyarakat kita."

Dr Norshahril berkata pemerintah dan masyarakat juga perlu terus bekerjasama demi mencegah sebarang bentuk fahaman pelampau yang bercanggah dengan kebebasan beragama di Singapura supaya dapat memastikan ruang bersama dalam negara kekal terpelihara.

Sumber : BERITA Mediacorp/kf

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan

Aa