Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Masyarakat diseru untuk jauhkan sikap pentingkan diri, buruk sangka, perkecilkan usaha masyarakat

Demikian ditegaskan Timbalan Mufti, Ustaz Dr Mohammad Hannan Hassan dalam khutbah solat Aidiladha bertajuk 'Kejayaan Memerlukan Pengorbanan' yang disampaikan beliau di Masjid Yusof Ishak pagi tadi (10 Jul).

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Masyarakat Melayu/Islam tempatan diseru agar bersatu serta saling bersifat empati dan elakkan dari bersikap negatif sesama sendiri. 

Ini sedang dunia dibelenggu dengan pergolakan seperti perang Ukraine-Rusia yang menjejas dunia.

Demikian ditegaskan Timbalan Mufti, Ustaz Dr Mohammad Hannan Hassan dalam khutbah solat Aidiladha bertajuk 'Kejayaan Memerlukan Pengorbanan' yang disampaikan beliau di Masjid Yusof Ishak pagi tadi (10 Jul).

Beliau berharap agar masyarakat dapat memupuk semangat dalam usaha yang 'mendatangkan manfaat untuk semua'.

"Marilah kita jauhkan daripada sikap mementingkan diri sendiri sahaja sehingga tidak mempedulikan kebajikan orang lain atau alam ini. Korbankan sikap ego dan mementingkan diri sendiri itu kerana ia tidak membawa kepada sebarang kebaikan. Jauhi juga sikap buruk sangka dan meremehkan usaha-usaha yang dilakukan oleh orang lain walau sekecil mana pun," ujar Ustaz Dr Hannan.

Dalam pada itu, Timbalan Mufti turut menyeru agar mereka yang berkemampuan dapat menghulurkan bantuan kepada golongan yang memerlukan. 

"Selain melakukan ibadah korban dan mengagihkan daging-daging korban tersebut, boleh juga kita lakukan amalan sedekah walau sekecil mana sekali pun," tambah beliau. 

PENGORBANAN ADALAH 'BENIH' UNTUK KEHIDUPAN LEBIH BAIK

Menyampaikan khutbah dalam sesi pertama solat Hari Raya Aidiladha di Masjid Yusof Ishak, Ustaz Dr Hannan menarik perhatian kepada pelbagai cabaran yang dihadapi masyarakat yang 'semakin hari semakin menjadi asam garam dalam kehidupan harian kita'.

Ini termasuk wabak COVID-19, cacar monyet, denggi serta krisis peperangan yang mengakibatkan kenaikan harga barangan di samping kesan perubahan iklim. 

Lantaran itu, beliau mengalu-alukan agar masyarakat Melayu/Islam tempatan untuk mempunyai semangat untuk berkorban secara individu mahupun kolektif dalam mengharungi cabaran dan ujian tersebut. 

"Ujian itu bukanlah untuk melemahkan atau membinasakan manusia, tetapi ia memberi peringatan dan pengajaran yang sangat berharga buat semua. Ia juga membuka peluang bagi mereka yang ingin berkorban untuk menghulurkan pelbagai bentuk bantuan kepada mereka yang terkesan itu," kata Ustaz Dr Hannan.

"Setiap ujian yang dihadapi dengan kesabaran dan ketabahan, pasti akan membawa kejayaan."

Pengorbanan kata Timbalan Mufti, tidak merugikan bahkan adalah 'benih yang kita semai' demi kehidupan yang lebih baik dan bererti.

Sumber : BERITA Mediacorp/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan