Skip to main content

Singapura

Masyarakat diajak sama-sama galak warga emas manfaatkan inisiatif kesihatan peringkat nasional

Anggaran Waktu Membaca:
SINGAPURA: Rangkaian relawan dan duta-duta warga emas akan giatkan lagi usaha untuk menjangkau lebih ramai warga emas untuk sertai aktiviti-aktiviti yang dianjurkan supaya jalani kehidupan lebih aktif.

Setiausaha Parlimen Kanan Kesihatan Rahayu Mahzam juga berkata lebih banyak usaha akan dilakukan untuk menggalak warga emas libatkan dalam kegiatan yang diadakan.

Ini termasuk di rangkaian pusat penuaan aktif (AAC) yang akan diperluaskan seperti diumumkan Perdana Menteri Lee Hsien Loong dalam Rapat Umum Hari Kebangsaan pada Ahad (20 Ogos).

"Kita akan tambahkan dan lebihkan dengan modal operasi yang lebih khusus (di AAC), menjurus kepada menggalakkan kehidupan yang lebih sihat dalam kalangan masyarakat tua kita, kita ingin memastikan mereka tahu mana untuk mendapatkan bantuan, ada teman-teman yang mereka dapat berkenalan dan hidup dalam masyarakat yang memberikan mereka sokongan dan mereka tidak tinggal keseorangan," kata Cik Rahayu

"Kita juga mahu melihat infrastruktur kita sesuai, mungkin ada tempat-tempat di mana ada aktiviti yang mungkin akan dijalankan untuk warga tua kita dan ini adalah satu usaha yang melengkapi SG Yang Lebih Sihat," tambah beliau.

Selain di kemudahan-kemudahan yang disediakan, lebih banyak ruang awam akan dimanfaatkan untuk galak penuaan aktif.

"Kita juga akan cuba lihat bagaimana kita dapat menggunakan tempat-tempat awam, seperti di kedai-kedai kopi atau di tempat-tempat di mana mereka berehat atau berkumpul dan mengajak mereka untuk mengambil bahagian dalam aktiviti-aktiviti yang sedia ada," tambah Cik Rahayu.

Dengan sokongan berbilang pihak itu, Cik Rahayu berharap bahawa lebih ramai warga emas terutama sekali mereka yang mungkin tidak turut serta dengan aktiviti-aktiviti sedia ada akan dapat dijangkau.

Selain usaha-usaha pemerintah, PM Lee juga mengingatkan warga emas untuk sama-sama memainkan peranan untuk jaga kesihatan mereka, dalam ucapan NDR beliau.
 
PERANAN PENTING MMO UNTUK GALAK KEHIDUPAN SIHAT

Di samping itu, badan-badan Melayu/Islam (MMO) juga kata Cik Rahayu memainkan peranan penting untuk tingkatkan lagi kesedaran mengenai isu-isu kesihatan dan penuaan.

Menurut beliau, bidang tumpuan ke-5 (FA5) M³ misalnya dapat menyelaraskan usaha membina masyarakat yang lebih sihat dengan inisiatif-inisiatif peringkat nasional.

Dengan adanya usaha nasional seperti SG Lebih Sihat atau Healthier SG, beliau berkata bahawa masyarakat dapat menggunakan platform itu untuk menggerakkan usaha bersama rangkaian rakan-rakan kerja.

"Kita ada Jaga Kesihatan Jaga Ummah (JKJU), di mana adanya masjid-masjid dan badan-badan Melayu/Islam. Jadi kita boleh menggunakan platform dan rangkaian ini untuk menggalakkan ahli-ahli JKJU dan mengajak juga anggota-anggota lain ikut serta dalam aktiviti-aktiviti tertentu," jelas Cik Rahayu.

"Dengan adanya usaha daripada masyarakat kita menggunakan intipati, sumber-sumber dalam program-program yang telah diumumkan, kita dapat menjangkau lebih ramai masyarakat dan menggalakkan gaya hidup yang lebih sihat," tambah beliau.

USAHA BERBILANG PIHAK UNTUK SELARASKAN INISIATIF KESIHATAN NASIONAL

Antara yang ditekankan di bawah SG Lebih Sihat misalnya ialah kepentingan pencegahan penyakit.

Beliau berkata: "Kita tahu kalau kita tidak lakukan saringan dengan lebih awal, masalahnya mungkin akan datang lewat dan itu mungkin lebih membebankan individu dan keluarga."

Dalam ucapan beliau, PM Lee menekankan bahawa hampir 25 peratus rakyat Singapura akan mencecah usia 65 tahun ke atas menjelang 2030.

Ini berbanding satu dalam lima rakyat Singapura sekarang ini.

"Penting untuk kita adakan usaha yang lebih khusus untuk warga emas. Jadi Age Well ataupun Sihat Menua SG ini adalah satu usaha untuk menambahkan lagi satu aspek di mana kita dapat membantu mereka yang menua dalam waktu ini," kata Cik Rahayu.

Menurut beliau, inisiatif Sihat menua SG merupakan satu usaha berbilang kementerian dan rakan-rakan kerja.

"Ini adalah usahasama bukan sahaja dari Kementerian Kesihatan (MOH) tetapi juga Kementerian Pengangkutan (MOT) dan juga Kementerian Pembangunan Negara (MND) untuk menyiapkan segala aspek yang mungkin lebih lengkap untuk warga emas.

"Aspek kesihatan harus dijaga tetapi kita juga mahu infrastruktur kita juga, pengangkutan kita juga bersesuaian dengan demografi Singapura yang semakin menua," kata Cik Rahayu.

PASTIKAN DOKTOR DAN PESAKIT TIDAK TERBEBAN

Selain prasarana yang lebih mesra warga emas, sokongan kewangan juga diberikan agar mereka tidak terlalu dibebani dengan kos perubatan.

Ini juga kata Cik Rahayu untuk menggalak orang ramai mendapatkan informasi dan sokongan dengan lebih awal.

"Daripada program SG Lebih Sihat, apa yang kita mahu adalah mereka pergi jumpa dengan doktor keluarga (GP), agar mereka tahu apa yang sesuai untuk mereka dengan adanya pelan individu untuk kesihatan.

"Kita akan memberikan pendanaan di mana adanya konsultasi pertama percuma dengan GPKita sediakan subsidi untuk mereka yang mungkin menghidapi penyakit kronik agar mereka dapat perubatan yang lebih sesuai," ujar beliau.

Langkah-langkah wajar juga diambil untuk memastikan doktor keluarga di bawah SG Lebih Sihat juga tidak dibebani dengan jumlah pesakit yang banyak.

"Kita tahu kalau kita lakukan secara sekaligus mungkin agak sukar. Oleh itu, kita hantarkan SMS secara berperingkat dan diharapkan mungkin mengikut proses itu mungkin pihak klinik dan doktor akan dapat cuba mengatur jadual mereka untuk melihat semua yang datang untuk pergi berjumpa dengan mereka," jelas Cik Rahayu.

Sehingga 13 Ogos lalu, sekitar 185,000 orang sudah mendaftar diri bagi SG Lebih Sihat dan 75 peratus daripada mereka berusia 60 tahun ke atas.
Sumber : BERITA Mediacorp/hk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita