Masyarakat boleh manfaatkan Dana Eko SG $5 juta untuk sokong usaha tangani perubahan iklim: Zaqy
Sejajar dengan tumpuan khusus itu, Singapura menetapkan tahun 2026 sebagai tahun penyesuaian iklim.
Menteri Negara Kanan bagi Kemampanan dan Sekitaran, Zaqy Mohamad mengatakan bahawa isu perubahan iklim merupakan topik yang amat penting pada masa ini dan pelbagai pelan telah dirangka untuk menyesuaikan diri bagi menangani cabaran tersebut.
Antara tumpuan utama termasuk perlindungan pesisir pantai khususnya dalam menghadapi kenaikan paras air laut.
"Kita melihat bagaimana kita perlu membuat perlindungan pesisir pantai kerana kita perlu melindungi Singapura daripada peningkatan paras air laut dan kita juga melihat penyesuaian diperlukan untuk keselamatan pekerja dan rakyat awam kerana peningkatan haba dan pada masa yang sama, kita juga melihat bagaimana kita sedang menyesuaikan diri dalam pelan-pelan makanan dan sebagainya," kata Encik Zaqy.
"Bagi kami, apa yang penting adalah bagaimana Singapura bersedia untuk bukan sahaja menyesuaikan tetapi untuk melihat apakah dasar-dasar yang diperlukan untuk mengurangkan jurang di antara apa yang kita ada hari ini, dasar-dasar kita, dan dari segi infrastruktur atau operasi yang diperlukan untuk dijalankan untuk menangani pelbagai isu perubahan iklim," tambahnya lagi.
Dari sudut masyarakat, beliau menjelaskan bahawa rakyat perlu sama-sama mainkan peranan dalam menjayakan usaha-usaha tersebut demi kemaslahatan jangka panjang.
"Kita ingin membawa masyarakat bersama. Kita akan menjalankan pelbagai aktiviti konsultasi untuk kita mendapatkan pandangan dan perspektif daripada masyarakat, terutama sekali mereka yang lebih terjejas seperti warga emas, mereka yang kurang berupaya dan mereka yang daripada keluarga yang berpendapatan rendah kerana penyesuaian bagi mereka lebih susah," kata Encik Zaqy
"Di peringkat makro, saya rasa apa yang juga penting adalah syarikat harus memberi jaminan kepada pihak berkepentingan. Jika tidak, pelaburan tidak akan masuk jika tidak mempunyai keyakinan di mana Singapura mempunyai rancangan untuk mengatasi semua isu-isu perubahan iklim," tambahnya lagi.
ORGANISASI, MMO RAIH MANFAAT DARI DANA EKO SG BAGI SOKONG PROJEK KEMAMPANAN
Untuk itu, Dana SG Eko akan melancarkan pakej perubahan iklim sebanyak $5 juta sehingga 30 April 2028 bagi menyokong projek-projek yang meningkatkan kesedaran dan dorong tindakan bagi kesan perubahan iklim.
Ia diumumkan dalam perbahasan Jawatankuasa Peruntukan bagi kementerian itu.
Sejak 5 tahun lalu, sebanyak $21 juta telah disalurkan kepada pelbagai organisasi termasuk MMO di bawah Dana Eko SG, untuk menjalankan projek-projek kemampanan.
Seperti contoh, PERGAS telah mengambil manfaat dari dana tersebut dengan membina satu taman komuniti di bumbung mereka.
"MMO seperti PERGAS telah mendapatkan dana ini dan mereka telah membina Taman Komuniti di bumbung mereka supaya mereka dapat menunjukkan bagaimana Taman Komuniti tersebut juga dapat digunakan untuk membawa hasil tanaman kepada masyarakat," kata Encik Zaqy.
"Bagi saya, ini penting walaupun ia satu projek yang kecil, tapi ia menunjukkan bahawa mereka juga ingin membawa kesedaran kepada masyarakat dan asatizah supaya mereka dapat juga membawa mesej ini kepada komuniti yang lebih luas. Saya rasa ini juga satu cara di mana MMO kita juga dapat menggunakan dana yang kita akan mengagihkan iaitu lebih daripada $5 juta dan kita berharaplah bahawa masyarakat dan juga organisasi kita dapat menggunakan dana ini untuk kita menyokong pelbagai projek-projek," tambahnya lagi.
STRATEGI 4 TUNGGAK BAGI PERKUKUHKAN KESELAMATAN MAKANAN SG
Menyentuh tentang keselamatan makanan, Encik Zaqy mengatakan bahawa pelbagai langkah telah diambil untuk memastikan bahawa Singapura dapat bertahan jika berlakunya gangguan bekalan makanan.
Ini seperti jangkitan COVID-19, gangguan bekalan ayam dari Malaysia serta konflik yang sedang berlaku di Timur Tengah baru-baru ini.
"Pertama sekali, oleh kerana 90 peratus daripada bekalan makanan Singapura diimport. Oleh itu, pempelbagaian bagi makanan amat penting. Kita telah memberi tumpuan untuk kita menggalakkan syarikat pengimport kami mempelbagaikan sumber bekalan mereka daripada pelbagai negara. Kami rasa ini amat penting supaya kita tidak terjejas jika satu negara terjejas," kata Encik Zaqy.
"Walaupun kita mempunyai pempelbagaian bagi import kita, ia mungkin tidak mencukupi. Adakalanya jika wabak seperti COVID-19 ataupun gangguan geopolitik, kita juga akan memerlukan kerjasama di antara pemerintah ataupun negara. Jadi kita mempunyai kerjasama global antara negara. Seperti tahun lalu, kita telah menandatangani dua Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Vietnam dan Thailand, misalnya, untuk kita mendapatkan stok bekalan beras jika diperlukan. Jadi, ia akan memberi jaminan terhadap bekalan untuk Singapura jika kita mempunyai krisis atau kecemasan," tambahnya lagi.
Selain dari itu, Encik Zaqy turut mengatakan bahawa Singapura sedang meneroka kerjasama dengan Brunei dalam bidang bekalan makanan, termasuk pertukaran kepakaran dan pembangunan sektor akuakultur.
Inisiatif ini merupakan langkah awal untuk memperkukuh daya tahan makanan Singapura dan berpotensi membuka sumber bekalan baharu pada masa hadapan.
Pada masa yang sama, Singapura turut mengambil langkah untuk memperluaskan penyimpanan stok makanan.
"Kita telah meluaskan lagi kepada protein-protein beku. Kita meluaskan lagi untuk merangkumi sayuran dalam tin. Jadi bagi Singapura, jika misalnya, kita terjejas dari segi import terjejas daripada kerjasama global, kita akan menggunakan stok simpanan kita untuk memastikan bahawa rakyat Singapura akan terus mendapat bekalan makanan mereka," kata Encik Zaqy.
"Kita juga sedang menyokong penghasil tempatan supaya mereka lebih produktif. Kita dapat mengeluarkan lebih banyak sayuran dan juga penternakan ikan kerana ini adalah antara fiber dan juga protein yang penting bagi rakyat Singapura," tambahnya lagi.
Menjelang 2035, Singapura menetapkan objektif untuk mengeluarkan 20 peratus sayuran serta 30 peratus hasil ikan dan telur yang dihasilkan secara tempatan.
"Ini penting supaya kita dapat menjadi asas bagi Singapura untuk mendapatkan pengeluaran tempatan kerana jika kita menghadapi gangguan kepada import atau bekalan makanan tidak mencukupi, kita mempunyai sumber yang boleh di kembali semula dan terus mengeluarkannya," kongsi Encik Zaqy
SKIM PULANGAN BEKAS MINUMAN (BCRS) DORONG PENGITARAN SEMULA
Di samping itu, usaha kemampanan seperti mengitar semula adalah penting. Untuk itu, pemerintah akan memulakan inisiatif Skim Pulangkan Bekas Minuman (BCRS).
Inisiatif yang dijangka bermula pada April tahun ini bertujuan bagi menggalakkan pengitaran semula bahan-bahan seperti tin dan botol air dan minuman.
Menurut Encik Zaqy, setiap tahun, rakyat Singapura menggunakan 1 bilion bekas minuman di Singapura dan ini mempunyai potensi untuk mengitar semula lebih daripada 16,000 tan bahan yang boleh digunakan semula.
"Daripada bulan April akan datang kita akan melihat lebih banyak mesin-mesin dalam estet perumahan kita di mana kita dapat memulangkan bekas-bekas minuman plastik ataupun tin yang boleh dimasukkan kepada mesin-mesin tersebut untuk kitar semula bahan-bahan tersebut," kata Enzik Zaqy.
Beliau menjelaskan bahawa apabila bekas minuman dipulangkan, pengguna akan menerima semula bayaran sebanyak 10 sen, yang boleh digunakan kembali.
Menurut beliau, langkah ini merupakan satu bentuk insentif untuk menggalakkan masyarakat memahami kepentingan kitar semula serta meningkatkan kadar kitar semula di peringkat nasional.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.