Masyarakat Islam S'pura sokong pindaan Akta Mengekalkan Keharmonian Agama (MRHA)
Menteri Negara Kanan Pertahanan merangkap Ehwal Luar Dr Mohd Maliki Osman mengisytiharkan bahawa masyarakat Islam Singapura mengalu-alukan dan menyokong pindaan kepada Akta Mengekalkan Keharmonian Agama (MRHA) kerana ia akan mengukuhkan lagi keharmonian agama di Singapura.
SINGAPURA: Menteri Negara Kanan Pertahanan merangkap Ehwal Luar Dr Mohd Maliki Osman mengisytiharkan bahawa masyarakat Islam Singapura mengalu-alukan dan menyokong pindaan kepada Akta Mengekalkan Keharmonian Agama (MRHA) kerana ia akan mengukuhkan lagi keharmonian agama di Singapura.
Masyarakat Islam Singapura, tegas beliau, akur akan pentingnya mereka mengamalkan agama dengan cara yang menghormati para penganut agama lain.
Dr Maliki berucap demikian di Parlimen semasa perbahasan mengenai Pindaan kepada MRHA dibentangkan untuk bacaan kali kedua kepada dewan hari ini.
"Kita adalah sebuah negara yang berjaya bukan hanya kerana orang Islam dan bukan Islam hidup bertetangga dalam keadaan aman dan makmur, tetapi kerana rakyat Singapura faham bahawa kepelbagaian kita tidak memecahbelahkan kita, malah ia merupakan sumber kekuatan kita.
"Kita sedar bahawa Singapura boleh maju sebagai sebuah masyarakat yang padu, hanya jika kita memelihara ruang bersama dalam masyarakat, tidak kira kaum atau agama, termasuk mereka yang tidak menganut sebarang agama," kata Dr Maliki.
Walaupun agama bersifat amat peribadi, tambah beliau, undang-undang penting untuk membolehkan masyarakat berlainan agama untuk hidup bersama dalam harmoni. Lantaran itulah kata beliau, "bagi MRHA, undang-undang adalah pelindung muktamad bagi keharmonian agama".
TIDAK BOLEH DAN TIDAK HARUS DIPENGARUHI KUASA ASING
Dr Maliki berkata masyarakat Islam Singapura adalah sebuah masyarakat yang "yakin" yang mengamalkan agama Islam dengan cara yang disesuaikan dengan cara hidup di Singapura.
"Ia tidak boleh dan tidak harus dipengaruhi oleh kuasa-kuasa asing, kerana masyarakat kita mesti mengorak langkah kita sendiri untuk maju ke hadapan, berdasarkan nilai-nilai yang telah membolehkan Singapura dan rakyatnya untuk terus maju dalam dunia yang semakin berpecah belah," tekan Dr Maliki lagi.
Beliau memberi contoh masjid-masjid dan institusi-institusi agama di bawah naungan MUIS yang sudahpun mempraktikkan amalan-amalan yang sejajar dengan perlindungan yang dipertingkatkan dalam pindaan kepada MRHA.
Ia termasuk memastikan kepimpinan institusi agama dianggotai oleh rakyat tempatan, serta adanya peraturan mengenai pembiayaan wang dari pihak asing.
Bagi masyarakat Islam Singapura misalnya, sumbangan kukuh masyarakat Islam sendiri kepada Dana Pembinaan Masjid dan Mendaki (MBMF) misalnya membolehkan pembinaan dan usaha menaik taraf masjid-masjid di semua estet dapat dilakukan. MBMF juga tegas Dr Maliki, menyokong pendidikan di madrasah, "tanpa memerlukan pembiayaan asing".
"Kita boleh dan mesti terus berdikari agar dapat memenuhi keperluan kita sendiri tanpa mendedahkan diri kita kepada pengaruh luar yang mempunyai agenda mereka sendiri lantas menggadai keamanan dan keharmonian yang telah kita nikmati," hujah Dr Maliki.
Dalam pada itu, Skim Pengiktirafan Asatizah atau ARS pula memastikan Singapura mempunyai guru-guru agama yang boleh dipercayai serta mematuhi Kod Etika Asatizah, yang menyatakan bahawa ajaran agama mereka tidak boleh menggalak ekstremisme atau keganasan, mahupun merendahkan agama-agama lain.
JANGAN PANDANG REMEH PENGARUH LUAR
Menggulung ucapannya, Dr Maliki memberitahu dewan bahawa masyarakat Islam Singapura memahami bahawa hubungan antara agama yang aman dan harmoni yang dinikmati Singapura pada hari ini bukan sesuatu yang harus diambil mudah.
Ia harus berwaspada dan tidak memandang remeh sebarang pengaruh, idea dan amalan luar yang boleh memudaratkan masyarakat dan perpaduan sosial negara.
“Orang-orang Islam dan yang bukan Islam di Singapura telah menunjukkan kepada rantau kita dan juga dunia, bahawa tidak mustahil untuk mencapai sebuah model yang berteraskan harmoni, untuk hidup bersama-sama secara damai, serta menjalin hubungan yang jujur dan ikhlas di antara para pemimpin dan penganut agama-agama yang berbeza,” kata Dr Maliki
Dalam landskap sosio-agama global yang sentiasa berubah-ubah, pindaan kepada MRHA, jelasnya, akan memastikan ia kekal sebagai satu perlindungan undang-undang yang berkesan untuk menjaga keharmonian agama, dan menyokong usaha berterusan masyarakat untuk mengukuhkan perpaduan sosial negara.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.