Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Masyarakat bersatu padu dapat bersabar tangani cabaran besar, kata Masagos

Anggaran Waktu Membaca:
BERITAmediacorp: Masyarakat yang bersatu padu akan dapat menangani cabaran-cabaran besar.

Demikian yang ditekankan Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Masagos Zulkifli selepas menunaikan solat Hari Raya Aidilfitri di Masjid Al-Muttaqin pagi tadi (22 Apr).

Bercakap kepada para wartawan selepas sesi solat tersebut, Encik Masagos menzahirkan rasa syukur atas semangat perpaduan yang ditonjolkan masyarakat Islam Singapura.

“Saya bersyukur umat Islam dapat menangani segala cobaan, kesusahan dengan tenang dan teratur, sehinggakan kita tidak ada kegenjotan," kata beliau.

Encik Masagos memberikan contoh bagaimana sesi solat Aidilfitri tahun ini dapat dijalankan dengan licin sekali, di mana peralihan antara jemaah antara sesi pertama, kedua dan ketiga berlaku tanpa kegenjotan besar.

Di Masjid Al-Muttaqin misalnya, para jemaah yang menunaikan solat semasa sesi pertama dapat beredar daripada masjid kurang 10 minit selepas sesi itu tamat.

Ini dapat dijayakan menerusi bantuan lebih 30 kakitangan dan relawan masjid untuk menguruskan pergerakan jemaah.

Encik Masagos berkata: “Saya berterima kasih kepada semua relawan, kakitangan masjid dan para pegawai MUIS yang mentadbirkan usaha supaya masyarakat kita dapat menjalankan solat Aidilfitri dengan selamat.”

“Inilah semangat yang harus kita terapkan sebagai umat Islam dalam kita menjalankan apa sahaja usaha. Apabila menghadapi kesukaran, yang penting kita sabar menjalaninya dan akhirnya dapat kita menyebarkan salam dan mengeratkan silaturahim antara satu sama lain,” tambah beliau lagi.

Encik Masagos menunaikan solat Aidilfitri pada sesi kedua, yang turut dihadiri oleh Ketua Eksekutif Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS) Encik Kadir Maideen serta Timbalan Ketua Eksekutif MUIS, Encik Khairul Anwar.

Secara keseluruhannya, lebih 3,000 jemaah menunaikan solat Aidilfitri di masjid tersebut pagi tadi.
Sumber : BERITA Mediacorp/hy
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan