Masyarakat Islam penuhi masjid pada malam pertama solat tarawih di SG
Sebanyak 70 masjid dan 38 lokasi tambahan oleh Qaryah menawarkan ruang bagi solat tarawih Ramadan ini.

Sebanyak 70 masjid dan 38 lokasi tambahan oleh Qaryah menawarkan ruang bagi solat tarawih Ramadan ini. (Gambar: Syawal Yusoff)
SINGAPURA: Sebanyak 70 masjid dan 38 lokasi tambahan oleh Qaryah menawarkan ruang bagi solat tarawih Ramadan ini.
Di Masjid Al-Istighfar misalnya, ruang-ruang solat di tiga arasnya padat dipenuhi jemaah pada malam pertama solat tarawih pada Sabtu (1 Mac).
Sebilangan jemaah juga memilih untuk datang seawal 6.30 petang untuk mendapatkan tempat, sekali gus mendirikan solat Maghrib dan Isyak.
Satu-satunya masjid di kawasan Pasir Ris itu boleh menampung sehingga 3,500 jemaah pada satu-satu masa.

PERSIAPAN BERMULA SEJAK DIS 2024
Bagi memenuhi keperluan jemaah, para kakitangan dan relawan sudahpun sibuk memulakan persiapan untuk Ramadan sejak tiga bulan lalu.
"Antaranya adalah persiapan untuk pastikan tempat-tempat solat itu selesa, berhawa dingin, permaidaninya bersih dan juga tentu sekali persiapan untuk memastikan ada imam untuk mengimamkan solat-solat tarawih pada setiap hari kerana ada beberapa yang kita perlu buat tempahan lebih awal," kata Ketua, Jabatan Pendamping Masyarakat dan Sosial, Masjid Al-Istighfar, Ustaz Raja Lutfil Hadi kepada wartawan Syawal Yusoff.
Bagi membantu para jemaah, beliau berkongsi pihak masjid turut meningkatkan jumlah relawannya setiap malam.
"Kapasiti di Masjid Al-Istighfar sangat terhad kerana ramai yang akan datang pada setiap malam mulai daripada malam pertama hingga malam ke-30. Setiap malam kapasitinya ada dalam 80 hingga 100 peratus.
"Jadi untuk memastika ia semua berjalan dengan baik, lama juga persiapan harus dipastikan untuk kita persiapkan diri kita untuk menerima jemaah-jemaah yang akan datang," ujarnya.

Istimewa juga pada malam tarawih pertama, setiap jemaah diberikan buku panduan Ramadan SalamSG.
Jemaah juga boleh memuat turun versi online yang diharap dapat dijadikan bahan bacaan sepanjang bulan Ramadan ini.
DAMPINGI JEMAAH, MASYARAKAT LUAR JUGA
Sambutan bulan Ramadan juga bagaikan tidak lengkap tanpa agihan bubur Ramadan.
Lantaran itu, sehingga 2,000 bubur akan diagihkan setiap hari selepas solat Asar sepanjang Ramadan.
Selain itu, orang ramai juga boleh berbuka puasa dan bersahur pada 10 hari terakhir Ramadan di masjid itu.
Di samping mendekati jemaah, masjid itu juga akan mempergiatkan usaha mendekati masyarakat berbilang kaum melalui pelbagai wadah fizikal dan online sepanjang Ramadan ini.
"Kita ada projek agihan kasih di mana kita akan mengedarkan bubur-bubur kepada orang awam di luar sana baik mereka yang beragama Islam atau pun tidak untuk memberikan semangat Ramadan itu sendiri iaitu semangat memberi antara satu sama yang lain. Di samping itu juga, kita pastikan untuk mendekati masyarakat melalui wadah online," ujar Ustaz Raja Lutfil.
PASIR RIS-PUNGGOL SUDAH KUMPUL S$20,000 UNTUK DANA BANTUAN GAZA
Dalam pada itu, inisiatif mengumpul dana untuk Gaza M³@Bandar juga rancak dimulakan di kawasan kejiranan.
AP GRC Pasir Ris-Punggol Sharael Taha turut ke Masjid Al-Istighfar untuk bersama-sama jemaah dan merasmikan usaha tersebut di kawasan itu.
Dalam kesempatan itu, beliau berkongsi tentang usaha 'Aid for Gaza' dan menggalak mereka untuk memberikan sumbangan.
Orang ramai juga boleh menghulurkan derma menerusi online dengan mengimbas kod QR.

Menurut Encik Sharael, relawan M3 di kawasan itu juga akan memperhebatkan lagi usaha pengumpulan dana dan mendekati lebih ramai anggota masyarakat Pasir Ris-Punggol untuk mencapai sasaran S$600,000.
"Saya berbesar hati kerana pada hari pertama, kita telah menerima sebanyak S$20,000 untuk dana ini. Lebih 30 acara, termasuk agihan bubur, sesi pendampingan, kegiatan Qaryah kita dan juga sesi buka puasa yang dianjurkan oleh MAEC, Qaryah, masjid dan Mendaki menjadi platform untuk menggalakkan lebih ramai orang lagi untuk menderma," kata Encik Sharael.
Orang ramai boleh menyumbang kepada usaha 'Aid for Gaza' sehingga 6 April 2025.

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.