Masyarakat Islam minoriti: S'pura boleh dijadikan contoh bagi masyarakat antarabangsa, kata Masagos
Masyarakat Islam minoriti di seluruh dunia sedang berdepan dengan pelbagai cabaran kontemporari, dan kadangkala terpaksa memilih antara prinsip agama dan nilai sekular.
SINGAPURA: Masyarakat Islam minoriti di seluruh dunia sedang berdepan dengan pelbagai cabaran kontemporari, dan kadangkala terpaksa memilih antara prinsip agama dan nilai sekular.
Di sinilah Singapura boleh dijadikan contoh bagi masyarakat antarabangsa - bagaimana seseorang boleh menjadi Muslim yang baik, tetapi juga menikmati kehidupan moden dengan mutu kehidupan yang tinggi.
Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Masagos Zulkifli, berkata demikian dalam satu ceramah antarabangsa hari ini (6 Nov).
S'PURA BENARKAN TRADISI AGAMA BERBEZA, LUASKAN RUANG BERSAMA
Berucap di Seminar Prapersidangan Antarabangsa Mengenai Masyarakat Gemilang (ICCOS) itu yang dihadiri 220 peserta dalam dan luar negara secara online, Encik Masagos berkongsi betapa Singapura merupakan salah sebuah negara berbilang agama paling majmuk di dunia.
Namun ia berjaya mengecapi perpaduan dan keharmonian kaum selain membenarkan masyarakat pelbagai agama mengamalkan tradisi masing-masing dan meluaskan ruang bersama.
Ini menurut beliau, antara lain dicapai menerusi penggubalan dasar awam yang memerlukan "keberanian besar" seperti Dasar Integrasi Kaum (EIP) dalam perumahan awam yang memastikan setiap blok HDB mempunyai campuran kaum yang seimbang.
Demi melindungi kaum minoriti pula, Singapura juga menubuhkan Majlis Presiden bagi Hak-Hak Minoriti.
Selain itu, meskipun orang Cina adalah kaum majoriti, bahasa Inggeris diguna sebagai bahasa utama - bukan bahasa Mandarin, Melayu mahupun Tamil, kata Encik Masagos lagi.
PERANAN INSTITUSI KEAGAMAAN BERWIBAWA
Bagi masyarakat Muslim Singapura sendiri, hujah Encik Masagos, antara kejayaannya hidup dalam masyarakat sekular ialah wujudnya institusi-institusi keagamaan tempatan yang berwibawa dan dinamik.
"Kami dapat keistimewaan mewujudkan institusi keagamaan, Muis, yang berwibawa dan golongan asatizah yang disegani dari segi ilmu dan tradisi keagamaan serta peka akan konteks kehidupan Singapura yang kosmopolitan," menurut beliau.

Selain itu, wujud takungan sarjana keagamaan Islam daripada lebih 2,500 graduan universiti-universiti Islam yang faham akan keperluan Muslim Singapura yang hidup dalam konteks tempatan, kata Encik Masagos yang juga merupakan Menteri Pembangunan Sosial dan Keluarga.
Demi semangat saling memahami pula, masjid-masjid merendahkan bunyi laungan azan di masjid-masjid.
PENTINGNYA PEMERINTAH BUAT PENYESUAIAN
Bagaimanapun dari semasa ke semasa, kata beliau, Pemerintah membuat penyesuaian sebagai merespon kepada keperluan berubah-ubah masyarakat.
"Terkini, Pemerintah membenarkan pemakaian tudung bagi pekerja sektor kesihatan awam, jika mereka mahu. Ini adalah perubahan dasar besar yang mendapat sokongan kaum lain wujudnya kepercayaan dan perpaduan antara kaum. Muis juga mengeluarkan Fatwa supaya mereka yang terlibat merasa tenang dan membuat keputusan dengan yakin," ujar Encik Masagos.

Langkah ini hanya boleh direalisasikan disebabkan oleh dialog silang agama yang dijalankan selama beberapa dekad bagi memupuk kepercayaan dan perpaduan. Semua itu bukan sahaja dilaksanakan di kalangan para pemimpin agama berjawatan tinggi tetapi juga di antara rakyat Singapura.
Encik Masagos menambah, sehingga hari ini masih tiada kesepakatan atau panduan formal mengenai bagaimana masyarakat-masyarakat minoriti Muslim boleh hidup dan mengamalkan Islam dalam negara-negara sekular moden yang majmuk.
Di sinilah ujar beliau, pengalaman Singapura boleh dijadikan 'contoh kajian'.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.