Skip to main content

Singapura

Masyarakat digalak berwakaf, sikap dermawan semangat kerwarganegaraan kita: Masagos

Anggaran Waktu Membaca:
SINGAPURA: Masyarakat diseru untuk menyumbang kepada generasi akan datang melalui proses wakaf, khususnya melalui Wakaf Masyarakat Singapura yang akan dilancarkan.

Dalam amanat sempena Hari Raya esok (10 Apr), Menteri bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Masagos Zulkifli berkata sikap dermawan itu merupakan semangat kerwarganegaraan masyarakat Melayu/Islam.

Hasil derma dan wakaf itu kata Encik Masagos dapat dinikmati sehingga beberapa generasi akan datang.

Memberi contoh Masjid Hajjah Fatimah yang dipilih menjadi lokasi rakaman Amanat Hari Raya beliau tahun ini, Encik Masagos berkata masjid yang dibangunkan pada 1846 itu merupakan tapak rumah Almarhumah Hajjah Fatimah yang diwakafkan.

Di samping itu, Encik Masagos juga berbesar hati melihat bagaimana pelbagai usaha digembleng sepanjang Ramadan untuk bantu mereka yang memerlukan termasuk di Gaza.

Beliau berharap sikap rahmah masyarakat dan semangat kebersamaan itu dapat diteruskan menjangkaui bulan Ramadan.

Berikut adalah teks penuh Amanat Hari Raya Aidilfitri Encik Masagos itu:

Muslimin dan muslimat sekalian.

Kita telah sampai ke penghujung Ramadan – bulan yang mulia di mana bukan sahaja kita berpuasa tetapi digalakkan kita menyebar rahmah kepada semua, sekurang-kurangnya dengan memberi zakat fitrah.

Saya kini berada di Masjid Hajjah Fatimah yang diwakafkan oleh Almarhumah Hajjah Fatimah, seorang pedagang terkemuka.

Beliau sangat murah hati hingga sanggup mewariskan tapak rumahnya pada tahun 1846 dengan membina masjid yang indah ini.

Umat Islam telah dapat menikmati hadiah beliau sehingga ke hari ini.

Inilah semangat menyumbang yang harus dipupuk di kalangan masyarakat kita demi membawa manfaat kepada generasi akan datang.

Saya gembira melihat sepanjang bulan Ramadan, masyarakat kita berganding bahu untuk memperbaiki kehidupan orang-orang di sekeliling kita dan juga mereka yang jauh.

Melalui SalamSG Gives, masyarakat kita menolong keluarga-keluarga susah supaya mereka dapat sama-sama menyambut Syawal dengan ceria.

Masyarakat kita juga berganding bahu dengan pelbagai pihak termasuk Pemerintah bagi menyumbang dengan murah hati kepada bantuan kemanusiaan untuk Gaza, dengan harapan kita dapat meringankan sedikit keperitan yang mereka hadapi.

Sikap dermawan dan prihatin kepada mereka yang memerlukan adalah semangat kewarganegaraan masyarakat kita.

Kita harus terus memupuk semangat ini, menyumbang dan membuat amal jariah, menjangkaui bulan Ramadan.

Sudah tiba masanya untuk kita pula menyumbang kepada generasi akan datang melalui proses wakaf, khususnya melalui Wakaf Masyarakat Singapura yang bakal dilancarkan, menjadi dermawan budiman seperti sesepuh kita, Almarhumah Hajjah Fatimah.

Sedang kita menyambut bulan Syawal, marilah kita terus mengamalkan kehidupan kita dengan penuh rahmah dan kasih sayang, keyakinan serta kebijaksanaan sambil kita menyebarkan semangat muhibah kepada sesama insan.

Bagi pihak rakan-rakan Anggota Parlimen, saya Masagos Zulkifli Masagos Mohamad, mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri, Maaf Zahir dan Batin.
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita