Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Masyarakat digalak rujuk laman MUIS untuk senarai pusat pengumpulan zakat yang sah

Anggaran Waktu Membaca:
Masyarakat digalak rujuk laman MUIS untuk senarai pusat pengumpulan zakat yang sah

Gambar hiasan

Diterbitkan : 09 May 2022 08:40PM Dikemas Kini : 09 May 2022 08:42PM

SINGAPURA: Masyarakat Muslim digalak untuk merujuk kepada laman zakat Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS) bagi senarai pusat-pusat pengumpulan zakat yang bertauliah serta makluman keselamatan mengenai penipuan apabila mereka membuat urus niaga online.

Di samping itu, MUIS juga sudahpun melaksanakan langkah-langkah keselamatan dan mekanisme untuk membantu orang awam mengenal pasti pengumpulan-pengumpulan zakat yang sah. 

Demikian dinyatakan Menteri Kebudayaan, Masyarakat dan Belia (MCCY), Edwin Tong dalam jawapan bertulisnya kepada pertanyaan Anggota Parlimen GRC Chua Chu Kang, Zhulkarnain Abdul Rahim. 

Beliau bertanya apakah antara wadah di mana orang awam dapat mengesahkan pengumpulan dana atas dasar keagamaan seperti zakat.

Menurut Encik Tong, pengumpulan zakat di bawah pentadbiran MUIS mengikut Akta Pentadbiran Hukum Islam (AMLA) dan semua permohonan bagi pengumpulan dana yang dijalankan di Singapura atas sebab-sebab amal, kebajikan dan kedermawanan pula diselia oleh Pesuruhjaya Pertubuhan-pertubuhan Amal (COC) mengikut peraturan amal 2012.

Peraturan itu menggariskan tanggungjawab dan kewajipan para pengumpul dana termasuk memberikan maklumat yang tepat dan jelas, pengurusan dan penggunaan dana yang betul serta menyimpan rekod penerimaan dan pengagihan dana.

"Kami menggesa para penderma untuk terus berwaspada dan bijak menilai. Bagi para penderma yang ingin menyokong usaha-usaha amal, mereka boleh mengamalkan langkah-langkah 'Tanya, Periksa, Beri', " tambah Encik Tong yang juga Menteri Kedua Undang-undang.

Ini termasuk bertanyakan dahulu soalan-soalan asas seperti bagaimanakah wang derma itu akan digunakan dan bagaimana mereka boleh mendapat maklumat mengenai penggunaannya.

Para penderma juga boleh memeriksa sama ada pengumpul dana itu adalah pihak yang berdaftar di Singapura melalui Portal Amal.

Namun, jika pemberian dana itu atas tujuan keagamaan dan tidak melibatkan pengumpulan dari rumah ke rumah ataupun di jalanan, ia tidak memerlukan permit daripada polis dan COC. 

WADAH UNTUK SUARAKAN KEBIMBANGAN BERKENAAN PENGUMPULAN DANA 

Encik Zhulkarnain turut bertanya apakah antara langkah-langkah perlindungan yang tersedia untuk orang awam menyuarakan kebimbangan jika pengumpulan-pengumpulan dana itu tidak digunakan dengan sah atau untuk sebab-sebab keagamaan.

Encik Tong menjelaskan bahawa para penderma yang berasa was-was akan kegiatan pengumpulan dana boleh melaporkan perkara itu kepada COC di mccy_charities [at] mccy.gov.sg

Jika penipuan disyaki, mereka patut membuat laporan polis dengan segera. 

"COC mengambil berat pelanggaran peraturan di bawah Akta Amal dan akan memeriksa kes-kes yang melibatkan kegiatan pengumpulan dana yang disalahguna dan yang dilaporkan kepada COC," menurut beliau.

"COC juga boleh mengambil tindakan untuk menggantung, mengehadkan atau melarang permohonan pengumpulan dana jika ada sebab untuk dipercayai permohonan itu tidak dilakukan dengan betul," tambah Encik Tong.

Bagi pengumpulan zakat pula, masyarakat boleh menghubungi MUIS atau menggunakan laman di portal zakat MUIS di sini jika mereka ada sebarang pertanyaan atau kebimbangan untuk melaporkan mengenai pengumpulan zakat.

Sumber : BERITA Mediacorp/NJ/nj
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan