Skip to main content

Singapura

Masyarakat Islam SG syukur dapat sambut Ramadan dengan tenang, kekal prihatin situasi di luar negara masih tidak menentu: Dr Faishal

Anggaran Waktu Membaca:
Masyarakat Islam SG syukur dapat sambut Ramadan dengan tenang, kekal prihatin situasi di luar negara masih tidak menentu: Dr Faishal

Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Dr Muhammad Faishal Ibrahim, menyambut jemaah di Masjid Sultan, Singapura pada 21 Mac 2026.

Diterbitkan : 21 Mar 2026 01:36PM Dikemas Kini : 21 Mar 2026 01:37PM
SINGAPURA: Masyarakat Islam di Singapura bersyukur dapat menyambut Ramadan dengan tenang serta dengan kesedaran bahawa situasi di luar negara masih tidak menentu,kata Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Dr Muhammad Faishal Ibrahim pada Sabtu (21 Mac).

Dr Faishal, yang juga Menteri Negara Kanan bagi Ehwal Dalam Negeri, berucap di Masjid Sultan di mana ratusan jemaah berkumpul untuk menunaikan solat Hari Raya Aidilfitri.

“Sedang kita menyambut Hari Raya, kita juga harus ingat bahawa keadaan di luar negara masih tidak menentu.

“Kita doakan yang terbaik buat mereka yang menyambut (Hari Raya) jauh dari tanah air. Ini salah satu contoh mereka yang sedang menghadapi cabaran yang lebih sukar daripada apa yang kita lalui (di Singapura).”

“Di Singapura, marilah kita teruskan nilai-nilai yang kita terapkan sepanjang Ramadan, seperti rasa bersyukur, murah hati dan memberi, dan raikan dengan cara yang bermakna dan bertimbang rasa,” katanya.

Beliau juga berkata dalam interaksinya dengan masyarakat di pelbagai acara, beliau tersentuh dengan rasa kesyukuran yang dipaparkan oleh masyarakat.

“Satu perkara yang saya dapat rasakan… rasa syukur dalam kalangan anggota masyarakat. Mereka melihat, atau mereka melihat apa yang berlaku di seluruh dunia, dan mereka merasakan bahawa di Singapura, kita dapat meraikan dan menjalani ibadah pada bulan Ramadan serta melakukan amal soleh pada bulan ini dengan ketenangan fikiran dan ketenangan hati.

“Ia sesuatu yang mereka amat hargai, dan mereka ingin terus memainkan peranan dalam membangun, menyumbang kepada Kisah Singapura,” katanya.

Dr Faishal juga menyuarakan sentimen ini dalam 'Bingkisan Hari Raya Aidilfitri' yang disampaikan pada Jumaat (20 Mac).

Beliau berkata bulan Ramadan meninggalkan banyak pengajaran dan rahmat, sambil menambah beliau bersyukur melihat masyarakat Islam menjiwai nilai-nilai kesyukuran, memberi dan bermurah hati dalam kehidupan seharian mereka.

"Dalam dunia yang tidak menentu, nilai-nilai yang kita semai sepanjang Ramadan menjadi semakin bermakna. Kita menzahirkan rasa syukur atas nikmat yang dikurniakan, sopan dan santun dalam tutur kata dan perbuatan kita serta kesediaan untuk memberi dan berkongsi, walau dalam apa jua keadaan.

Semoga semangat Syawal ini membawa keberkatan dan menguatkan azam kita untuk menjadi versi terbaik diri kita. Bersama-sama, kita melangkah ke hadapan bersama, menuju masa depan yang lebih cerah dan penuh harapan," katanya dalam 'Bingkisan Hari Raya Aidilfitri' yang disampaikan pada Jumaat.
Related article image
Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam Faishal Ibrahim bergambar bersama jemaah di Masjid Wak Tanjong pada 20 Mac 2026. (Gambar: Facebook/Prof Madya Muhammad Faishal Ibrahim)
Dr Faishal berkata pada bulan lalu bahawa Singapura amat bimbang dengan serangan ke atas Iran dan Lubnan.

"Singapura memandang serius serangan yang berlaku di Iran dan Lubnan. Kegagalan usaha diplomasi telah mencetuskan peningkatan ketegangan di rantau tersebut. Ini amat membimbangkan, khususnya terhadap keselamatan orang awam,"

"Hakikat bahawa insiden ini berlaku dalam bulan Ramadan yang mulia menambah rasa dukacita dan keprihatinan yang dirasai oleh ramai pihak. Pemerintah akan terus mengikuti perkembangan ini dan menyokong segala usaha untuk meredakan keadaan, melindungi nyawa, serta menegakkan prinsip undang-undang antarabangsa," tambahnya lagi.

Beliau menambah bahawa Singapura sedang memantau perkembangan dengan teliti dan menyokong usaha ke arah pengurangan ketegangan, perlindungan nyawa orang awam dan penghormatan terhadap undang-undang antarabangsa.

Beliau juga berkata awal bulan ini bahawa mahasiswa Singapura yang belajar di Timur Tengah selamat, dengan gangguan minimum terhadap pengajian mereka.

Dr Faishal bertemu dengan lebih 40 mahasiswa Singapura yang melanjutkan pelajaran di negara-negara seperti Jordan, Mesir, Arab Saudi dan Kuwait.

"Para pelajar turut berkongsi kebimbangan mereka, namun mereka menunjukkan ketabahan dalam menangani situasi yang tidak menentu. Saya terharu apabila mendengar bahawa mereka terus menjaga keselamatan diri dan kekal memberi tumpuan pada pengajian mereka," kata Dr Faishal sebelum ini.
 
Sumber : CNA/AY/ay
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita